Friday, November 4, 2022

MPC LANCAR PORTAL PRODUCTIVITY CHAMPION IKTIRAF BAKAT PRODUKTIF DAN BERDAYA SAING TINGGI

PETALING JAYA, 3 Nov (Bernama) -- Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) telah melancarkan portal e-Productivity Champion (ePC), satu platform dalam talian bagi pendaftaran dan pengiktirafan kepada individu yang banyak memberi sumbangan ke arah peningkatan produktiviti dan daya saing organisasi dan negara.

Program Productivity Champion yang diperkenalkan pada tahun 2022 bertujuan mengiktiraf bakat berproduktiviti tinggi serta menyumbang kepada pengembangan organisasi, industri, dan negara melalui aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I), penambahbaikan proses dan produk, pendigitalan perniagaan, pengurusan dan pentadbiran, serta pengukuhan ekosistem perniagaan. 

Sehingga September 2022, MPC telah mengiktiraf 3,880 individu sebagai Productivity Champion.

Pengerusi MPC, Ram Ganesan Karthigasu, dalam ucapan beliau ketika perasmian pelancaran portal ePC berkata, “Pekerja merupakan aset pertumbuhan produktiviti yang pesat sama ada di peringkat organisasi mahupun negara. Pengiktirafan Productivity Champion oleh MPC memberi nilai tambah kepada individu dan meningkatkan kredibiliti pekerja. MPC berharap pengiktirafan ini dapat memajukan kerjaya pekerja, justeru mereka menjadi individu pilihan majikan”. Pelancaran ePC diadakan ketika Persidangan Kebangsaan Academy in Factory (AiF) pada 20 Oktober 2022 secara dalam talian.

Ketua Pengarah MPC, Dato’ Abdul Latif bin Haji Abu Seman berkata, “Program Productivity Champion merupakan salah satu program induk dalam inisiatif pembangunan bakat MPC. Peningkatan produktiviti pada peringkat individu iaitu tahap yang paling asas amat penting seterusnya memberi kesan kepada prestasi enterpris.”

“Objektif utama Program Productivity Champion, selain mengiktiraf individu produktif dan berdaya saing, ialah untuk mengembangkan komuniti produktiviti bagi meneraju industri, menjadi platform perkongsian amalan terbaik, pengetahuan, kemahiran, dan pengalaman dalam mengukuhkan organisasi, dan menggalakkan transformasi dan inovasi masyarakat dan organisasi melalui kreativiti, idea baru, dan teknik produktiviti.”

“Dalam Laporan Tinjauan Ekonomi 2023 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan (MOF), MPC telah mengenalpasti antara cabaran yang dihadapi oleh negara ialah untuk mempercepatkan inisiatif pembangunan bakat dalam mendepani cabaran dan pekerjaan baharu serta membangunkan tenaga kerja tersedia masa hadapan.”

“Berdasarkan Laporan World Talent Ranking 2021 terbitan Institute for Management Development (IMD), negara dengan pertumbuhan produktiviti yang tinggi berada pada kedudukan yang baik dalam penarafan bakat global. Ini menunjukkan kepentingan sumber manusia kepada prestasi produktiviti.”

“Program Productivity Champion ini diharap dapat menggalakkan lebih ramai pekerja untuk terus meningkatkan produktiviti dan daya saing diri. ”

Pengiktirafan Productivity Champion adalah berdasarkan tiga kategori utama iaitu Peneraju (Leader), Pengamal (Practitioner), dan Bakat (Talent). Setiap kategori mempunyai kriteria penganugerahan tersendiri. Individu yang diiktiraf sebagai Productivity Champion seterusnya mempunyai peluang untuk menyertai program Productivity Specialist di bawah Badan Pensijilan MPC yang diakreditasi Asian Productivity Organisation (APO).

Maklumat lanjut mengenai program Productivity Champion boleh didapati dengan melayari laman sesawang https://www.mpc.gov.my/epc.

Sumber: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) 

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=16476

No comments:

Post a Comment