Friday, April 29, 2022

AGROBANK RAIKAN DAN SANTUNI 60 ANAK-ANAK YATIM ASNAF BERSEMPENA RAMADAN DAN SYAWAL

 



Table

Photo 1: Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank dan Pengurusan Kanan Agrobank bersama anak-anak daripada Rumah Anak-Anak Yatim dan Asnaf Qaseh Ibu, Ampang menerusi program Kasih Ramadan anjuran Agrobank yang diadakan pada 26 April 2022.


PUTRAJAYA, 29 April (Bernama) -- Agrobank meraikan dan menyantuni 60 orang anak-anak yatim asnaf daripada Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Asnaf Qaseh Ibu (Rumah Qaseh Ibu) di Ampang menerusi program tahunannya, Kasih Ramadan yang diadakan pada awal minggu ini.
 
Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, “Program ini adalah kesinambungan daripada program perdana tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami, Agrobank & Komuniti yang dijalankan sepanjang tahun terutama dalam usaha kami untuk mendekati dan menyantuni komuniti setempat di mana kami beroperasi.”

Menerusi program Kasih Ramadan pada kali ini, Agrobank berhasrat untuk membawa sinar kegembiraan dan kebahagiaan kepada anak-anak Rumah Qaseh Ibu dengan membawa mereka mengikuti lawatan sambil belajar ke Petrosains di KLCC, bersiar-siar menaiki bas di sekitar Putrajaya sambil menunaikan solat Zohor di Masjid Putra, dan kemudiannya dibawa membeli belah bagi persiapan Aidilfitri di IOI City Mall Putrajaya dengan peruntukkan perbelanjaan sebanyak RM350 untuk setiap anak-anak. Program ini diakhiri dengan majlis berbuka puasa bersama #KeluargaAgrobankers di Le Meridien Hotel Putrajaya.

Berkongsi dengan lebih lanjut, beliau berkata, “Turut bersama-sama dengan anak-anak daripada Rumah Qaseh Ibu pada program ini adalah seramai 30 orang sukarelawan yang terdiri daripada #KeluargaAgrobankers yang mengiringi anak-anak sepanjang program ini yang bermula seawal jam 8.30 pagi sehinggalah program ini berakhir pada lewat malam.”
 
“Program Kasih Ramadan ini pastinya amat bertepatan sekali dengan pembudayaan #KeluargaAgrobankers itu sendiri, yang berhasrat untuk mewujudkan budaya kerja di kalangan warga kerja yang bukan sahaja produktif dan kondusif, namun bersifat lebih inklusif, merentasi sempadan agama, bangsa, dan latar belakang, yang diikat erat dengan nilai kekeluargaan yang berasaskan rasa hormat dan kasih sayang.”

“Saya berharap program ini dapat membawa kegembiraan kepada anak-anak ini dan sekaligus memberikan mereka peluang untuk merasai nikmat berhari raya pada tahun ini dengan lebih bermakna serta menyemarakkan keindahan Ramadan dan menjelangnya Aidilfitri tidak lama lagi,” tambah Tengku Ahmad Badli Shah.

Di majlis yang sama juga, Tengku Ahmad Badli Shah dan pihak pengurusan kanan Agrobank turut menyampaikan duit raya sumbangan Agrobank dan peribadi mereka kepada anak-anak Rumah Qaseh Ibu.

Selain anak-anak dan petugas Rumah Qaseh Ibu serta para sukarelawan, program ini turut dihadiri oleh pengurusan kanan Agrobank yang terdiri daripada Kamarul Azman Kamarozaman @ Amir, Ketua Pegawai Kewangan, Aminuddin Amenon, Ketua Pegawai Pembangunan, Azman Md Isa, Ketua Perbankan Komersial, Zahid Ahmad Zawawi, Ketua Pegawai Operasi, dan Zurina Othman, Ketua Pegawai Pengurusan Kredit.
 
Rumah Qaseh Ibu menempatkan 60 orang anak-anak yatim dan asnaf yang terdiri daripada lingkungan umur tiga bulan sehingga 19 tahun dan turut menempatkan beberapa anak-anak Orang Kelainan Upaya (OKU). 

Mengenai Agrobank
 
Agrobank adalah peneraju dalam pembiayaan pertanian dan perbankan berasaskan nilai (VBI)* di Malaysia. Ditubuhkan pada 1969, Agrobank terlibat secara aktif mencatatkan pertumbuhan dan pembangunan industri pertanian di Malaysia dengan menawarkan produk dan solusi kewangan yang patuh syariah merentasi pelbagai segmen pelanggan termasuk pelanggan korporat, komersial, konsumer, pembiayaan perdagangan dan pembiayaan mikro.  Agrobank merupakan sebuah institusi perbankan Islam sepenuhnya sejak 1 Julai 2015.
 
Sebagai sebuah IKP (Institusi Kewangan Pembangunan) yang berorientasikan pelanggan, fokus utama Agrobank adalah untuk mengukuhkan sektor pertanian.  Justeru itu, Agrobank beriltizam untuk bergerak seimbang dalam melaksanakan peranan pembangunan dan komersialnya bagi memanfaatkan sektor pertanian.  Agrobank menyediakan solusi pembiayaan yang menyeluruh untuk komuniti pertanian; merangkumi aktiviti huluan seperti bekalan input pengeluaran pertanian dan untuk aktiviti hiliran seperti pemprosesan, pemasaran dan jualan produk pertanian kepada pengguna.
 
Agrobank juga menawarkan penyelesaian pembiayaan perbankan runcit untuk meningkatkan taraf kehidupan komuniti-pertanian. Ini dilaksanakan menerusi 206 rangkaiannya sehingga tahun 2021 yang merangkumi 139 cawangan, 32 kiosk, 19 pusat perdagangan dan 16 rangkaian perbankan.

Pada tahun 2019, Agrobank meraikan ulang tahun Jubli Emas menandakan 50 tahun penubuhannya membangunkan industri agro.

www.agrobank.com.my
 
*VBI atau perantaraan berasaskan nilai merupakan satu inisiatif daripada Bank Negara Malaysia (BNM) yang bertujuan untuk menambah nilai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh institusi kewangan Islam bagi menggalakkan keusahawanan, kesejahteraan komuniti, kelestarian alam sekitar dan pertumbuhan ekonomi tanpa mengabaikan pulangan kepada para pemegang saham.
 
Dikeluarkan oleh Jabatan Komunikasi Korporat, Agrobank


SUMBER : Agrobank

No comments:

Post a Comment