Friday, May 25, 2018

PKNS agih RM70,000 zakat perniagaan kepada 10 NGO

SHAH ALAM, 25 Mei (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) hari ini mengagihkan zakat perniagaan berjumlah RM70,000 kepada 10 badan bukan kerajaan (NGO) sempena Majlis Iftar Ramadan perbadanan itu di sini hari ini.

Penerima zakat berkenaan ialah Pertubuhan Khidmat Masyarakat Cacat Penglihatan Malaysia, Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA), Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Persatuan IMAM), Yayasan Al Ikhlas, Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia, Yayasan Kanser Malaysia, Majlis Kanser Negara dan Maahad Tahfiz Pulau Meranti Puchong, masing-masing menerima RM7,000.

Selain itu, anak syarikat PKNS, Selgate Corporation Sdn Bhd turut menyumbang RM7,000 kepada Pondok Motivasi Tahfiz Hamlatu Quran, Tanjong Karang, Selangor, manakala Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd (SIC) RM7,000 kepada Pusat Tahfiz Sofiuddin Kampung Delek.

Pengurus Komunikasi Korporat PKNS, Ishak Hashim, berkata majlis iftar itu menjadi acara tahunan PKNS setiap Ramadan untuk meraikan golongan kurang bernasib baik selain merapatkan ukhwah dalam kalangan anggota PKNS.

"Hari ini juga, kita raikan lima keluarga saudara baharu yang kurang berkemampuan. Kita ada beri duit raya kepada anak-anak mereka serta belanja dapur kepada setiap keluarga," katanya pada majlis iftar itu yang disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datin Paduka Dr Noraida Mohd Yusof.

Beliau berkata pada Rabu lepas, lima keluarga terbabit dibawa PKNS untuk membeli kelengkapan raya di Kompleks PKNS di mana setiap orang diberi peluang memilih baju raya masing-masing melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM5,302.

Sementara itu, seorang penerima, Putri Patrisia Abdullah, 32, yang memeluk agama Islam pada 2013 melahirkan penghargaan kepada PKNS di atas sumbangan baju raya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment