Tuesday, November 29, 2022

PERATURAN TANGKAS BERJAYA MENINGKATKAN PRODUKTIVITI PROSES PEMBINAAN MENARA TELEKOMUNIKASI DI DALAM REZAB LEBUH RAYA

PETALING JAYA, 29 Nov (Bernama) -- Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan kerjasama Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berjaya menambahbaik proses pembinaan Menara Telekomunikasi di dalam rezab lebuhraya dengan menggunapakai kaedah peraturan tangkas yang bertujuan memperkukuhkan insiatif infrastruktur digital negara.   

 
Dato’ Abdul Latif Haji Abu Seman, Ketua Pengarah MPC berkata, “MPC sentiasa komited dalam meningkatkan daya saing negara khususnya dalam bidang digital dan infrastruktur teknologi”. Menurut laporan IMD World Digital Competitiveness Ranking 2022 Malaysia berada di kedudukan ke-35 daripada 63 negara di seluruh dunia untuk kelajuan internet jalur lebar. Prestasi ini menunjukkan bahawa Malaysia hendaklah melipatgandakan usaha dalam meningkatkan prestasi internet untuk menuju ke arah negara yang berdaya saing, moden dan maju. Aspirasi ini hanya dapat dicapai dengan kerjasama daripada pelbagai pihak samada pihak kerajaan mahupun swasta”.
 
Menerusi inisiatif ini, KKR melalui LLM telah membuat beberapa penambahbaikan dasar kelulusan pembinaan Menara Telekomunikasi di dalam rezab lebuhraya. Antara penambahbaikan yang telah dilakukan adalah semakan dan pengurangan jumlah bayaran jaminan bank daripada RM50,000 kepada 5 peratus daripada kos projek dan semakan semula caj perkhidmatan daripada RM50,000 kepada RM20,000 bagi tempoh 10 tahun. Inisiatif ini diharap dapat menyelesaikan masalah dan bebanan kos yang ditanggung oleh penyedia perkhidmatan telekomunikasi dalam memperkukuh daya saing infrastruktur digital di dalam rezab lebuh raya. Selain itu, LLM pada masa yang sama sedang memperkukuh infrastruktur digital ini melalui projek pembinaan kabel gentian fiber optik di sepanjang lebuh raya di Semenanjung Malaysia. Konsep perkongsian infrastruktur ini membolehkan Malaysia menjadi hab data raya yang strategik di rantau ASEAN.
 
Dato’ Wei Chuan Beng, Ahli Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED41RN) yang juga merupakan Pengerusi Nexus Produktiviti Digital menyambut baik kejayaan inisiatif ini. “Pihak swasta semestinya berasa lega kerana semakan kos dalam membina infrastruktur digital semestinya akan merancakkan lagi pembangunan infrastruktur digital, seterusnya akan membolehkan sasaran kerajaan dalam MyDIGITAL dan JENDELA untuk meningkatkan liputan dan kelajuan internet dapat dicapai”, jelas beliau. 
 
Inisiatif ini merupakan salah satu projek unit MyMudah di bawah KKR dan LLM. Inisiatif MyMudah merupakan inisiatif MPC yang berfungsi membuat semakan peraturan secara terancang bagi mengurangkan beban peraturan yang tidak wajar terhadap perniagaan. Ia mampu meningkatkan kecekapan penyampaian peraturan perkhidmatan awam dalam memudahkan urusan menjalankan perniagaan, dan pada masa yang sama menjamin ekosistem kawal selia yang telus dan berintegriti. Inisiatif in telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada November tahun lepas. Sehingga kini, lebih 70 kementerian, agensi, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, dan persatuan industri telah terlibat dalam sesi taklimat dan libat urus yang dijalankan oleh MPC. 
 
  
Mengenai  Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). MPC menggalakkan produktiviti, kualiti dan daya saing kepada industri dan organisasi di Malaysia. Visi MPC adalah menjadi organisasi terkemuka dalam peningkatan produktiviti untuk daya saing global dan inovasi.
 
 
SUMBER : Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

No comments:

Post a Comment