Monday, October 30, 2017

SHISEIDO MENGUMUMKAN PERJANJIAN UNTUK MENJUAL ZOTOS KEPADA HENKEL

Shiseido akan Memberi Tumpuan dan Mengukuhkan Bahagian Profesional mereka di Asia

Menempatkan Zotos untuk Menjalankan Fasa Seterusnya bagi Strategi Pertumbuhan Jangka Panjang mereka

TOKYO, 27 Okt (Bernama-BUSINESS WIRE) -- Shiseido Company, Limited (Bursa Saham Tokyo, Bahagian Pertama: 4911), sebuah syarikat kosmetik global terkemuka, hari ini mengumumkan bahawa ia telah memeterai satu perjanjian muktamad untuk menjual anak syarikat mereka yang dimiliki sepenuhnya Zotos International Inc. ("Zotos") kepada Henkel.

Shiseido telah mempromosikan strategi pemilihan dan penumpuan untuk meningkatkan portfolio jenama global mereka sebagai sebahagian daripada strategi WAWASAN 2020 mereka. Sebagai sebahagian daripada strategi itu, Shiseido menumpukan fokus mereka kepada kategori-kategori dan wilayah utama untuk mengoptimumkan portfolio mereka, dan memberi tumpuan kepada memacukan pertumbuhan global merentasi perniagaan kecantikan mereka yang berprestij sambil memperkuat kepimpinan mereka di Asia dalam kosmetik besar-besaran, penjagaan peribadi, dan kategori profesional. Perniagaan Profesional Shiseido memainkan satu peranan penting di dalam portfolio kecantikan syarikat itu, dan Shiseido merancang untuk menumpukan perhatian dan meningkatkan pelaburan mereka di pasaran profesional di Asia. Shiseido yakin bahawa Zotos, yang berpusat di Amerika Syarikat dan memberi tumpuan utama kepada pasaran Amerika Utara, akan berada pada kedudukan yang lebih baik untuk meningkatkan peluang pertumbuhan selanjutnya sebagai sebahagian daripada portfolio profesional Penjagaan Kecantikan global Henkel.

Masahiko Uotani, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif bagi Shiseido Company, Limited, berkata, "Perniagaan Profesional itu telah menjadi satu asas bagi warisan Shiseido sejak syarikat itu membuka salon kecantikannya yang pertama di Jepun hampir satu abad lalu, dan kami tetap komited dan fokus seperti biasa untuk memupuk dan mengukuhkan perniagaan utama ini di pasaran Asia yang berkembang pesat, termasuk China dan Asia Pasifik serta Jepun. Tawaran Henkel untuk memperolehi Zotos memberikan peluang yang baik bagi kumpulan Profesional kami untuk memberi tumpuan kepada keupayaan teras mereka di Asia."

Berpangkalan di Darien, CT, Zotos mengeluar dan memasarkan pelbagai jenis penjagaan rambut, perkhidmatan tekstur dan pilihan pewarna rambut yang telah memenangi anugerah untuk salon dan kalangan profesional salon di seluruh dunia, dengan tumpuan utama di Amerika Utara dan penekanan yang semakin meningkat di pasaran Eropah. Portfolio jenama mereka termasuk Joico, AGEbeautiful, Biotera, Bain de Terre dan Senscience. Inovasi produk dan pendidikan kecantikan dinamik oleh syarikat itu telah menjadikannya sebuah pemimpin yang dipercayai di dalam penjagaan rambut profesional selama hampir 90 tahun.

Nancy Bernardini, Presiden Zotos, berkata, "Shiseido telah menjadi sebuah tempat yang luar biasa untuk Zotos selama hampir tiga dekad – sebagai sebahagian daripada Bahagian Profesional Shiseido, Zotos menambah lebih banyak lapisan inovasi dan keindahan seni kepada produk mereka dan mencapai kejayaan penting yang signifikan, termasuk menjadi satu daripada syarikat bersaiz pertengahan yang paling pesat berkembang di dalam kecantikan profesional. Dengan menyertai Henkel, kami akan mengambil langkah-langkah penting untuk masa hadapan perniagaan kami, dengan memberi tumpuan kepada pasaran geografi strategik yang penting untuk kejayaan jangka panjang kami sambil terus menyegarkan jenama kami sebagai sebahagian daripada portfolio yang menjadi pelengkap kepada Henkel. Kami amat teruja untuk memulakan lembaran baharu ini."

Shiseido akan menggunakan sumber-sumber yang diperoleh daripada urus niaga ini untuk meneruskan lagi objektif strategik mereka untuk terus memupuk jenama Prestige mereka, mengukuhkan keupayaan pengeluaran dan aktiviti lain untuk melaksanakan "Strategi Baharu bagi Mempercepatkan Pertumbuhan" mereka di dalam tempoh tiga tahun akan datang menjelang WAWASAN 2020. 

No comments:

Post a Comment