Monday, April 4, 2016

'Page To Pitch Media 360' Buka Peluang Penulis Tonjol Bakat

KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) -- Perbadanan Kota Buku dengan kerjasama Kumpulan Media Karangkraf dan Perbadanan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan menganjurkan pertandingan 'Page to Pitch (P2P) Media 360' bagi membuka peluang kepada penulis menerbitkan karya mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, Sayed Munawar Sayed Mustar berkata pertandingan itu bakal menjadi inspirasi bukan sahaja untuk penulis kreatif di negara ini malah penulis di negara ASEAN untuk memperkasakan industri penerbitan secara menyeluruh.

"Pertandingan ini merupakan satu peluang keemasan bagi mereka menonjolkan bakat dan mendapat pengiktirafan yang sewajarnya," katanya pada sidang media di sini, Isnin.

Beliau berkata pertandingan itu terbahagi kepada dua kategori iaitu 'Idea untuk penerbitan' yang akan mencungkil bakat penulis baharu dengan pemenang bagi kategori itu, berpeluang menerbitkan karyanya bersama Karangkraf.

Katanya kategori kedua iaitu 'Penerbitan untuk adaptasi' menyasarkan penulis yang telah menerbitkan karya mereka untuk diadaptasi dalam bentuk kandungan media digital seperti filem, animasi dan aplikasi.

Pemenang utama kategori itu, katanya akan menerima geran pembangunan industri kreatif oleh FINAS yang bernilai RM500,000.

Katanya penyertaan dibuka dari sekarang hingga 22 April ini dan peserta boleh memuat turun borang penyertaan di www.facebook.com/page2pitch.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment