Wednesday, February 17, 2021

COVID-19: MALAYSIA TERIMA VENTILATOR ALPHA BERNILAI RM2 JUTA

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Beberapa hospital di Malaysia akan menerima sumbangan ventilator Alpha bernilai kira-kira RM2 juta, untuk membantu pesakit yang mengalami masalah pernafasan yang teruk di wad Unit Rawatan Rapi (ICU).


Ventilator sumbangan syarikat teknologi perubatan global berpangkalan di Singapura itu akan dihantar ke hospital di negeri-negeri dengan kadar jangkitan dan jumlah pesakit dimasukkan ke hospital yang tinggi, dengan penerima pertama Hospital Selayang di Selangor.


Advanced MedTech Holdings dalam satu kenyataan memaklumkan sumbangan itu adalah sebahagian daripada Projek Billion Breath syarikat, bertujuan untuk menyokong pekerja kesihatan dalam memerangi COVID-19.


Ventilator Alpha membolehkan sekumpulan kecil profesional kesihatan memantau dan menyesuaikan tetapan untuk sebilangan besar pesakit yang diventilasi dari jauh melalui papan pemuka dalam talian.


Ini mengurangkan keperluan petugas masuk dan keluar dari wad ICU untuk menyesuaikan tetapan ventilator secara manual serta mengurangkan risiko jangkitan.


Inisiatif berkenaan telah menyumbangkan ventilator bernilai hampir RM3 juta kepada hospital di Indonesia, Myanmar dan India.


-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment