Friday, December 16, 2016

NEC SEDIAKAN LATIHAN PERTAHANAN SIBER UNTUK AGENSI KERAJAAN DI THAILAND

KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Anak syarikat NEC Corporation (NEC), NEC Corporation (Thailand), menyediakan latihan amali (hands on) pertahanan siber kepada Thailand Electronic Transactions Development Agency (ETDA) dan agensi kerajaan lain di negara itu.

NEC dalam satu kenyataan berkata latihan itu diadakan di Bangkok, Thailand dari 6 hingga 9 Dis lepas kepada lebih 50 pegawai kerajaan dari ETDA dan agensi kerajaan lain.

"Latihan amali pertahanan siber itu bertujuan meningkatkan keupayaan pentadbir sistem di agensi kerajaan untuk menangani ancaman serangan siber yang semakin meningkat, secara efektif.

"Dengan menyediakan simulasi infrastruktur ICT (teknologi maklumat dan komunikasi) pelanggan, latihan praktikal itu membolehkan pentadbir system dibangunkan dengan keupayaan pertahanan siber yang komprehensif," kata kenyataan itu di sini hari ini.

Menurut NEC, ETDA, yang berada di bawah bidang kuasa Kementerian Ekonomi Digital dan Masyarakat, adalah satu daripada agensi yang bertanggungjawab untuk keselamatan siber di Thailand.

"Sebagai sebahagian daripada ini, ETDA mengendalikan ThaiCERT, sebuah Pasukan Respons Insiden Keselamatan Komputer (CSIRT) yang bertanggungjawab mengendalikan kejadian keselamatan komputer di negara itu," kata kenyataan itu lagi.

-- BERNAMA


No comments:

Post a Comment