Friday, January 28, 2022

AT&S MALAYSIA LANCAR KARNIVAL KERJAYA SULUNG

 AT&S LAKSANA KERJASAMA DENGAN FAKULTI TEKNOLOGI KEJURUTERAAN ELEKTRONIK UNIVERSITI MALAYSIA PERLIS UNTUK BUKA PELUANG PEKERJAAN DI AT&S KEPADA PENUNTUT


 
MALAYSIA, Kedah, 28 Jan (Bernama) -- AT&S Malaysia mengadakan karnival kerjaya buat julung kalinya dengan kerjasama Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektronik (FTKEN) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada 25 dan 26 Januari 2022 bertempat di Industrial Engagement Zone di perpustakaan universiti tersebut. Karnival kerjaya tersebut membariskan program bicara mengenai AT&S dan produk-produknya, terutamanya papan litar bercetak  (PCB) dan Substrat Litar Bersepadu (IC), sarapan percuma serta sesi penglibatan dan temu duga untuk para penuntut. Ketua Bahagian Sumber Manusia AT&S, Puan Sharifah Salmah Syed Harun, mengetuai Pasukan Pengambilan Bakat untuk bertemu dengan penuntut jurusan kejuruteraan yang mengunjungi karnival kerjaya tersebut. Beliau berkata, “Menjelang penghujung 2022, AT&S Malaysia memerlukan kira-kira 700 kakitangan. Sebahagian daripada mereka akan dihantar ke Chongqing di mana mereka akan menjalani latihan dalam kerja dan kemudiannya memindahkan teknologi ke kilang di Kulim.”
 
Acara tersebut adalah kerjasama yang dijalankan antara Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektronik (FTKEN) dan AT&S Malaysia. Naib Canselor UniMAP, Profesor Ts. Dr. Zaliman Bin Sauli, menyambut baik acara tersebut, “UniMAP mengamalkan sikap terbuka berkenaan kerjasama industri. Kami menghasilkan siswazah yang terlatih dalam pelbagai subsektor industri elektrik dan elektronik. Kami  berharap dapat melaksanakan lebih banyak kerjasama dengan AT&S di masa akan datang.” Profesor Madya Ts. Dr. Azremi Abdullah Al-Hadi, Dekan FTKEN yang turut menyokong usaha tersebut berkata, “FTKEN menghasilkan 500-600 siswazah baharu setiap tahun dalam bidang elektronik, seperti mikroelektronik, komputer, sistem elektronik dan automasi industri. Dengan struktur kurikulum yang berpandukan industri  dan kemudahan berteknologi tinggi, FTKEN yakin siswazahnya dapat memenuhi keperluan AT&S.”
 
Pada 25 dan 26 Januari 2022, Guenther Maier, Pengurus Perhubungan Penyelidikan AT&S, menyampaikan pengenalan kepada AT&S dan produk-produknya. Pembentangan mengenai PCB dan Substrat IC peringkat atasan itu distrim dari ibu pejabat AT&S di Leoben, Austria. Beliau memberikan taklimat kepada para penuntut berkenaan sejarah dan pencapaian AT&S sejak penubuhannya sebagai sebuah syarikat milikan kerajaan dalam tahun 1987 sehinggalah ia menjadi perusahaan yang aktif di seluruh dunia dengan penyenaraiannya di Vienna Stock Exchange. Dalam penerangannya mengenai produk-produk AT&S di pasaran semikonduktor yang pesat berkembang, beliau menekankan, "Aspirasi AT&S adalah untuk menjadi peneraju dalam penyediaan penyelesaian yang saling terhubung. Oleh itu, kami memerlukan kepakaran teknologi dan teknikal untuk merealisasikan aspirasi kami. Kami melihat siswazah muda sebagai golongan yang akan membawakan semangat baru, kecekapan tambahan dan kreativiti untuk mencapai penyelesaian yang diharapkan."
 
Acara tersebut berakhir pada 26 Januari 2022 dengan sesi temu duga yang diadakan oleh Pasukan Pengambilan Bakat AT&S dengan penuntut jurusan kejuruteraan yang menghadiri karnival tersebut. Ini adalah Karnival Kerjaya pertama yang diadakan oleh AT&S Malaysia sejak mula beroperasi pada 1 November 2021.
 
AT&S Austria Technologie & Systemtechnik Aktiengesellschaft – Teknologi & Penyelesaian Termaju

AT&S merupakan peneraju dalam pembuatan papan litar bercetak dan substrat IC peringkat atasan. AT&S mengindustrikan teknologi termaju untuk segmen perniagaan teras syarikat tersebut iaitu Peranti Mudah Alih dan Substrat, Automotif, Perindustrian dan Perubatan. AT&S  mempunyai kehadiran global dengan tapak pengeluaran di Austria (Leoben, Fehring) dan kilang di India (Nanjangud), China (Shanghai, Chongqing) dan Korea (Ansan yang terletak berhampiran Seoul). Syarikat ini mempunyai kira-kira.12,500 kakitangan. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.ats.net


SUMBER : AT&S Austria Technologie & Systemtechnik Aktiengesellschaft

No comments:

Post a Comment