Wednesday, December 26, 2018

Muzium Seni Digital di Tokyo terima sejuta pelawat dalam lima bulan

KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) -- Muzium Seni Digital Mori Building: teamLab Borderless di Tokyo, Jepun, yang dibuka lima bulan lepas, menerima lebih sejuta pelawat setakat 28 Nov lepas.



Muzium hasil kerjasama Mori Building dan seni kolektif teamLab itu yang dibuka pada 21 Jun lepas, memaparkan pelbagai hasil seni tiga dimensi tanpa sempadan di ruang seluas 10,000 meter persegi.

Pelawat muzium itu berpeluang mengembara, meneroka dan menemui sebuah dunia baharu tanpa sempadan melalui hasil seni digital, menurut satu kenyataan.

Sebagai destinasi baharu Tokyo, muzium itu telah meraikan kejayaan menerima sejuta pelawat dalam ‘Majlis Pelawat ke-Satu Juta,", yang menyaksikan pelawat dari Australia, Nikky Parker dan keluarganya dianugerahkan "Pasport Borderless:".

"Pasport Borderless:" itu merupakan satu pas yang membolehkan kemasukan percuma tanpa had ke dalam teamLab Borderless dengan tanpa tarikh luput.

Menurut data yang dikumpul, pelawat muzium itu terdiri daripada golongan muda sehingga orang tua, serta keluarga, dan satu daripada tiga pelawat adalah dari luar negara.

Selain itu, separuh daripada pengunjung dari luar negara itu menjawab bahawa mereka "datang ke Tokyo untuk tujuan melihat muzium ini."

Baru-baru ini, Muzium teamLab Borderless telah menerima "Anugerah Pencapaian Cemerlang" daripada "Themed Entertainment Association", organisasi bukan mencari keuntungan yang berpangkalan di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Di Jepun, pengiktirafan berkenaan meletakkan muzium itu setanding dengan Tokyo Disneysea dan Universal Studios Jepun.

Maklumat lanjut boleh didapati di https://borderless.teamlab.art/

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment