Monday, July 27, 2020

PROGRAM KHAS KHAIRA PPZ LABUAN

YB Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), menyerahkan sumbangan kepada penerima sumbangan Program Bakul Rezeki Khaira PPZ sambil disaksikan Ahmad Shukri Yusoff, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP.   



LABUAN, 27 Julai (Bernama) -- Pusat Pungutan Zakat - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menerusi program tanggungjawab sosial korporat iaitu Khaira PPZ telah mengadakan Program Khas Khaira PPZ di Labuan selama dua hari bermula 25 dan 26 Julai 2020.
 
Program ini bertujuan memberikan bantuan tambahan dan motivasi kepada golongan yang memerlukan di Wilayah Persekutuan Labuan di samping menyebarluaskan lagi dakwah zakat. Ia juga merupakan kesinambungan usaha PPZ-MAIWP menerusi Musaadah Khaira PPZ untuk membantu golongan yang memerlukan dalam menempuhi fasa pemulihan penularan wabak COVID-19.
 
Dua program khusus telah dirangka di bawah Program Khas Khaira PPZ pada kali ini iaitu Program Usrah Saeedah dan Program Bakul Rezeki Khaira PPZ.
 
Menerusi Program Usrah Saeedah, pasukan PPZ-MAIWP Cawangan Labuan telah mengenal pasti 10 keluarga untuk dibantu dengan anggaran keseluruhan sumbangan sebanyak RM100,000 yang terdiri daripada bantuan keperluan asasi, perubatan, peralatan, kenderaan, menyedia dan membaik pulih rumah, pendidikan, pekerjaan dan lain-lain mengikut keperluan masing-masing. Manakala bagi Program Bakul Rezeki Khaira PPZ, seramai 10 orang menerima sumbangan berbentuk barangan runcit bernilai RM100 serta wang tunai bernilai RM300.
 
Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Tuan Haji Ahmad Shukri Yusoff berkata selain fokus menjalankan kutipan zakat di Wilayah Persekutuan, PPZ-MAIWP juga cakna akan keperluan semasa yang diperlukan oleh mereka yang terjejas terutamanya dalam fasa pemulihan COVID-19 ini.
 
“Semoga Program Khas Khaira PPZ ini dapat membantu meringankan beban mereka yang memerlukan untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik dan selesa. Kami di PPZ-MAIWP menyambut baik sebarang kolaborasi dari syarikat-syarikat korporat untuk bersama-sama menjalankan program CSR bersama kami bagi membantu mereka yang memerlukan.”
 
“Dikesempatan ini juga, saya menyeru kepada semua umat Islam di Wilayah Persekutuan yang layak berzakat untuk terus menunaikan zakat di PPZ-MAIWP kerana melalui zakat tersebut asnaf-asnaf di Wilayah Persekutuan dapat meneruskan kehidupan dan bangkit menjadi lebih baik.”, katanya.
 
Majlis disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Tuan Haji Ahmad Shukri Yusoff, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Tuan Haji Mohd Ajib Ismail,  Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islam Malaysia, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mahadi Sukarno.

"PPZ-MAIWP Memudahkan Anda Berzakat" 


SUMBER : Pusat Pungutan Zakat – MAIWP​


No comments:

Post a Comment