Saturday, June 26, 2021

MENCIPTA RUANG DAN KELEBIHAN PENDIDIKAN DI RUMAH SEMASA PANDEMIK

BACHOK, 25 Jun (Bernama) -- Pendidikan tidak pernah berhenti. Proses pendidikan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. 

 
Dalam suasana pandemik, pendidikan di rumah perlu dimanfaatkan secara optimum oleh semua pihak terutamanya para ibubapa. 
 
Kita seringkali mengaitkan pendidikan dengan sekolah dan pembelajaran formal. Ia penting tetapi bukan segala-galanya. Masih banyak ruang kosong yang perlu ditampung untuk mencapai matlamat pendidikan. 
 
Dalam konteks ini, pendidikan di rumah semasa musim pandemik boleh berperanan untuk memenuhi ruang lompong tersebut. Antara aspek yang sesuai untuk diangkat dalam pendidikan di rumah pada masa kini ialah pendidikan kerohanian, pendidikan nilai, kemahiran hidup dan pemikiran kreatif.
 
Pelaksanaan pendidikan di rumah sangat berkait rapat dengan kemampuan ibubapa menyusun strategi yang bersesuaian bagi menjadikannya sebuah PDPR yang unik. 
 
Untuk merealisasikan perkara tersebut, ibubapa perlu sedikit pendedahan tentang syarat-syarat tertentu untuk membolehkannya merekabentuk pendidikan di rumah tanpa perlu terikat dengan sistem dan silibus sekolah. Bahkan pendidikan keluarga ini seharusnya lebih nyata dan memenuhi secara langsung keperluan hidup anak-anak.  
 
Apakah syarat-syarat yang perlu dipenuhi jika anda berminat untuk mengisinya? Secara formal syaratnya adalah banyak tetapi kita ambil yang paling penting dan praktikal sahaja. 
 
Antara yang terpenting ialah mempunyai matlamat yang jelas. Ibu bapa hendaklah memiliki kefahaman yang jelas tentang tujuan terakhir pendidikan anak-anak yang ingin mereka capai.  
 
Sebagai contoh, ibubapa yang ingin melaksanakan pendidikan nilai seharusnya telah pun mengenalpasti beberapa nilai penting dan dianggap utama yang ingin diterapkan pada diri anak-anak. Demikian juga dalam konteks kemahiran hidup dan pemikiran kreatif. Objektif yang jelas sangat membantu ibubapa untuk melaksana proses pendidikan seterusnya. 
 
Syarat kedua pula ialah melaksanakan apa jua aktiviti yang munasabah dan berkaitan untuk mencapai objekif tersebut secara sedar. Ini bermakna bahawa ibubapa perlu merancang apa jua aktiviti yang bersesuaian dengan objektif yang telah ditetapkan. 
 
Sebagai contoh, nilai amanah perlu diikuti dengan pemberian tugasan atau kemahiran memasak disusuli dengan latihan penyediaan bahan dan pemikiran kreatif dibuktikan dengan penghasilan sesuatu atau penyelesaian masalah dengan cara yang baharu. 
 
Ringkasnya, ibubapa perlu sedikit perancangan dan diikuti dengan langkah yang praktikal. Jika anak-anak sudah besar dan remaja, perbincangan aktiviti bersama adalah langkah yang terbaik. Pendidikan di rumah seharusnya bersifat jelas di lapangan, menarik, menyeronokkan dan sedikit mencabar.
 
Manakala syarat terakhir ialah para ibubapa perlu melakukan sedikit penilaian untuk melihat setakat mana pencapaian objektif telah berlaku. Penilaian tersebut boleh dilakukan secara tidak formal mengikut kesesuaian konteks. Melalui penilaian juga, proses penambahbaikan boleh dilakukan. 
 
Satu kelebihan pendidikan di rumah yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh para ibu bapa ialah pendidikan fardu ain. Kefahaman konsep ilmu fardu ain dalam kalangan masyarakat awam khususnya para ibu bapa perlu diluruskan semula. Menurut Imam al-Ghazali, ilmu fardu ain bersifat dinamik dan berkembang mengikut alur kehidupan seseorang dan tidak pernah berhenti. 
 
Dalam suasana pandemik di mana pendidikan berlaku di rumah, ibubapa adalah individu terpenting yang memikul tanggungjawab untuk memastikan anak-anak memahami, menguasai dan mengamalkan ilmu fardu ain tersebut. 
 
Pada ketika inilah para ibubapa boleh menyemak bacaan al-Quran, memantau pelaksanaan solat lima waktu bahkan melaksanakannya bersama-sama, memerhatikan amalan kebersihan dan fiqh yang berkaitan secara khusus untuk anak lelaki dan perempuan serta pelbagai lagi.      
 
Pendidikan di rumah seharusnya tidak formal, santai, menarik, berorientasikan amalan, terancang dan berobjektif. Sebenarnya, pandemik telah menjadikan insan yang bergelar ibu dan ayah kembali semua kepada peranannya yang asal sebagai pendidik utama di samping pernah menjawat sebagai pendidik terawal pada suatu ketika dahulu.
 
Penulis Dr Noor Hisham Md Nawi adalah
Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Sumber: Pusat Komunikasi Korporat, Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

http://mrembm.bernama.com/viewsm.php?idm=14704

No comments:

Post a Comment