Friday, October 21, 2022

AIF MEMBANGUNKAN BAKAT BERKEMAHIRAN TINGGI KEARAH PENJAJARAN SEMULA PASARAN BURUH UNTUK PERTUMBUHAN YANG LESTARI

PETALING JAYA, 20 Okt (Bernama) -- Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) terus memacu peningkatan produktiviti negara melalui pembangunan bakat masa hadapan yang berkemahiran tinggi sejajar dengan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12).
 
Ketua Pengarah MPC, YBHg. Dato’ Abdul Latif Haji Abu Seman berkata terdapat keperluan yang mendesak untuk membina tenaga kerja masa hadapan yang kukuh agar produktiviti dapat terus ditingkatkan seterusnya menyumbang kepada perkembangan ekonomi yang lebih dinamik.
 
“Inisiatif pembangunan bakat oleh MITI dan MPC bertujuan menjajarkan semula pasaran buruh kepada sektor berproduktiviti tinggi ke arah mencapai sasaran pertumbuhan produktiviti pada kadar 3.6 peratus setahun dan dijangka dapat menempatkan sebanyak 300,000 bakat dan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk golongan belia pada 2025.
 
“Inisiatif ini juga akan menyumbang kepada pencapaian sasaran RMKe-12 untuk meningkatkan peratusan pampasan pekerja kepada 40 peratus menjelang tahun 2025,” katanya semasa Persidangan Kebangsaan Academy in Factory (AiF) 2022.
 
Beliau berkata, Academy in Factory merupakan satu inisiatif kerjasama inovatif di antara pihak kerajaan, industri dan para akademia dalam mendepani cabaran-cabaran yang dihadapi dalam pembangunan bakat.
 
“AiF telah dilancarkan oleh YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada 13 Ogos 2022 yang lalu. Ia merupakan inisiatif MPC bagi menangani cabaran kekurangan pekerja dan pembangunan bakat berkemahiran tinggi dalam kalangan belia tempatan ke arah peningkatan produktiviti dan daya saing negara. Pelaksanaan AiF memberi impak jangka panjang dalam meningkatkan pencapaian pendidikan negara melalui pengiktirafan pendidikan tidak formal yang berasaskan kerja dan meletakkan pendidikan teknikal dan vokasional di dalam arus perdana.
 
“AiF mampu merapatkan jurang permintaan dan bekalan dalam pasaran buruh. Individu yang dilatih melalui AiF dilengkapi dengan kemahiran dan pengetahuan yang spesifik dan dirangka sendiri oleh pihak industri sejajar dengan keperluan mereka. Inisiaif AiF menanda aras saranan daripada Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) yang berpandukan pendekatan dasar yang meluas berteraskan sisi modal insan untuk pertumbuhan produktiviti dan ekonomi,” katanya.
 
Persidangan Kebangsaan Academy in Factory (AiF) 2022 “Pemangkin Kepada Kelestarian Produktiviti dan Kemakmuran Bersama” dianjurkan oleh MPC secara atas talian merupakan platform perkongsian amalan terbaik dan idea inovasi oleh organisasi awam dan swasta.  Pelbagai penambahbaikan turut dikongsi dalam usaha pembangunan bakat tempatan bagi membantu industri dalam pemulihan ekonomi negara.
 
Sumber: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)  

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=16436

No comments:

Post a Comment