Monday, February 22, 2021

MFA AGIH BANTUAN BARANGAN KEPERLUAN PASCA BANJIR DI PAHANG

 KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) -- Prihatin terhadap nasib mangsa banjir di Pantai Timur, Persatuan Francais Malaysia (MFA) bersama-sama para ahli dan rakan strategiknya mengambil inisiatif untuk menghulurkan bantuan berupa barangan keperluan kepada 100 keluarga yang terjejas berikutan fenomena banjir yang berlaku pada awal tahun ini.


Memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan masih dilaksanakan, MFA telah bekerjasama dengan Pasukan Sukarelawan dari Pahang untuk mengagihkan bantuan tersebut kepada penduduk yang memerlukan.

Pengerusi MFA, Datuk Dr. Hj Radzali Hassan berkata, program bantuan itu antara program aktiviti kemasyarakatan (Franchise CSR Program) yang dilaksanakan setiap tahun oleh MFA bagi meringankan beban yang dialami oleh mangsa banjir, yang turut terjejas akibat penularan Covid-19 selain turut menyokong usaha kerajaan yang telah menyalurkan pelbagai bantuan kepada rakyat yang terkesan.

“Bersimpati dengan nasib penduduk yang masih terjejas akibat banjir tersebut, MFA telah menggerakkan inisiatif program bantuan ini di kalangan ahli MFA dan rakan strategik, dan alhamdullilah kami menerima maklumbalas dan sokongan yang positif untuk bersama-sama memberi bantuan pasca banjir ini kepada penduduk yang memerlukan” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jumlah keseluruhan sumbangan bagi program pasca banjir ini adalah bernilai lebih RM70,000 yang terdiri daripada sumbangan tunai, peralatan elektrik, pakaian, perabot, barangan cucian dan beberapa barangan keperluan lain. Semua sumbangan ini adalah hasil keprihatinan daripada Senheng, LaundryBar, Siti Khadijah, Big Bath, Oldtown White Coffee, Qian Hai International Foundation, Rona, MyPhoto2u, Ar-Rahn, Marrybrown, Smart Reader Kids, Tealive, Meranti Tiga Solution, FR Printing & Apparel, Catzonia, Cosmo Pharmacy, penyetpenyet.com dan CIC - Where Leaders Are Born.

"MFA sentiasa cakna dan prihatin ke atas kesukaran yang menimpa rakyat Malaysia akibat bencana yang berlaku dan akan sentiasa mencari peluang untuk menghulurkan bantuan yang sewajarnya pada masa akan datang" katanya. 


SUMBER : Persatuan Francais Malaysia (MFA)

No comments:

Post a Comment