Tuesday, September 12, 2017

130 Pakar Sertai Simposium Kawalan Biologi Di Langkawi

LANGKAWI, 11 Sept (Bernama) -- Penyesuaian kawalan biologi dengan penggunaan racun perosak serta kesan terhadap sosioekonomi merupakan antara perbincangan pada Simposium Antarabangsa Mengenai Kawalan Biologi Artropod Kelima, yang bermula di sini, hari ini.

Seramai 130 pakar dari 25 negara antaranya dari China, Amerika Syarikat, New Zealand dan Malaysia menyertai simposium lima hari itu anjuran Pusat Pertanian dan Biosains Antarabangsa (CABI) dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Pengerusi Jawatankuasa Program Saintifik simposium berkenaan, Dr Ulli Kuhlman dalam ucapan alu-aluan berkata sejumlah 14 kertas kajian saintifik mengenai kawalan biologi akan dibentangkan oleh pakar sepanjang simposium itu.

Simposium tersebut dirasmikan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad.

Kuhlman berkata perbincangan kali ini akan menyentuh padanan kawalan biologi dengan penggunaan racun perosak, kepentingan peraturan dan penilaian, dasar perkongsian faedah, nisbah kos dan manfaat serta kesan sosioekonomi kawalan biologi.

Juga relevan dalam konteks ini adalah apa yang diperlukan untuk pengawalan biologi bagi menggantikan lebih banyak penggunaan racun perosak yang amat berbahaya dalam jangka masa panjang serta akses pasaran kepada bilangan petani yang meningkat di dunia, katanya.


-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment