Thursday, May 31, 2018

Dana Cradle sokong rancangan pengembangan AdEasy

KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- AdEasy, pasaran dalam talian pertama di Asia Tenggara bagi membantu menghubungkan perniagaan dengan media pengiklanan tradisional, dipilih oleh Cradle Fund Sdn Bhd untuk menerima dana sebanyak RM775,000 pada 2017 dalam pelan pelaburan Direct Equity 800 (DEQ800).

Daripada 800 syarikat, 13 pemula niaga dipilih untuk menerima suntikan modal antara RM300,000 dan RM800,000.

Pembiayaan Cradle tersebut adalah pusingan kedua bagi AdEasy, setelah menerima RM242,000 pada tahun lepas melalui platform penjanaan modal secara komuniti, pitchIN. Setakat ini, AdEasy telah menempah 15 kempen dengan jumlah perbelanjaan iklan lebih daripada RM950,000 untuk pelanggan Perusahaan Kecil dan Sederhananya (PKS).

"Terdapat pasaran besar PKS yang belum diterokai yang belum lagi mengiklan, lebih tepat sebanyak 86.6 peratus," kata Ketua Pegawai Eksekutif AdEasy, Melissa Sim.

"Ini kerana mereka kurang pengetahuan, data dan alat untuk membuat keputusan yang tepat. Kami berhasrat untuk melengkapkan PKS dengan pengetahuan pengiklanan dan alat perancangan media supaya mereka dengan yakin dapat menempah ruang iklan dengan sendirinya," tambahnya.

PKS dapat menjimatkan masa, wang dan sumber dalam mencari ruang iklan yang sesuai melalui pasaran menyeluruh dalam tiga langkah mudah melalui AdEasy dengan melayari, membandingkan dan menempah.

Perbelanjaan iklan Malaysia pada 2017 berjumlah RM4.65 bilion, dengan pengiklan Malaysia memperuntukkan 77 peratus daripada bajet pengiklanan mereka untuk media tradisional.

Menurut laporan Nielsen Consumer and Media View 2017, media tradisional menikmati lebih 70 peratus yang dicapai secara keseluruhan. Lebih 90 peratus rakyat Malaysia yang berumur antara 15-24 tahun menggunakan media tradisional dan digital, dan hanya satu peratus daripada demografi ini menggunakan media digital semata-mata dalam tempoh masa itu.

Jelas sekali pengiklanan tradisional masih berkembang.

Hari ini, lebih 480 ruang iklan disenaraikan di AdEasy daripada lebih 80 pilihan media seperti Pawagam GSC, Astro Radio, BFM 89.9, The Malay Mail, Mingguan Wanita, Her World, Bernama News Channel, Saluran Melayu Astro, Grab On-car Ads, Hot Media, dan banyak lagi.

"Kami terus menambah lebih banyak pilihan media ke pasaran setiap bulan dan merancang untuk memperluaskan tawaran ruang iklan kami untuk memasukkan negara jiran pada akhir tahun ini supaya PKS mudah menempah ruang iklan di mana saja, pada bila-bila masa di rantau ini tanpa halangan. Kami bertekad untuk menjadikan AdEasy sebagai ekosistem dalam talian utama untuk pengiklanan di Asia Tenggara," kata Sim.

"Cradle mempunyai lebih 700 pemula niaga dalam portfolionya, dan memberikan mereka bimbingan, peluang rangkaian, dan bantuan untuk pertumbuhan. Selain daripada mengetahui kami berada dalam keadaan yang baik, kami percaya AdEasy boleh menambah nilai kepada pemula niaga penerima pelaburan Cradle dengan menjadi sokongan iklan mereka. Akhirnya, seperti Cradle, AdEasy memberi tumpuan kepada pertumbuhan bagi mereka - melalui pengiklanan," katanya.

Ketua Pegawai Pelabuhan Cradle, Juliana Jan berkata inovasi digital menjadi perkara penting strategi pelaburan syarikat.

"Sebuah pasaran dalam talian untuk ruang iklan luar talian yang membolehkan pengiklan menempah ruang iklan luar talian menentukan masa depan pengiklanan tradisional.

"Kami yakin AdEasy dan teknologinya akan menjadi pembawa perubahan dalam industri. Kami melihat potensi besar dalam AdEasy dan kami teruja untuk menyokong serta menjadi sebahagian daripada syarikat ini," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment