Wednesday, January 6, 2021

MEMPERKASA TEKNOLOGI KEPINTARAN BUATAN ATAU ARTIFICIAL INTELLIGENCE (AI)

KOTA BHARU, 5 Jan (Bernama) -- Dunia menyaksikan teknologi kepintaran buatan atau Artificial Intelligence (AI) sedang pesat membangun pada masa sekarang dan dijangka tahun 2021 lebih banyak sektor industri akan terus bersaing untuk meningkatkan lagi keupayaan teknologi bagi memacu aktiviti sosial dan ekonomi.

Malah, penularan pandemik global COVID-19 juga antara faktor yang mempercepatkan lagi pertumbuhan teknologi kepintaran buatan atau Artificial Intelligence (AI) di seluruh dunia dengan menyaksikan pelbagai sektor bidang pekerjaan dan ekonomi akan menerima manfaat dari kemajuan teknologi AI.

Teknologi AI adalah salah satu cabang ilmu sains komputer yang membolehkan mesin seperti robot, komputer, telefon, aplikasi atau sistem melaksanakan tugasan tertentu secara serupa atau melangkaui kepintaran manusia.

Tugasan tersebut termasuklah membantu peramalan berkenaan sesuatu perkara, memudahkan proses penyelesaian masalah serta membantu proses membuat keputusan dengan tepat.

Dalam kehidupan seharian, tanpa kita sedari banyak elemen AI terutamanya yang tertanam dalam telefon pintar telah berjaya dihasilkan. Ini termasuklah keupayaan meramal umur seseorang pada fungsi kamera, cadangan ayat untuk ditulis dalam e-mel, cadangan barangan untuk dibeli di platform pembelian dalam talian dan pelbagai lagi.

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=14153

No comments:

Post a Comment