Thursday, May 14, 2020

BANK MUAMALAT PERLUASKAN KHIDMAT E-ZAKAT MELALUI QR CODE KE DUA LAGI NEGERI

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Pada 29 April lalu, Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) telah mengumumkan khidmat Kod Respon Pantas atau ‘Quick Response Code’ (QR Code) untuk kemudahan bayaran zakat fitrah semua umat Islam di empat negeri di Semenanjung Malaysia, iaitu Melaka, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu.

Seiring dengan hasrat Bank Muamalat untuk meluaskan platform e-Zakat ke seluruh negara, dua lagi negeri telah memberikan kelulusan untuk pembayaran zakat melalui QR Code. Kelulusan daripada Majlis Ugama Negeri Sabah (MUIS) dan Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) telah membolehkan umat Islam di Sabah dan Sarawak untuk menyusuli empat negeri terdahulu untuk membenarkan pembayaran zakat melalui QR Code. Inisiatif yang diketengahkan Bank Muamalat ini dapat memudahkan umat Islam untuk membayar zakat tanpa perlu bergerak ke mana-mana. Malah, ia bertepatan dengan situasi kebiasaan baharu hari ini di mana masyarakat tidak dapat membayar zakat melalui amil ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin, tambahan dua lagi negeri bagi perkhidmatan ini menunjukkan bahawa inisiatif yang diwujudkan telah mendapat sokongan dari Majlis-majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

“Menerusi pembayaran zakat fitrah melalui QR Code, pelanggan Bank Muamalat dan pelanggan bank lain yang berdaftar dengan Duitnow QR secara amnya dapat memenuhi tuntutan rukun Islam yang ke-4 melalui platform tanpa tunai dengan mudah dan cepat. Pelanggan hanya perlu mengimbas telefon bimbit mereka pada DuitNow QR Bank Muamalat di laman sesawang Zakat Negeri yang berkenaan untuk melengkapkan transaksi. Kod QR tersebut turut akan dihebahkan kepada pembayar zakat negeri masing-masing menerusi media sosial seperti WhatsApp dan Facebook”, ujar Khairul.

Beliau menambah, inisiatif ini juga merupakan usaha pihak Bank Muamalat menyokong visi Bank Negara Malaysia untuk merealisasikan persekitaran masyarakat tanpa tunai yang lebih selamat dan efisyen.


Mengenai Bank Muamalat Malaysia Berhad

Bank Muamalat adalah sebuah insitusi kewangan Islam yang telah ditubuhkan pada 1 Oktober 1999, dan dikawal selia di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA). Sebagai sebuah institusi kewangan Islam sepenuhnya, Bank Muamalat menawarkan pelbagai perkhidmatan yang memenuhi keperluan kedua-dua pihak iaitu individu dan institusi.

Secara umum, Bank Muamalat menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan individu seperti akaun deposit, pengurusan aset, pembiayaan kenderaan, pembiayaan rumah dan juga pembiayaan peribadi. Bank Muamalat juga menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan kepada pelanggan insitusi dan korporat, daripada khidmat pengurusan tunai, penyelesaian pembayaran,  kewangan perdagangan dan eksport antarabangsa, pertukaran asing, pembiayaan, dan urusniaga pasaran modal.

Bank Muamalat mempunyai 65 buah cawangan, selain mempunyai kemudahan perbankan internet iaitu i-Muamalat, serta e-muamalat yang merujuk kepada rangkaian ATM, CDM, dan CDT yang boleh didapati di hampir 141 lokasi seluruh negara.

Bank Muamalat merupakan ahli Kumpulan DRB-HICOM Berhad di mana ia memiliki 70% saham Bank dengan baki kepentingan dipegang oleh Khazanah Nasional Berhad, sebuah cabang pelaburan negara.

Bank Muamalat telah diterima secara rasmi sebagai ahli GABV pada 15 November 2017. Bank Muamalat ialah bank Islam pertama di dunia dan yang pertama di rantau Asia Tenggara menjadi ahli Global Alliance for Banking in Values (GABV).

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=13394

No comments:

Post a Comment