Friday, October 13, 2023

FORUM PERINGKAT TINGGI ASEAN: PENGENDALIAN ORANG KURANG UPAYA DILAKSANAKAN SECARA MENYELURUH

MAKASSAR, Indonesia, 12 Oktober 2023/Agensi Berita Antara-AsiaNet/--
 
Perlindungan dan pemenuhan bagi hak-hak orang kurang upaya di ASEAN dilaksanakan secara menyeluruh termasuk aspek berkaitan pendidikan, kesihatan, penyediaan peluang pekerjaan dan perlindungan sosial. Rawatan yang menyeluruh ini diperlukan supaya orang kurang upaya boleh berdikari dan pada masa yang sama meningkatkan maruah mereka.

Ini adalah di antara isu utama yang muncul di dalam Forum Peringkat Tinggi ASEAN mengenai Pembangunan Inklusif dan Perkongsian Orang Kurang Upaya selepas tahun 2025. Acara peringkat antarabangsa ini yang berlangsung di Makassar pada 10-12 Oktober 2023, telah dihadiri oleh 13 orang wakil negara dari ASEAN, pemerhati, dan wakil dari negara-negara lain.

Peserta di dalam forum ini terdiri daripada Menteri dan Pegawai Kanan ASEAN yang bertanggungjawab ke atas kebajikan sosial dan pembangunan di dalam badan-badan sektor yang berkaitan, entiti dan rakan gabungan ASEAN. AHLF 2023 adalah satu daripada satu siri Sidang Kemuncak ASEAN di bawah jawatan pengerusi Indonesia.

Beberapa penceramah muncul pada hari pertama AHLF yang memberi tumpuan kepada mengenal pasti cabaran di ASEAN untuk memperkukuhkan pembangunan inklusif kurang upaya. Pelbagai isu dan pengajaran yang diperoleh daripada kesan pandemik terhadap kehidupan orang kurang upaya turut dibincangkan.

Dalam ucapan perasmian beliau, Menteri Hal Ehwal Sosial Tri Rismaharini berkata kecacatan bukan sahaja menjadi satu isu di ASEAN, tetapi juga merupakan satu isu global kerana jumlah orang kurang upaya agak ramai. Di ASEAN, terdapat kira-kira 62 juta orang kurang upaya. Manakala, di Indonesia pula mereka berjumlah sekitar 22.9 juta orang. Di atas sebab ini, AHLF telah menjemput peserta dari Amerika Syarikat, England dan Australia untuk melihat bagaimana negara-negara ASEAN telah berusaha untuk menangani ketidakupayaan dengan baik sambil berbincang dan bertukar pengalaman.
 
“Kami berharap melalui AHLF ini, penanganan terhadap orang kurang upaya di ASEAN dapat menjadi lebih baik lagi di masa hadapan,” kata Menteri Hal Ehwal Sosial di hadapan media selepas sesi pembukaan di Makassar, pada Selasa (10/10).

Hadir pada mesyuarat itu, Pengerusi bagi Suruhanjaya VIII Dewan Rakyat, Ashabul Kahfi berkata pihaknya amat menghargai langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian Hal Ehwal Sosial di dalam penganjuran AHLF. Dalam Undang-undang Nombor 8 Tahun 2016 mengenai Orang Kurang Upaya, kerajaan digalakkan untuk bekerjasama dengan banyak pihak untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada orang kurang upaya.

Perkhidmatan ini amat penting agar orang kurang upaya boleh berdikari dan pada masa yang sama meningkatkan nilai dan martabat orang kurang upaya. "Kementerian Hal Ehwal Sosial, setakat ini, telah memberi perhatian kepada hak-hak orang kurang upaya. "Daripada belanjawan sekitar IDR 80 trilion, sebahagian daripadanya telah digunakan untuk memperkasakan orang kurang upaya," kata beliau.

Memenuhi hak orang kurang upaya adalah satu usaha untuk merealisasikan reka bentuk pembangunan insan Indonesia di mana tidak ada pihak yang ketinggalan, termasuk mereka yang kurang upaya. Kenyataan ini telah disampaikan oleh Timbalan bagi Penyelarasan Peningkatan Kebajikan Sosial, Kementerian Penyelarasan bagi Pembangunan Manusia dan Budaya, Prof. Nunung Nuryartono.

Menurut beliau, Kementerian Hal Ehwal Sosial telah merangka banyak program supaya golongan kurang upaya dapat keluar daripada kemiskinan tegar. “Presiden telah mengisytiharkan bahawa tidak akan ada lagi kemiskinan tegar pada tahun 2024. “Itu adalah sasaran kita bersama,” kata Nunung.

Sementara itu, Pengerusi bagi Persatuan Orang Kurang Upaya Indonesia, Norman Yulian, pada majlis yang sama, menghargai kesungguhan kerajaan, khususnya Kementerian Hal Ehwal Sosial di dalam merealisasikan sebuah Indonesia yang inklusif dan mesra orang kurang upaya.

Kerajaan juga telah mencuba pelbagai cara untuk mewujudkan sebuah Indonesia yang inklusif, termasuk bagi golongan orang kurang upaya, baik di dalam sektor pendidikan mahupun pekerjaan. "Kami berharap melalui AHLF kami dapat merangka satu pelan induk untuk mengendalikan ketidakupayaan bagi rantau ASEAN," kata Norman.

Berhubung acara di Makassar itu, Menteri Hal Ehwal Sosial berkata bahawa kehadiran peserta dari pelbagai negara turut digunakan untuk mempromosikan pelancongan Indonesia yang unik dan sangat pelbagai.

Destinasi pelancongan di Sulawesi Selatan sangat unik kerana ia berkaitan dengan tamadun manusia. “Potensi pelancongan ini sangat jarang dan luar biasa jadi ia harus dipromosikan ke seluruh dunia,” kata Menteri Risma.

Bukan mudah untuk mengoptimumkan destinasi pelancongan bagi orang kurang upaya kerana kerajaan harus menyediakan infrastruktur itu. Namun, ini boleh dilakukan oleh Indonesia. Destinasi pelancongan yang akan dilawati oleh delegasi AHLF adalah sangat mesra kepada orang kurang upaya.

“Daripada reka bentuk sehingga kepada pembinaan, segala-galanya dilakukan oleh orang kurang upaya supaya ia sesuai dengan keperluan mereka. “Langkah ini juga untuk menunjukkan bahawa mereka sebenarnya mampu dan berupaya jika diberikan peluang,” kata beliau.
 
SUMBER: Kementerian Sosial 

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=17547

No comments:

Post a Comment