Friday, February 23, 2018

Technology Park Malaysia Bantu Usahawan Bumiputera Di BAHTERA Edisi Timur 2018

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Technology Park Malaysia Corporation Sdn Bhd (TPM) akan terlibat dalam beberapa siri taklimat bimbingan perniagaan dan peluang keusahawanan khususnya dalam sektor bioteknologi sempena program BAHTERA edisi Timur 2018 mulai esok di Kuantan, Pahang.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TPM, Datuk Ir Mohd Azman Shahidin berkata usaha TPM itu selain mampu menimbulkan kesedaran kepada komuniti Bumiputera untuk merebut peluang perniagaan ia juga diyakini dapat membantu usahawan meningkatkan pembangunan mapan dan pertumbuhan perniagaan mereka.

"TPM, sebagai penggerak sains, teknologi dan inovasi (STI), mempunyai lebih dari 20 tahun pengalaman dalam industri kluster Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), bioteknologi, kejuruteraan dan tenaga boleh diperbaharui.

"Adalah menjadi harapan kami agar lebih ramai Bumiputera, terutamanya generasi baru, akan lebih gigih menerokai peluang perniagaan melalui inisiatif STI," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

BAHTERA, singkatan kepada Bumipreneurs of Tomorrow, anjuran Pejabat Pembangunan Keusahawanan Negara, Kementerian Kewangan, berlangsung selama dua hari bertujuan untuk mewujudkan usahasama kolektif antara kerajaan dan swasta bagi memperkasa usahawan bumiputera supaya lebih berdaya saing.

Program Bahtera itu yang bakal menjadi perhimpunan terbesar usahawan negara ini turut memberi peluang kepada usahawan tempatan untuk mempamerkan pelbagai produk mereka.

TPM, agensi kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), mempunyai infrastruktur bersepadu, kemudahan dan perkhidmatan sokongan untuk membantu para usahawan yang berminat mengkomersialkan idea mereka dalam empat kelompok industri, iaitu ICT, kejuruteraan, bioteknologi dan teknologi hijau.

No comments:

Post a Comment