Thursday, June 17, 2021

RUMAH DATO' HAJI AHMAD MAHER KHAZANAH WARISAN PERLU DIPELIHARA

BACHOK, 14 Jun (Bernama) -- Keindahan senibina rekabentuk Rumah Dato’ Haji Ahmad Maher yang tersergam indah di Kampung Wakaf Siku di Jalan Kuala Krai, Kota Bharu, Kelantan, pasti mencuri perhatian ramai ketika melewati kediaman yang sudah pun menjangkau usia 80 tahun.

Ramai terpesona dengan konsep senibina yang diinspirasikan daripada rekabentuk rumah agam yang diperbuat daripada konkrit menjadikan struktur rumah tersebut masih kukuh sehingga sekarang.

Rumah ini berpotensi untuk dibangunkan sebagai produk pelancongan negeri disebabkan nilai estetika serta sentimental sejarahnya. Hal ini penting bagi memaparkan budaya sesuatu masyarakat setempat malah bangunan warisan merupakan aset yang sangat berharga.

Allahyarham Dato’Ahmad Maher atau nama penuh beliau ialah Haji Ahmad Maher Bin Haji Ismail Al Azhari Bin Haji Abdul Hamid, adalah bekas Mufti Kelantan ke-7 Dato’ yang berketurunan Melayu jati merupakan anak kepada Haji Ismail Al-Azhari atau Tok Kemuning atau Tok Kemuning Muda.

Dato’ Haji Ahmad Maher dilahirkan pada tahun 1324 Hijriah (1905 Masihi) di Maa’la, Mekah. Dari segi pendidikan, beliau mempunyai ramai tokoh ulama nusantara termasuk Tok Kenali, Tok Khurasan, Haji Yaakob Bin Ahmad dan lain-lain lagi.

Dato’ Ahmad Maher seorang Mufti yang mempunyai banyak kebolehan kerana di samping sebagai seorang yang alim dalam berbagai-bagai ilmu Islam dan ilmu-ilmu alat, beliau juga seorang pentadbir yang cekap dan berdedikasi.

Selama tempoh perkhidmatannya selaku Nazir Pelajaran MAIK, beliau telah mengadakan beberapa pembaharuan dalam sistem kurikulum pengajian halaqah kitab di Masjid Muhammadi Kota Bharu.

Rumah Dato’ Ahmad Maher mendapat perhatian oleh penyelidik di Jabatan Pengajian Warisan, Fakulti Teknologi Kreatif Dan Warisan (FTKW), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) untuk kajian ilmiah supaya diambil perhatian untuk  kerja-kerja untuk pemeliharaan agar khazanah warisan ini tidak disia-siakan begitu sahaja.

Kajian ini bertujuan untuk pemeliharaan dan penjagaan oleh semua pihak yang berkepentingan dalam memastikan khazanah warisan ini terus bertahan dalam jangka masa yang lama mengikut garis panduan Jabatan Warisan Negara (2012) yang telah ditetapkan.

Rumah tersebut terabai dan terselindung di sebalik sebuah restoran berada di dalam keadaan yang tidak terjaga dan tidak mendapat perhatian orang ramai.

Rumah yang sebegitu megah dan mempunyai pengaruh seni bina yang menarik melambangkan bahawa jawatan Mufti di Kelantan pada masa tu dipandang tinggi oleh rakyat tempatan. Terdapat struktur binaan dilihat mempunyai karakter identiti tersendiri yang dipengaruhi oleh pelbagai pengaruh binaan ketika era penjajahan terdahulu.

Justeru, nilai estetika sebegini berpotensi besar untuk dijadikan produk pelancongan seperti menjadikannya sebagai sebuah galeri, tempat penginapan dan sebagainya. Hal ini kerana, bangunan warisan boleh dijadikan sebagai produk pelancongan yang amat berharga walaupun terdapat pembangunan yang pesat.

Rumah tersebut telah dibina pada tahun 1940, setahun sebelum Tanah Melayu melalui zaman Perang Dunia Kedua yang bermula pada tahun 1941. Rumah ini dibina di atas tanah persendirian. Lokasi kedudukan rumah Dato’ Haji Ahmad Maher juga terletak di kawasan bandar yang strategik dan menjadi tumpuan masyarakat kerana dikelilingi kawasan yang padat seperti kawasan perumahan dan premis perniagaan.

Rumah ini pernah dibawah penjagaan pewaris sebelum terbiar dan kelihatan usang ekoran ditinggalkan terlalu lama.

Pembinaan awal rumah Dato’ Haji Ahmad Maher melibatkan tukang yang berkepakaran tinggi yang datang dari pelbagai tempat. Misalnya, pada pembinaan dan pemasangan struktur bumbung iaitu atap singgora telah digunakan dan melibatkan tukang yang mahir daripada Pattani, Thailand.

Atap singgora tersebut dikatakan ditempah khas daripada Songkhla (Selatan Thailand) kerana pada masa itu sememangnya sangat sukar untuk menemui perusahaan atap singgora. Di samping itu, pembinaan rumah ini juga melibatkan kepakaran tukang daripada Besut, Terengganu yang menghasilkan struktur berukir yang sangat halus dan indah.

Nama Dato’Ahmad Maher cukup sinonim dengan masyarakat di Kelantan, beliau  dianugerahkan beberapa bintang kebesaran negeri termasuklah digelar “Dato’ Kaya Purba”, penerima Pingat Darjah Seri Paduka Mahkota Kelantan (SPMK) dan Pingat Darjah Dato’ Paduka Jiwa Mahkota Kelantan (DMK). Beliau kekal menabur jasa sebagai Mufti dari Jun 1941 sehingga ke akhir hayatnya pada 16 Mac 1968, sewaktu berumur 65 tahun.


http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=14643

No comments:

Post a Comment