Monday, November 30, 2015

Kempen 'Hearme Hearme' Dan 'Teddy Bear Hospital Program' Tarikan MICF

SHAH ALAM, 27 Nov (Bernama) -- Kempen #HearMe HearMe dan 'Teddy Bear Hospital Program', antara tarikan utama Malaysia Islamic Children's Fair (MICF) yang berlangsung tiga hari sehingga Ahad ini di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini.

Pengerusi MICF Dayang Lily Maznah Abang Muas berkata pameran itu merupakan platform yang menyediakan pelbagai aktiviti, produk dan perkhidmatan berkaitan pendidikan berteraskan Islam kepada kanak-kanak.

"Seperti kempen #HearMe HearMe, ia bertujuan menggalakkan kanak-kanak mengemukakan pendapat atau pandangan seterusnya golongan dewasa boleh memberi maklum balas kepada isu berkenaan.

"Pendekatan ini akan membantu kanak-kanak tersebut membina keyakinan diri untuk bercakap, berkongsi idea dan aspirasi mereka dengan ibu bapa ataupun golongan yang lebih dewasa," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata kanak-kanak yang mengunjungi MICF juga boleh menyertai aktiviti pengalaman melalui pembelajaran menerusi 'Teddy Bear Hospital Program' di bawah seliaan Islamic Medical Association of Malaysia Children and Teens Super Team (IMACAT).

Dayang Lily Maznah yang juga Pengarah Urusan Zurriyat Ventures Sdn Bhd berkata program itu membolehkan kanak-kanak membawa patung masing-masing untuk menjalani pemeriksaan kesihatan asas.

"Aktiviti ini antara yang menyeronokkan kerana teddy bear itu akan dianggap sebagai pesakit manakala kanak-kanak itu pula sebagai ibu bapa.

"Menerusi aktiviti ini kita akan turut mendedahkan kanak-kanak itu berkaitan kesihatan mata dan gigi serta tentang kepentingan zat di dalam makanan," katanya.

Pameran yang memasuki tahun ketiga penganjurannya itu turut menyediakan pelbagai pertandingan bagi memupuk semangat kekeluargaan seperti 'Family Treasure Hunt' dan 'Family Coloring Contest'.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment