Sunday, April 14, 2019

30 POKOK DITANAM DI TAMAN EKO RIMBA KUALA LUMPUR

KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) -- Sebanyak 30 pokok buah-buahan nadir terdiri daripada pelbagai spesies antaranya langsat, cermai dan belimbing buluh ditanam di Taman Eko Rimba Kuala Lumpur di sini hari ini menerusi Projek Konservasi Hutan Simpan Bukit Nanas.

Projek itu merupakan anjuran Jabatan Perhutanan Wilayah Persekutuan, Pertubuhan Alam Sekitar EcoKnights dan Vanke Holdings (Malaysia) bertujuan menyokong program Sungai Nadi Kehidupan (RoL).

Pengarah Program EcoKnights Fadly Bakhtiar berkata pemilihan Taman Eko Rimba dibuat kerana ia terletak di tengah-tengah ibu kota sekali gus menjadi tarikan bukan sahaja kepada masyarakat tempatan tetapi juga pelancong asing. 

"Kami selalu tanam pokok buah-buahan kerana ia bukan sahaja memberi manfaat kepada manusia tetapi juga untuk hidupan lain seperti burung.

“Selain itu, ia juga membantu meningkatkan ekosistem di kawasan berkenaan," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas pelancaran Projek Konservasi Hutan Simpan Bukit Nanas, di sini, hari ini.

Projek itu dirasmikan Timbalan Pengarah Jabatan Perhutanan Wilayah Persekutuan Mariatul Qiptiyah Md Sah.

Kira-kira 30 sukarelawan dari Sekolah Menengah Sains Alam Shah, anggota EcoKnights dan pekerja Vanke Holdings (Malaysia) terlibat menjayakan penanaman pokok itu.

Sementara itu, Mariatul Qiptiyah berkata projek berkenaan merupakan siri pertama daripada tiga siri untuk program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam tahun ini yang melibatkan penyertaan EcoKnights dan Vankee Holdings (Malaysia).

"Kami sentiasa menerima banyak permohonan daripada syarikat korporat untuk melaksanakan projek CSR seumpama ini.

"Pada masa sama, kami juga akan melibatkan lebih ramai pelajar sekolah terutama dari sekitar Kuala Lumpur, selepas ini," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment