Friday, July 15, 2022

PROGRAM IBADAH KORBAN "JOM RAMAI-RAMAI REWANG" ANJURAN HASIL CAWANGAN KUANTAN SEMARAKKAN SAMBUTAN AIDILADHA TAHUN 2022

KUANTAN, 14 Julai (Bernama) -- Bersempena dengan Sambutan Hari Raya Aidiladha 1443H/2022, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) Cawangan Kuantan telah melaksanakan Program Ibadah Qurban 1443H bertemakan “Jom Ramai-ramai Rewang” dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Islam (PERKIS) HASiL Kuantan dan Kelab Sukan dan Kebajikan HASiL Kuantan bertempat di perkarangan Menara Hasil Kuantan semalam.
 
Program ini julung-julung kalinya diadakan di Menara Hasil Kuantan dengan penglibatan seramai 170 orang Hasilian yang diketuai oleh YBhg. Datuk Suhaili bin Sudin, Pengarah Negeri Pahang bersama Encik Ab Aziz Muhamad Esop, Pengarah Seksyen dan Encik Che Mustafa bin Che Ali, Pengarah Cawangan Kuantan.
 
Program yang bermula seawal pukul 8.00 pagi ini dimulakan dengan sesi penyembelihan haiwan korban dan diikuti dengan sesi gotong-royong melapah dan menimbang daging korban bagi tujuan agihan kepada asnaf di sekitar Kampung Kemunting Kuantan. Sebanyak 20 buah rumah golongan asnaf telah dilawati bagi tujuan agihan tersebut di samping 30 pek daging korban turut telah diagihkan kepada golongan ibu tunggal serta pekerja kebersihan dan keselamatan Menara Hasil Kuantan.
 
Menurut YBhg. Datuk Suhaili bin Sudin dalam ucapannya, program ini dianjurkan bertepatan dengan semangat sambutan Aidiladha yang menggalakkan umat Islam untuk memperbanyakkan amalan bersedekah melalui pelaksanaan amal jariah. Ia turut dilihat sebagai salah satu inisiatif HASiL Cawangan Kuantan dalam menyantuni golongan asnaf serta golongan yang memerlukan selain berpeluang beramah mesra bersama dengan seluruh Hasilian Kuantan. Dalam program tersebut juadah makan tengah hari turut disediakan untuk dinikmati oleh semua tetamu yang hadir termasuklah pembayar cukai yang berurusan di Menara HASiL Kuantan.
 
Semoga dengan pelaksanaan program ini dapat mengeratkan silaturahim antara Hasilian dengan masyarakat dan usaha murni ini mendapat keberkatan serta keredhaan daripada Allah SWT.
 
Sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan perkara ini boleh dikemukakan kepada HASiL melalui:
a) Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara);
b) HASiL Live Chat; dan
c) Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantas
https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/.

Dikeluarkan Oleh:
Bahagian Komunikasi | Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia 

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=16089

No comments:

Post a Comment