Saturday, December 10, 2016

Felcra Sedia Jadi Agensi Peneraju Pengeluar Produk Makanan Negara

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Felcra Berhad (Felcra) kini bersedia untuk menjadi sebagai agensi peneraju dalam bidang pengeluaran produk makanan negara, kata pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Bung Moktar berkata, sehingga kini belum ada mana-mana agensi atau institusi yang menjadi peneraju dalam sektor tersebut bagi membantu mengurangkan jumlah kebergantungan negara kepada makanan import.

"Misalnya susu segar, majoritinya 73 peratus atau nilainya RM6 bilion import begitu juga dengan makanan ayam, jagung. Negara kita ada eksport tapi tidak begitu ketara.

"Bayangkan jika berlaku krisis antara negara ini dengan negara lain yang merupakan pengimport produk makanan yang kemudiannya bertindak menghentikannya, jadi kita (rakyat) akan berdepan masalah," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan kali ke-35 Koperasi Peserta-Peserta Felcra Malaysia Berhad di sini, malam ini.

Turut hadir Datuk Rodzuan Zaaba Pengerusi Koperasi Peserta-Peserta Felcra Malaysia Berhad (KPFB).

Bung Moktar berkata cadangan mengenai langkah itu akan dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 20 Dis ini sempena Sambutan 50 tahun Felcra.

Dalam pada itu, dalam usaha memajukan KPFB, beliau berkata sudah tiba masanya pihak tertinggi koperasi itu mengurus secara holistik dengan melaksanakan industri yang lebih bersifat komersial dan global.

"Ini perlu dilihat daripada perubahan dunia, saya percaya sekiranya koperasi ini diurus secara mampan akan berjaya meningkatkan jumlah pendapatan koperasi sekali gus dapat menguntungkan pesertanya," kata beliau.

Untuk rekod, KPFB mempunyai peserta seramai 50,376 dan 153 koperasi bernaung di bawahnya di seluruh negara dengan mencatatkan keuntungan bersih RM3.1 juta pada tahun ini.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment