Monday, June 14, 2021

PANDEMIK COVID-19: PEMANGKIN TRANSFORMASI PENDIGITALAN PENDIDIKAN NEGARA

 BACHOK, 14 Jun (Bernama) -- Pendidikan dalam talian telah mula bertapak di Malaysia pada akhir tahun 1998. Perkembangan pantas teknologi internet dan komunikasi (ICT) pada abad ke-21 telah mengubah lanskap pendidikan negara.


Penggunaan ICT dalam pendidikan menjadi semakin rancak semenjak kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020.

Pihak kerajaan sangat memandang serius usaha untuk mendigitalkan pendidikan di masa hadapan. Pelan pembangunan pendidikan negara 2013-2025 juga telah meletakkan pendigitalan dalam sistem pendidikan negara sebagai antara agenda utama.

Kesediaan menggunakan ICT secara menyeluruh dalam pendidikan memerlukan penjajaran yang sistematik agar agenda transformasi untuk mendigitalkan pendidikan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Kemunculan revolusi 4IR juga menjadi faktor utama pendidikan negara harus melalui proses transformasi pendigitalan.

Kehadiran pandemik covid-19 secara tidak langsung telah menjadi pemangkin paling berkesan dalam memacu.

Situasi pandemik Covid-19 di Malaysia sehingga saat ini adalah pada tahap yang sangat membimbangkan. Kumulatif kes covid-19 menunjukkan peningkatan kes pada setiap hari. Sehingga hari ini kes baru covid-19 di seluruh negara mencecah ke tiga angka.

Peningkatan kes covid-19 memberi impak yang tinggi kepada lanskap pendidikan negara. Bermula dari 18 Mac 2020 hingga kini, pelbagai tindakan sewajarnya telah diambil oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam meneruskan kelangsungan pendidikan kepada semua murid sekolah.

Pelbagai inisiatif yang diambil oleh KPM bagi mengekang penularan virus covid-19. Antara inisiatif yang diambil ialah seperti menangguhkan sesi pengajian, mengubah kaedah pentaksiran, menukar kaedah penyampaian PdP, memberi tugasan secara dalam talian dan yang terkini menghapuskan UPSR dan menangguhkan pelaksanaan PT3 bagi tahun 2021.

Garis panduan pelaksanaan Pembelajaran Dan Pemudahcaraan (PdPc) secara dalam talian dikeluarkan sebagai panduan umum dalam melaksanakan PdPc secara dalam talian.

Ini menuntut kepada kesediaan guru di sekolah untuk menggunakan kaedah pengajaran yang bersesuaian melalui penggunaan ICT. Penggunaan ICT yang berkesan memerlukan kreativiti yang tinggi dalam kalangan guru, pentadbir dan murid sekolah.

Tahap kesediaan untuk melaksanakan PdPc melalui talian dilihat dari lima faktor utama iaitu tahap kesediaan guru, tahap kesediaan murid, tahap kesediaan ibu bapa, tahap kesediaan pentadbir di sekolah dan tahap kesediaan pembuat polisi.

Guru perlu bersifat anjal dan bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan. Menyampaikan ilmu adalah asas tugas hakiki guru. Kaedah menyampaikan ilmu adalah bergantung kepada kreativiti guru.

Situasi semasa menjadi faktor utama guru menentukan kaedah yang bersesuaian dalam melaksanakan PdPc ysng telah dirancang. Terkini, kaedah PdPc telah ditransformasikan kepada pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) mengikut kesesuaian dan keperluan pada masa ini.

Tahap kreativiti yang tinggi sangat dituntut ke atas setiap guru untuk menyampaikan ilmu secara kreatif dan berkesan. Kreativiti seharusnya bersifat luas dan bebas.

Namun kebebasan berkreativiti boleh dibatasi oleh ilmu pengetahuan dan kemahiran yang terbatas. Selain itu, sokongan ibu bapa, pentadbir dan pembuat polisi juga menjadi faktor utama dalam membatasi kreativiti guru.

