Tuesday, October 6, 2020

Tapak Bersejarah Korea 'Jeolla Gamyoung' Yang Dipulihkan Kepada Kemegahan Asal Akan Dibuka Pada 7 Okt.



JEONJU, Korea Selatan, 5 Okt (Bernama-BUSINESS WIRE) — Jeolla Gamyoung telah dipulihkan kepada kemegahan asalnya dan akan dibuka pada 7 Oktober. Sebuah kompleks kerajaan wilayah telah dipanggil ‘Gamyoung’ pada masa Dinasti Joseon yang bertahan selama kira-kira 500 tahun (1392-1910). Jeolla merujuk kepada wilayah di barat daya negara itu.

Bandar raya Jeonju, Kerajaan Wilayah Jeolla Utara dan Jawatankuasa Pemulihan Jeolla Gamyoung akan membuka tirai Jeolla Gamyoung yang dipulihkan itu pada pukul 2 petang pada 7 Oktober. Berjudul “Jeolla Gamyoung: Sekuntum Bunga Berseri, Buah Seribu Tahun,” upacara memotong riben itu akan dihadiri oleh sebilangan kecil peserta untuk mencegah penyebaran Covid-19 dan distrimkan secara langsung di YouTube.

Sambutan bagi pemulihan tapak bersejarah itu akan dimulakan dengan ‘Seungjeonmu’ (Tarian Kemenangan), yang telah diadakan untuk menyambut George Clayton Foulk, kuasa usaha Amerika Syarikat ke Joseon pada masa itu, pada tahun 1884 ketika beliau melawat Jeolla Gamyoung. Satu upacara untuk pertukaran tugas bagi gabenor Jeolla akan dilakonkan berdasarkan kepada catatan yang ditulis oleh Gabenor Jeolla Lee Seok-pyo dalam ‘Diari Honam’ beliau. Honam adalah nama lain untuk Jeolla.

Kemudian, papan tanda bagi ‘Seonhwadang,’ bangunan utama di Jeolla Gamyoung, akan dilancarkan. Gabenor-gabenor Jeolla pada masa Dinasti Joseon telah melaksanakan tugas rasmi mereka di ‘Seonhwadang.’ Warga Jeonju dan penduduk di Wilayah Jeolla Utara akan menyampaikan sebuah buku ucap selamat mereka bagi masa depan Jeolla Gamyoung kepada datuk bandar Jeonju dan gabenor Jeollabuk-do. Selepas acara-acara rasmi, peserta akan melawat tapak yang dipulihkan itu.

Gabenor-gabenor Jeolla pada masa Dinasti Joseon mempunyai bidang kuasa ke atas wilayah Jeolla Utara dan Selatan yang ada sekarang, Bandar raya Metropolitan Gwangju dan Pulau Jeju. Jeolla Gamyoung terletak di tapak bangunan kerajaan Jeollabuk-do lama.

Perbincangan mengenai sebuah projek untuk memulihkan kompleks kerajaan purba itu bermula pada tahun 2005. Tanah untuk projek tersebut telah dikorek pada November 2017 setelah bangunan kerajaan Jeollabuk-do yang lama dirobohkan. Peringkat pertama bagi projek itu telah disiapkan pada 27 Ogos.

Tumpuan bagi peringkat pertama adalah untuk mencari rekod mengenai bentuk asal Jeolla Gamyoung. Tujuh bangunan utama telah dipulihkan dalam fasa pertama: Seonhwadang, Naeah, Naeah Hangrang, Gwanpoonggak, Yeonsindang, Naesammun dan Oehangrang.

Jeonju akan memulakan peringkat kedua bagi projek itu sejurus setelah memutuskan mengenai pelan untuk membangunkan zon barat bagi Jeolla Gamyoung. Sehingga itu, zon berkenaan akan kekal dibuka kepada orang awam.

“Bandar raya itu merancang sambutan pemulihan itu pada skala yang paling kecil mungkin untuk mencegah penyebaran Covid-19,” kata Choi Lak-ki, pengarah bagi budaya, pelancongan dan sukan di Dewan Bandaraya Jeonju, “Memandangkan Jeolla Gamyoung sekarang telah dipulihkan, kami akan berusaha untuk menarik lebih ramai pelancong ke tapak itu untuk menghebahkan sejarah dan statusnya. Jeolla Gamyoung yang telah dipulihkan akan mengangkat harga diri warga Jeonju dan Jeollabuk-do.”


http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=13819

No comments:

Post a Comment