Friday, October 14, 2022

MENYOKONG SAINS TERBUKA DI MALAYSIA, PERANAN PUSTAKAWAN KEKAL RELEVAN




KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- 
Sains Terbuka atau Open Science ialah satu gerakan yang diyakini boleh meningkatkan kebolehpercayaan dan keyakinan masyarakat umum terhadap sains dan penemuan data saintifik. Bidang ini berpaksikan kepada lima aspek utama iaitu Open Data (Data Terbuka), Open Source (Sumber Terbuka), Open Methodology (Kaedah Kajian Terbuka), Open Peer Review (Kajian Semula Setara Terbuka), Open Access (Akses Terbuka), dan Open Educational Resources (Sumber Pendidikan Terbuka). Pada tahun 2017, platform Sains Terbuka di negara-negara Eropah mula dibangunkan dengan sistematik dan teratur. Di Malaysia, kesedaran tentang Sains Terbuka telah mula berkembang dan menuju ke arah platform yang lebih berstruktur melalui pemerkasaan kolaborasi strategik yang dinamakan Malaysia Open Science Platform (MOSP) dibawah seliaan Akademi Sains Malaysia dengan sokongan penuh Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI).

International Federation of Library Associations and Institutions (IFLA) selaku badan antarabangsa berkaitan bidang kepustakawanan berpendirian bahawa bidang Sains Terbuka merupakan gerakan penting yang menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang diperkasakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN). Sains Terbuka diakui dapat mempercepatkan pencapaian SDG antaranya melalui kemudahan capaian dengan menghapuskan halangan atau sekatan yang terdapat dalam komunikasi ilmiah atau scholarly communication. Peranan perpustakaan sebagai pengantara jaringan kolaboratif sangat penting dalam mencapai agenda SDG ini.

Dalam menjayakan bidang Sains Terbuka, peranan pustakawan dilihat sinonim berdasarkan pengalaman, kemahiran, pengetahuan, dan kesedaran pustakawan dalam membudayakan pengurusan data penyelidikan secara sistematik dan keterlibatan yang aktif. Pengurusan Data Penyelidikan atau Research Data Management (RDM) merupakan komponen utama berkaitan dengan Sains Terbuka yang menggambarkan peranan pustakawan terhadap pengurusan, penyimpanan, pemeliharaan, dan perkongsian data supaya dapat dimanfaatkan untuk penyelidikan seterusnya. Pelaksanaan RDM menyaksikan keterlibatan secara  langsung  pustakawan  dalam  membangunkan  pelan  pengurusan  data  untuk memastikan data penyelidikan diuruskan berdasarkan prinsip FAIR (Findable - Boleh Dicari; Accessible – Boleh Diakses; Interoperable - Boleh Dioperasi; dan Reusable - Boleh Diguna Semula).
 
Walaupun semua maklumat kini boleh dicapai secara dalam talian, namun peranan pustakawan dilihat relevan sebagai penasihat atau pemudah cara untuk membantu pengguna dalam mendapatkan maklumat yang tepat dan cepat. Data penyelidikan berstruktur yang disimpan ini boleh diguna semula dan sangat berharga pada masa hadapan. Pengurusan data yang diuruskan dengan baik dapat mengelakkan kecelaruan dan kehilangan data. Tambahan pula inisiatif RDM dilihat bertepatan dan berkesinambungan dengan perkhidmatan sedia ada yang ditawarkan oleh perpustakaan dengan keperluan untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan pustakawan dari semasa ke semasa.

Di antara perkhidmatan RDM yang ditawarkan oleh perpustakaan akademik di Malaysia adalah pembangunan repositori penyelidikan yang dilihat berperanan besar dalam merancang dan memperkenalkan dasar akses terbuka. Capaian akses terbuka merupakan konsep perkongsian maklumat dalam talian tanpa sekatan. Menurut United Nations Educational, Scientific, and Cultural Organization (UNESCO), capaian akses terbuka bermaksud capaian kepada informasi sumber elektronik tanpa bayaran dikenakan kepada pengguna. Universiti awam melalui perpustakaan telah bergerak ke arah Sains Terbuka melalui pembangunan repositori institusi atau Institutional Repository (IR) sejak dari tahun 2007. Repositori institusi adalah platform dimana penerbitan hasil penyelidikan institusi diurus, dikumpul, dipelihara, dan disimpan dengan mengaplikasikan dasar terbuka supaya maklumat dan data penyelidikan dapat disebarluas sekaligus menggalakkan inovasi, kepelbagaian bidang penyelidikan demi merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

Fungsi pustakawan dalam aspek Sains Terbuka juga diperkasakan dengan pengaplikasian perisian menggunakan sumber terbuka untuk pembangunan pangkalan data di perpustakaan. Penggunaan perisian terbuka seperti KOHA, Dspace, dan e-Prints adalah sebahagian daripada usaha pustakawan dalam menyokong bidang Sains Terbuka. Perkongsian pautan sumber pendidikan terbuka di laman web mahupun media sosial- perpustakaan dilihat menyokong konsep Citizen Science atau Sains Masyarakat yang dapat menarik keterlibatan komuniti dalam aktiviti penyelidikan berdasarkan perkongsian sumber maklumat secara terus kepada masyarakat. Sungguhpun begitu, konsep akses terbuka yang membawa maksud data yang bebas dikongsi dan digunakan oleh semua lapisan masyarakat ini perlu dikawal. Melalui medium literasi maklumat, pustakawan menyediakan program, kelas, dan kursus berkaitan dengan etika pencarian maklumat seperti isu hak cipta, sitasi data, maklumat bibliografi, atau mekanisme kawalan lain untuk menjamin integriti, ketelusan, dan keselamatan aktiviti yang berkaitan data tersebut.

Menyedari dunia kepustakawanan kini semakin mencabar dengan percambahan elemen Sains Terbuka, keterlibatan pustakawan sebagai Data Stewards dalam program MOSP membuktikan persiapan dan persediaan pustakawan untuk menongkah arus kebiasaan. Pustakawan bukan hanya berperanan sebagai curator dan cataloguer of knowledge yang mahir dalam metadata dan tugasan metrik tetapi juga sebagai the active creator of knowledge. Program berbentuk Training of Trainers on Data Stewardship for Open Science ini bertujuan memberikan pengetahuan dan kemahiran kepada pustakawan untuk menguruskan data dan maklumat dengan pensijilan dan pengiktirafan daripada badan pensijilan antarabangsa.

Pustakawan dilihat telah menyahut seruan gerakan Sains Terbuka melalui pelaksanaan salah satu daripada komponen utamanya iaitu pengurusan data penyelidikan atau RDM yang mencakupi keseluruhan aspek perkhidmatan maklumat. Peranan yang dimainkan oleh pustakawan ini dapat diiktiraf sebagai usaha untuk merancakkan lagi aktiviti penyelidikan dan inovasi di Malaysia selain daripada mencapai sasaran SDG seperti yang telah disasarkan oleh kerajaan Malaysia. 

Oleh:
Mazni Md Yusof, Perpustakaan Tun Seri Lanang, UKM
Siti Wahida Amanullah, Perpustakaan Tun Seri Lanang, UKM  

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=16413

No comments:

Post a Comment