Oleh itu, guru dituntut untuk segera meneroka pelbagai ilmu digital masa kini. Penyampaian PdPR secara dalam talian boleh dibuat dengan berkesan sekiranya guru mempunyai kemahiran yang tinggi dalam menguasai medium digital.

Menguasai ilmu digital bukanlah satu masalah besar bagi generasi masa kini. Namun kesediaan murid untuk belajar secara dalam talian perlu diteliti dan dinilai rapi oleh semua pihak.

Generasi masa kini adalah generasi digital dan celik IT. Namun, kecenderungan mereka menggunakan sistem digital ini hanyalah untuk kepuasan diri sahaja.

Jika aplikasi digital tidak dikawal dengan baik, murid akan lebih cenderung untuk membiarkan diri mereka dikuasai oleh teknologi.

Murid seharusnya menguasai teknologi untuk tujuan yang bermanfaat dan bukannya membiarkan diri mereka dikuasai oleh teknologi yang akhirnya melalaikan dan merosakkan diri sendiri.

Bimbingan dari pihak kerajaan, guru dan ibu bapa harus menjadi keutamaan dalam membimbing murid untuk menggunakan aplikasi digital dengan berkesan dan bermanfaat.

Untuk membimbing murid menggunakan aplikasi digital dengan berhemah, pihak kerajaan, ibu bapa, guru dan pentadbir seharusnya bekerjasama untuk memantau setiap tingkah laku murid semasa belajar.

Tahap kesediaan ibu bapa menerima perubahan konvensional kepada pendekatan digital adalah sangat mencabar sekali.

Latar ibu bapa yang datang dari pelbagai lapisan masyarakat, sosio ekonomi dan tahap pendidikan yang berbeza menjadi isu utama dalam membentuk ekosistem yang menyokong kepada perubahan pembelajaran konvensional kepada e-pembelajaran.

Sosio ekonomi ibu bapa, terutama yang tinggal dikawasan pendalaman atau kampung agak terbatas. Menyediakan peralatan digital yang bersesuaian untuk penggunaan pembelajaran anak-anak menjadi satu halangan yang utama. Selain itu, kos melanggan perkhidmatan jalur lebar untuk kegunaan PdPc atau PdPR juga agak membebankan.

Sokongan dari organisasi kerajaan dan bukan kerajaan (NGO) dilihat amat penting dalam memperkasakan pelaksanaan e-pembelajaran di Malaysia. Tambahan dengan situasi pandemik covid-19, sop yang melibatkan penjarakan sosial telah memberi impak yang positif kepada pelaksanaan ICT secara menyeluruh dalam sistem pendidikan.

Organisasi kerajaan dan NGO yang berkaitan boleh memikirkan inisiatif yang terbaik untuk membantu ibu-bapa, guru dan pentadbir sekolah menggunakan ICT dengan lebih berkesan.

Fasiliti sokongan yang bersesuaian untuk menyampaikan PdPR oleh guru kepada murid perlu disediakan dengan berkesan dan bersistematik oleh pihak kerajaan.

Oleh itu, untuk memastikan PdPc atau PdPR dilaksanakan dengan berkesan maka ekosistem yang menyokong pelaksanaan e-pembelajaran harus dibangunkan. Ekosistem e-pembelajaran hanya boleh dibangunkan dengan berkesan sekiranya kesemua pihak seperti guru, murid, ibu bapa, pihak pentadbir dan Pembuat Polisi boleh bergerak senada dan saling menyokong antara satu sama lain.

Ts Dr Khairul Azhar Mat Daud adalah Pensyarah Kanan di Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Bachok, Kelantan.
 
Sumber: Pusat Komunikasi Korporat, Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Encik Mohd Adzwan Bin Kamaruzaman
Tel:  0199811719
E-mel: adzwan@umk.edu.my

--BERNAMA

No comments:

Post a Comment