Saturday, July 7, 2018

IKIMfm diikuti 2 juta pendengar

KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm) menganggar siarannya dapat didengari oleh hampir dua juta pendengar, merangkumi pendengar tempatan dan negara jiran.

Anggaran rasmi oleh pihak GfK (Malaysia), syarikat pengkaji antarabangsa terhadap rangkaian di Malaysia yang terkini telah mencatatkan terdapat seramai 1.157 juta pendengar IKIMfm di Semenanjung Malaysia mengikuti stesen radio berkonsepkan pendekatan Islam ini.

"Jika mengambil kira keseluruhan pendengar, termasuk di Sabah dan Sarawak, malah siaran ini turut meliputi sebahagian selatan Thailand, Singapura dan Batam, Indonesia, dijangkakan IKIMfm dapat didengari oleh hampir dua juta pendengar, " menurut satu kenyataan yang dikeluarkan stesen itu bersempena ulang tahun ke-17 penubuhannya.

IKIMfm telah dilancarkan secara rasmi pada 6 Julai 2001 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, merupakan satu-satunya stesen radio berkonsepkan pendekatan Islam yang beroperasi selama 24 jam sehari setiap hari ke seluruh negara.

IKIMfm menggabungkan program yang bersifat mendidik jiwa dan juga program berbentuk hiburan yang mendidik, di samping turut menyajikan pelbagai maklumat yang bermanfaat.

Kira-kira 95 peratus programnya dalam bahasa Melayu manakala selebihnya dalam bahasa Arab dan Inggeris.

"Bermula sebagai satu-satunya radio tanah air beroperasi menggunakan sistem digital sepenuhnya, IKIMfm mengorak langkah membina nama sebagai radio Islam tunggal negara bersiaran 24 jam menyebarkan kefahaman Islam bukan sekadar di bumi Malaysia, malah lebih membanggakan IKIMfm hari ini telah didengari di seluruh dunia dengan wujudnya aplikasi radio secara online, " menurut kenyataan IKIMfm itu.

Katanya, kejayaan program terbitan IKIMfm dapat dilihat berdasarkan penganjuran Anugerah Nasyid 2017 (AN17) yang pertama kalinya dianjurkan pada 2004.

Program AN17 yang dianjurkan menerusi penerbitan slot Carta Nasyid IKIMfm, ke udara pada setiap Sabtu, turut memberi pengiktirafan kepada penyanyi, penulis dan komposer lagu-lagu nasyid tempatan.

"Sempena ulang tahun ke-17 IKIMfm terus mengikat pendengar untuk terus bersama, dengan memantapkan program-program sedia ada dan ditambah dengan kemunculan program-program baharu, yang menjadikan IKIMfm terus unggul menjadi pilihan utama pendengar setianya.

"Dengan kematangan usia 17 tahun, IKIMfm juga mengorak langkah mendekati pendengar melalui pelbagai cara, bukan hanya penerbitan program di radio, malah penganjuran acara luar seperti Karnival Mahabbah IKIMfm, Imarah Ramadan dan misi kemanusiaan," kata kenyataan itu.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment