Wednesday, January 11, 2017

Mesyuarat Deloitte CSG Berjaya Dianjurkan, Tumpu Usaha Pelaburan China Ke ASEAN

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) -- Kumpulan Perkhidmatan China (CSG) Deloitte bagi rantau Asia Tenggara (Deloitte CSG) berjaya menganjurkan Mesyuarat Pemimpin Kali Keempatnya pada 9-10 Jan, 2017.

Dalam satu kenyataan hari ini, Deloitte CSG berkata mesyuarat kali ini menumpukan usaha bagi mempertingkat kerjasama serta kemudahan pelaburan China di rantau ASEAN.

"Ia turut membincangkan bagaimana Deloitte boleh berperanan secara proaktif untuk menarik pelabur China ke negara-negara Asia Tenggara dan bagaimana mereka dapat berkongsi garis panduan pelaburan strategik dan perniagaan untuk usahawan tempatan," katanya.

Menurut Deloitte CSG, mesyuarat kali ini turut melibatkan profesional Deloitte yang berpengalaman luas serta berkemahiran dwibahasa untuk berkongsi panduan serta membantu syarikat-syarikat yang terlibat dalam pelaburan rentas sempadan dan perniagaan dengan China.

Hasil kaji selidik Deloitte baru-baru ini menunjukkan Asia Tenggara merupakan destinasi pelaburan paling popular kepada syarikat-syarikat China berikutan kelebihan geografi selain kaya sumber aslinya.

Sementara itu, pemimpin CSG Deloitte Asia Tenggara, Dr Ernest Kan menyifatkan Malaysia menyediakan peluang pelaburan yang tepat di Asia Tenggara untuk kalangan pelabur China, berikutan hubungan lamanya dengan China dari sudut ekonomi dan sosial.

"Negara itu juga bersedia memainkan peranan pentingnya dalam inisiatif 'Satu Jalur, Satu Laluan' yang dilancarkan China," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment