Friday, December 7, 2018

LATIHAN PERSEDIAAN KE OLIMPIK PASUKAN BADMINTON MALAYSIA DI EHIME, JEPUN

KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) – Wilayah Ehime di pulau Shikoku, Jepun memeterai memorandum persefahaman dengan Persatuan Badminton Malaysia pada Julai tahun ini untuk mengadakan kem latihan bagi pasukan negara sebagai persediaan ke temasya Olimpik Tokyo 2020.

Kem lapan hari dari 20 hingga 27 Ogos itu diadakan bagi pasukan badminton senior dan junior Malaysia, dengan sokongan daripada Persatuan Badminton Wilayah Ehime serta beberapa pelajar sekolah menengah tempatan.

Kesemua atlet dapat berlatih dengan baik, berkat usaha jurulatih, pakar diet sukan dan pakar lain di kem latihan berkenaan.

Pemain Malaysia mengambil bahagian dalam perlawanan persahabatan bersama sebahagian daripada pemain badminton terpilih dari Ehime di samping membimbing pemain yang lebih muda.

Mereka turut meluangkan masa melawat Dogo Onsen, kolam air panas tertua di Jepun,  dan menikmati perjalanan berbasikal di jalan Shimanami Kaido yang disambung  oleh 10 buah jambatan serta menghubungkan Ehime dengan wilayah Hiroshima di pulau Honshu menyeberangi lautan.

Pasukan senior dan junior akan kembali ke Ehime pada 2019 untuk mengikuti kem latihan selama dua minggu, manakala pada 2020, pemain terpilih daripada pasukan kebangsaan akan berkunjung ke wilayah itu sebelum bermulanya temasya Olimpik pada Julai.

Maklumat lanjut berkaitan wilayah Ehime boleh diperoleh di https://www.visitehimejapan.com.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment