Wednesday, April 13, 2022

WEBINAR 'PEMBEBASAN PALESTIN: DI MANA SUARA NEGARA-NEGARA ISLAM?'

KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) telah menganjurkan satu webinar bertajuk ‘Pembebasan Palestin: Di Mana Suara Negara-Negara Islam’ secara dalam talian pada 12 April 2022. Webinar ini dianjurkan bagi membincangkan isu penjajahan bumi Palestin oleh rejim Zionis- Israel dan kepentingan untuk memahami perkara ini dari perspektif sejarah, ketamadunan, hak asasi dan juga kepentingan geopolitik di rantau tersebut.

Yang Berhormat Tuan Guru Tan Sri Haji Abdul Hadi bin Haji Awang, Duta Khas YAB Perdana Menteri di Timur Tengah (bertaraf Menteri) telah menyampaikan ucap tama bertajuk “Palestin: Apa Umat Islam Perlu Tahu?” di dalam Webinar ini. Di antara perkara yang ditekankan oleh Yang Berhormat adalah berkenaan kepentingan penyatuan umat Islam dan keperluan umat Islam untuk kembali kepada Islam kerana perpecahan umat Islam sebenarnya menguntungkan musuh-musuh Islam. Dalam konteks isu Palestin, perpecahan ini telah menguatkan Rejim Israel.
 
Empat orang pembentang telah dijemput untuk membincangkan tajuk-tajuk yang penting kepada perbincangan webinar ini. Mereka adalah Prof. Dr Mohd Roslan Md Nor, Ketua Jabatan Sejarah dan Ketamadunan Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya yang telah membentangkan tajuk “Palestin dan Al-Aqsa: Apakah Nilainya bagi Ummah?”; Prof Madya Dr Aminurrasyid Yatiban, Pengarah Pusat Kecemerlangan Islamic Jerusalem, Universiti Utara Malaysia yang membentangkan tajuk Palestin dalam lanskap Geopolitik di Timur Tengah”; Prof. Dr. Mohd Nazari Ismail,  Pengerusi Boycott, Divestment and Sanction (BDS) Malaysia telah membentangkan tajuk “Aparteidisme Era Baru di dalam Konflik Palestin-Israel dan Prof. Dr Kamaruzzaman Yusof, Ketua Unit Penyelidikan dan Pendidikan, Yayasan Isra’ Malaysia yang membentangkan tajuk “Palestin dan Kesatuan Suara Ummah”.

WEBINAR 'PEMBEBASAN PALESTIN: DI MANA SUARA NEGARA-NEGARA ISLAM?'

No comments:

Post a Comment