Tuesday, April 23, 2019

Invest Selangor anjur Selangor Corporate Colour Run 2019

SHAH ALAM, 23 April (Bernama) -- Invest Selangor Berhad akan menganjurkan acara larian “Selangor Corporate Colour Run 2019” pada 17 Ogos depan di Stadium Shah Alam di sini.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Korporat Invest Selangor Berhad, Mohd Azuan Khairoji berkata, acara itu bertujuan untuk memupuk kesedaran berkaitan kesihatan dalam kalangan masyarakat dan komuniti perindustrian di Selangor.

“Dalam pada itu, larian ini juga diadakan bagi merapatkan hubungan antara kerajaan negeri Selangor dan komuniti perindustrian selain turut memperkenalkan Invest Selangor kepada orang awam,” katanya dalam satu sidang media hari ini. 

Mohd Azuan berkata menerusi acara larian itu pihaknya turut melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang sebahagian dana terkumpul akan disumbangkan kepada Kiwanis Down Syndrome Foundation(KDSF) menerusi kategori khas iaitu ‘Corporate Charity Run’.

“Corporate Charity Run itu adalah bentuk penajaan yang terbuka kepada semua syarikat yang berminat dan sebahagian sumbangan itu akan disalurkan kepada badan kebajikan terbabit.

“Penajaan ini mempunyai empat kategori iaitu Platinum (RM30,000), Gold (RM20,000) Silver (RM10,000) dan Bronze (RM5,000),” katanya.

Beliau berkata acara larian sejauh tiga dan lima kilometer itu menyasarkan 3,000 peserta dan akan dirasmikan Menteri Besar, Amirudin Shari. Larian tiga kilometer itu akan disertai pihak pengurusan syarikat dan penaja, manakala larian lima kilometer terbuka untuk lelaki dan wanita.

Yuran penyertaan untuk orang ramai adalah sebanyak RM65 dan setiap peserta akan menerima kemeja-t, bib larian, sijil penyertaan, medal dan sling beg.

“Pendaftaran untuk orang awam telah pun dibuka dan mereka yang mendaftar awal sebelum 20 Mei ini berpeluang merebut harga ‘early bird’ kami hanya RM55 bagi setiap peserta berbanding harga biasa RM65.

“Kita juga menawarkan hadiah berupa wang tunai kepada peserta yang memenangi tempat pertama sehingga tempat ke-25 selain pelbagai hadiah cabutan bertuah termasuk sebuah motorsikal,” katanya.

Orang ramai yang berminat boleh melayari https://www.checkpointspot.asia/ atau menghubungi talian 03-55102005 (Azrul/Balqis/Maryani).

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment