Tuesday, February 23, 2016

Hujan Lebat Tidak Halang Warga Putrajaya Hadiri Street Dakwah PPZ-MAIWP

PUTRAJAYA, 20 Feb (Bernama) -- Hujan lebat tidak menghalang kira-kira 500 warga Putrajaya menghadiri Program Street Dakwah anjuran Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) di Kompleks Futsal 1Malaysia, di sini malam Sabtu.

Program itu diadakan bertujuan menyampaikan dakwah secara santai melibatkan dua topik iaitu adab berjiran dan zikir-zikir.

Selain itu, program tersebut turut memberi peluang kepada hadirin untuk melaksanakan tanggungjawab membayar zakat serta memberi kesedaran terhadap kewajipan itu.

Program yang diadakan sempena acara Kenduri 1Wilayah Persekutuan itu diisi dengan ceramah daripada personaliti agama iaitu Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood, Ustaz Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang dan Ustaz Zulkarnain Hamzah.

Turut memeriahkan program itu ialah penyanyi Asmawi Ani atau lebih dikenali sebagai Mawi, gitaris kumpulan Kamikaze Shamril Mohd Salleh (Sham Kamikaze) dan pelawak Abd Rahman Kasim (Man Raja Lawak).

Program yang berlangsung selama dua jam itu turut dihadiri Presiden Perbadanan Putrajaya Datuk Seri Hasim Ismail dan Pengerusi PPZ-MAIWP Datuk Che Mat Che Ali.

Sementara itu, Program Kenduri 1Wilayah Persekutan yang diadakan esok (Ahad) sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan akan dirasmikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment