Sunday, October 25, 2020

UMK RINTIS PRODUK INOVASI SISTEM RAWATAN DAN PENAPISAN AIR TANPA BAHAN KIMIA

KOTA BARU, 22 Okt (Bernama) -- UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) mengambil tindakan efektif membangunkan projek pembinaan telaga tiub dan sistem penapisan air terawat atau dikenali sebagai Water Media Filter (WMF) bagi menampung keperluan air kepada warga kampusnya termasuk 600 pelajar di kolej kediaman pelajar IBS.

Projek pemasangan telaga dan penapis WMF ini telah diketuai oleh Penyelidik Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi (FBKT), Prof. Madya Dr. Wan Mohd Faizal Wan Ishak bermula pada bulan Mac 2020 dan berjaya disiapkan sepenuhnya pada Ogos 2020.
 
Menurut Prof. Madya Dr. Wan Mohd Faizal, projek air bawah tanah merupakan satu inisiatif dan inovasi kepakaran dalaman yang dimiliki oleh FBKT dengan kerjasama dari Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).
Katanya, projek pembinaan sistem air ini merupakan pelan pembangunan jangka panjang untuk membekalkan air bersih kepada kolej kediaman UMK (Asrama IBS) berikutan keupayaan telaga tiub sedia ada yang terbatas dan kerap kali mengalami masalah.
 
“Justeru, melalui inisiatif UMK dan bantuan JMG telah mengambil keputusan untuk menggali telaga tiub dengan kapasiti yang lebih besar dan hasilnya kita berjaya membina satu telaga tiub dengan kedalaman 60 meter dan kapasiti air sembilan meter padu sejam atau 0.21million liter per day (MLD).
 
“Pembinaan telaga ini telah dimulakan pada Mac 2020 dengan proses carigali yang dilakukan oleh JMG dan Fakulti Sains Bumi (FSB) manakala sistem penapisan air dibina dengan kepakaran dalaman FBKT dan projek ini berjaya disiapkan sepenuhnya pada Jun 2020 yang mampu memberi manfaat kepada kira-kira 2,000 warga kampus di UMK Bachok.
“Keupayaan sistem telaga tiub bawah tanah dan sistem penapisan ini berupaya mengeluarkan air sebanyak 210,000 liter air sehari manakala sistem penapisan MFW merupakan medium yang tidak menggunakan bahan kimia bagi membekalkan air bersih terawat untuk kegunaan warga kampusnya,” katanya.

http://mrembm.bernama.com/viewsm.php?idm=13888

No comments:

Post a Comment