Wednesday, September 20, 2017

MEMPERKASA PENDIDIKAN KE ARAH PENCAPAIAN TN50 - SARONI

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Ketua Eksekutif Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM), Datuk Saroni Judi berkata memperkasa pendidikan negara adalah teras yang disifatkan sebagai “tiang seri” kepada kejayaan negara dan Transformasi Nasional 2015 (TN50).

Beliau dijemput selaku panel membincangkan aspirasi dalam bidang pendidikan dengan mengulas tajuk “Memperkasa Pendidikan Ke Arah Pencapaian TN50" yang bersiaran secara langsung dalam program  Assalamualaikum di TV Al Hijrah, baru-baru ini.

TN50, satu gagasan yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah dasar futuristik bagi memeta hala tuju negara untuk tempoh 30 tahun selepas 2020.

Justeru,  beliau berpendapat TN50 adalah kesinambungan dasar-dasar rancangan jangka panjang negara yang telah diasaskan sebelum ini.

Daripada aspek pendidikan katanya, TN50 bertujuan memastikan kerangka pendidikan negara berada pada landasan kukuh dan jelas dalam mencorakkan generasi pelapis negara.

“Sistem pendidikan kita berevolusi dan ia wajar diperkemaskan seawal peringkat pra-sekolah sehinggalah ke peringkat tertinggi. Ini kerana pendidikan adalah hak asasi setiap warganegara.

Modal Insan cemerlang juga dapat dizahirkan menerusi kejayaan dalam bidang pendidikan yang merupakan penyelesaian kepada usaha kerajaan untuk memastikan setiap keluarga dapat menikmati masa depan yang lebih baik.

Beliau berkata kerajaan perlu memperuntukkan budget yang besar dalam memperkasa pendidikan negara dan menyifatkan istilah pendidikan lebih bersifat menyeluruh dan holistik.

Saroni juga berharap masyarakat sentiasa merebut peluang untuk memajukan diri dan menetapkan cita-cita pada tahap tertinggi serta tidak mudah berpuas hati.

“Kita perlu memastikan kejayaan transformasi pendidikan dengan melakukan anjakan paradigma yang menjurus kepada perubahan minda. Justeru, hanya dengan pendidikan sahaja kita boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dalam memburu kejayaan.

Program bual bicara ini membicarakan topik-topik terkini dan menampilkan tetamu-tetamu undangan dari pelbagai bidang secara santai dan bersahaja yang di hoskan Ustaz Nabil Ahmad.


SUMBER : Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka

No comments:

Post a Comment