Wednesday, April 3, 2024

FEFIFO DAN PAYNET JALIN KERJASAMA INOVATIF UNTUK MEMPERKASAKAN PETANI B40 TEMPATAN DENGAN SOLUSI KEWANGAN DIGITAL




● Syarikat pemula tempatan, Fefifo, menjadi syarikat AgriTech pertama yang bekerjasama dengan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), rangkaian pembayaran kebangsaan dan pembekal infrastruktur kewangan pusat, untuk mendigitalisasi petani B40 dan meningkatkan pembayaran digital di kalangan mereka sebagai salah satu inisiatif rangkuman kewangan.

● Permohonan atas talian kini dibuka. Sehingga 100 petani B40 bakal menerima manfaat. Kumpulan rintis 10-20 petani B40 sedang disaring Jabatan Pertanian Pulau Pinang.

● Melalui PayNet, kolaborasi membolehkan insentif diberi kepada para petani B40 untuk meningkatkan penggunaan pembayaran tanpa tunai di bawah Program Digitalisasi Petani Fefifo dan pelbagai sokongan untuk Fefifo mempertingkatkan operasi bagi segmen yang disasarkan ini di sekurang-kurangnya 4 negeri. PayNet turut memberi sokongan dalam bentuk penyaluran kohort-kohort sesuai. Perbincangan dengan 3 kumpulan sasar sedang berjalan – 2 perusahaan sosial diketuai bakal graduan dari 2 universiti awam di Pahang dan Johor serta kohort di Sabah melalui 1 syarikat fintech yang disokong oleh PayNet.

● Program Fefifo akan melengkapkan petani B40 dengan teknik pertanian terkini melalui SOP yang mudah diikuti, pendekatan 'seed-to-sale' (dari benih ke jualan) dengan bekalan pertanian pada harga mampu milik dan 100% pembelian balik berkontrak menggunakan aplikasi mudah alih “Magic Bean Fefifo”

 
KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) -- Syarikat permula AgriTech tempatan, Fefifo (/fee-fai-fo/) mengumumkan bahawa permohonan atas talian telah dibuka untuk petani daripada komuniti B40 tempatan untuk mengikuti Program Digitalisasi Petani Fefifo, yang dikuasai oleh sistem pembayaran digital - PayNet, melalui aplikasi Magic Bean Fefifo.
 
Program ini merupakan sebahagian daripada kerjasama strategik yang dibangunkan bersama PayNet, rangkaian pembayaran kebangsaan dan pembekal infrastruktur kewangan pusat, yang telah diformalisasi pada November 2023, yang merangkumi perkara berikut:

● Sokongan untuk Fefifo memperkasakan petani B40 agar menjadi Agropreneur luar bandar yang celik digital

● Insentif, latihan dan tajaan program daripada PayNet untuk petani dalam komuniti B40 yang terlibat dalam Program Digitalisasi Petani Fefifo untuk menerima pembayaran tanpa tunai

● Sokongan daripada PayNet untuk mengurangkan kos operasi pusat pengedaran Fefifo tanpa tunai, mengekalkan pengangkutan logistik bagi membawa hasil ladang untuk dijual kepada rangkaian pembeli Fefifo
 
Program Digitalisasi Petani Fefifo disediakan untuk mendigitalisasikan petani-petani kecil supaya mereka boleh menghasilkan tanaman makanan berkualiti dengan menyediakan penyelesaian rantaian nilai yang komprehensif melalui platform perisian mudah alih Fefifo iaitu aplikasi ‘Magic Bean’. Ia termasuk sokongan dalam bentuk tunjuk ajar, langkah demi langkah yang diperakui MyGAP, SOP pertanian digital ‘on demand’, sokongan daripada pakar agronomi, penyediaan input tani utama pada harga mampu milik, jaminan belian 100% dan akses kepada kemudahan pembiayaan, sekiranya perlu.

Program ini direka khusus bagi membolehkan para petani kecil menjana pendapatan mampan melalui hasil tanaman berkualiti, konsisten dan menepati kehendak pasaran komersial semasa.

Baru-baru ini Fefifo telah menerima pengiktirafan Anugerah Sidang Kemuncak Dunia 2023 (World Summit Award -WSA), forum antarabangsa berprestij yang dibiayai bersama oleh Kesatuan Eropah dengan dua dekad pengalaman mempamerkan inovasi digital termaju dengan impak positif. WSA berdiri sebagai lambang kualiti yang menunjukkan bagaimana ICT memberi manfaat kepada masyarakat di setiap 182 negara yang mengambil bahagian.
 
Dengan memanfaatkan kepakaran Fefifo dalam pengetahuan tanaman makanan, platform pertanian digital eksklusif yang dipacu ekosistem PayNet yang luas dan kepelbagaian produk dan perkhidmatan pembayaran digital, kerjasama sinergistik ini membantu memperkukuh keterjaminan makanan negara, mempertingkatkan pengeluaran makanan tempatan, dan mengurangkan kebergantungan terhadap makanan import, selaras dengan Dasar Agromakanan Kebangsaan 2021-2030.

"Tajaan ini membantu petani sebagai sokongan kewangan permulaan dengan mensubsidi kos awal seperti benih dan nutrien yang diperlukan pada permulaan kitaran penanaman tanaman," kata Kelveen Soh, Pengasas Bersama Fefifo. “Petani kecil dalam rangkaian Fefifo menghargai bantuan besar ini untuk memulakan kitaran baharu penanaman, di samping semua faedah dan manfaat lain akan datang sebagai sebahagian daripada rangkaian ladang dan petani kami yang berkembang pesat,” tambahnya.
 
Antara penerima terawal Program ini ialah peneroka generasi kedua FELDA, Muhamad Hafizam Rasidi, 24, yang telahpun selesai menjalani latihan sambil bekerja 3 bulan di Ladang Bersama (Co-farm) Fefifo di Perak sejak Disember 2023 dan telahpun kembali ke kampung halaman beliau di Pahang bagi memulakan projek beliau serta mengajak rakan petani lain yang berminat untuk menyertai program Fefifo.

“Saya pernah menanam serai di kebun keluarga saya. Pendapatan tidak menentu, kerana harga, hasil dan kualiti tuaian. Saya ada terdengar cili boleh menghasilkan tuaian lebih baik dan harga pasarannya lebih stabil jika ditanam menggunakan teknik yang betul. Kemudian saya diperkenalkan kepada Fefifo dan membuat Keputusan untuk cuba menanam cili pula. Pengalaman belajar sangat baik, saya belajar secara langsung cara menanam cili pada skala komersial. Saya tidak sabar untuk kembali ke kampung saya untuk mengajak petani lain menyertai Program ini. Kaedah moden dan SOP digital dalam aplikasi mudah alih ‘Magic Bean’ Fefifo dan sokongan berterusan sungguh mudah. Tidak susah untuk saya bertukar kepada cara pertanian baharu ini. Saya juga tidak perlu risau tentang jualan, kerana Fefifo yang menguruskannya. Semuanya tanpa tunai sepenuhnya dan diterima dalam akaun saya serta-merta,” katanya.
 
Dengan sokongan PayNet, sehingga 100 petani B40 layak mendapat tajaan untuk meyertai program ini dan beberapa pusat pengedaran bakal didirikan di seluruh negara dalam beberapa bulan akan datang, agar penghantaran hasil tani dari peserta-peserta Program ini boleh dibuat kepada Fefifo dengan lebih lancar dan teratur serta membolehkan hasil jualan dibayar secara digital terus kepada mereka. Di samping itu, PayNet turut menyalur beberapa kohort petani B40 yang berpotensi daripada inisiatif-inisiatif ESG PayNet yang lain. Ia termasuk kohort-kohort petani B40 dipimpin persusahaan-perusahaan sosial diketuai siswazah-siswazah yang bakal menerima ijazah mereka, masing-masing dari universiti awam di Pahang dan Johor. Selain itu, turut dalam perbincangan ialah kohort-kohort dari kalangan komuniti B40 di Sabah di bawah naungan satu lagi syarikat fintech yang disokong oleh PayNet.

“Ini adalah lanjutan daripada program PayNet Cambah kami di mana matlamat utama kami adalah untuk mewujudkan kitaran murni komuniti mampan, yang dipacu pembayaran digital dan yang pertama dalam AgriTech.

Ia berpotensi untuk benar-benar mengubah dan merevolusi sektor pertanian, membolehkan penerapan teknologi inovatif lagi praktikal untuk petani kecil memperoleh pendapatan lebih daripada teknik pertanian lebih maju, kos pengeluaran yang lebih optima dan pulangan yang terjamin. Mereka tidak perlu lagi bimbang berurusan secara tunai atau lewat menerima bayaran, kerana semuanya dalam talian dan dikreditkan terus ke akaun masing-masing,” kata Azleena Idris, Pengarah Kanan (Ketua), Strategi & ESG, Pejabat GCEO di PayNet.

“Selain Fefifo, PayNet juga bekerjasama dengan badan sektor awam, NGO, syarikat-syarikat pemula, fintech dan para usahawan tempatan untuk menerapkan budaya pembayaran tanpa tunai dan memastikan segmen sasaran ini celik kewangan dan pembayaran digital. Bagi memangkinkan faedah ekonomi digital bagi segmen ini, kunci utama ialah kerjasama secara kolaboratif,” tambah beliau.

Kumpulan rintis 10-20 petani tajaan PayNet di bawah Program ini di Ara Kuda, Pulau Pinang sedang dipilih dengan kerjasama bersama Jabatan Pertanian Pulau Pinang.

Program Digitalisasi Petani telahpun berjaya menarik minat mendalam daripada rakan-rakan ekosistem dan komuniti di seluruh Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan Selangor. Program ini dijangka berkembang ke Johor, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah dalam tempoh terdekat. Pelbagai perbincangan dengan agensi kerajaan dan masyarakat setempat untuk penyertaan berskala besar, termasuk dengan Jabatan Pertanian Pulau Pinang, Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (SKMM) dan koperasi tempatan yang lain.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai butiran program, sila layari www.fefifo.co/fdp-bm. Semua permohonan dalam talian akan diikuti dengan proses pengesahan secara peribadi oleh penasihat program Fefifo untuk menilai pemohon dan keadaan ladang sedia ada.
 
Mengenai Fefifo

Fefifo ialah syarikat teknologi pertanian yang disokong usaha niaga, yang merintis pertanian ladang-bersama di Malaysia. Misi Fefifo adalah untuk menggunakan teknologi inovatif, data dan model perniagaan untuk membantu petani kecil maju ke hadapan dengan lebih baik, penjualan lebih tinggi, dan untuk membawa makanan yang selamat dan sihat kepada perniagaan dan keluarga. Daripada ladang sedia ada yang dipanggil Ladang Bersama atau Co-Farms, kepada program pertanian kontrak digital, Fefifo mendemokrasikan akses kepada pembiayaan, pengetahuan, input berkualiti, pekerja ladang dan pasaran sebagai penyelesaian rantaian nilai untuk petani kecil dan pada masa yang sama menyediakan kualiti, kebolehpercayaan dan kebolehkesanan kepada pembeli – didayakan oleh teknologi dan perisian data digital.
 
Fefifo ialah Perusahaan Impak yang diberikan status Perusahaan Sosial oleh Kementerian Pembangunan Usahawan Malaysia, sebagai pengiktirafan atas penjajarankerja kami dan usaha dalam membantu mencapai SDG PBB #2, #8, #5, #12. Memenangi World Summit Awards (WSA) 2023 , forum antarabangsa yang berprestij dibiayai bersama oleh Kesatuan Eropah dengan dua dekad pengalaman mempamerkan inovasi digital termaju dengan impak positif. Fefifo dipilih sebagai salah satu daripada 40 pemenang teratas daripada 466 calon dari 88 negara dalam kategori "Perniagaan & Perdagangan" selepas mengikuti prosedur pencalonan yang ketat, sesi Q&A, dan temuduga dengan Juri Besar terdiri daripada 30 pakar antarabangsa daripada 24 negara. WSA berdiri sebagai meterai berkualiti yang menunjukkan bagaimana ICT memberi manfaat kepada masyarakat di setiap 182 negara yang mengambil bahagian.

Program Pendigitalan Peladang Fefifo kini dibuka untuk lebih banyak permohonan dan penerima yang layak mulai Februari 2024. Untuk butiran lanjut tentang tajaan tunai, lawati www.fefifo.co/fdp

Mengenai PayNet

Payments Network Malaysia (PayNet) adalah rangkaian pembayaran nasional dan infrastruktur kewangan pusat Malaysia dengan visi untuk memperkasakan ekonomi digital negara. Suit pembayaran runcit kami yang meluas, seperti DuitNow (QR dan P2P), JomPAY (Pembayaran Bil), FPX (Dalam Talian), MyDebit (Debit Domestik), MEPS (ATM) dan IBG (GIRO Antara Bank) merangkumi liputan hampir di setiap sudut dalam negara dan adalah sebahagian dari fabrik kehidupan seharian di Malaysia. Selain itu, rangkaian pembayaran QR runcit masa nyata PayNet, DuitNow juga boleh diguna dengan skim domestik di Singapura, Thailand dan Indonesia serta skim antarabangsa bagi membolehkan transaksi rentas sempadan yang lancar. 

PayNet komited dalam mempromosikan ekosistem pembayaran yang selamat, cekap dan inovatif di Malaysia, dan bekerjasama rapat dengan pemegang taruhnya untuk membangunkan produk dan perkhidmatan baharu yang memenuhi keperluan pengguna dan perniagaan yang kian berubah dan berkembang. 
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.paynet.my.  

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=18026

No comments:

Post a Comment