Tuesday, August 1, 2017

KELAB TEATER SMART KAYM JUARA FESTIVAL TEATER MELAKA 2017

Wakil Melaka ke Festival Teater Malaysia
 

MELAKA, 1 Ogos (Bernama) -- Malam yang gemilang dan indah. Itulah perkataan sesuai diungkapkan buat produksi Kelab Teater SMART (KERTAS) Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM) apabila muncul Juara Festival Teater Negeri Melaka 2017 (FTM) yang berlangsung di Panggung Seri, Kompleks JKKN Melaka baru-baru ini.
 
Menepati ramalan penonton, menerusi teater bertajuk Warga S, arahan Norhan Fahmi Ahmad Mahmud ini sekali lagi membuktikan kehebatan mereka apabila memenangi tiga kategori utama yang dipertandingkan.

KERTAS juga membolot kemenangan dalam kategori Pengarah Terbaik, Norhan Fahmi Ahmad Mahmud, Pelakon Lelaki Harapan,  Muhammad Aidil b. Rosli dan kategori Sinografi Terbaik.
 
Menurut Ketua Eksekutif KAYM, Datuk Saroni Judi, penampilan KERTAS bukanlah untuk bertanding semata-mata tetapi lebih kepada menyokong penganjuran FTM.
 
“Kejuaraan ini amat bermakna buat warga KAYM dan semua ahli produksi teater yang terlibat dalam menjayakan sebuah naskah terbaik yang bakal mewakili negeri Melaka ke peringkat kebangsaan” katanya lagi.
 
Manakala Norhan Fahmi Ahmad Mahmud yang dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik berkata kemenangan ini sememangnya jadi perangsang untuknya terus berkarya.
 
“Saya sedang memikirkan idea baru dan pada masa depan mungkin akan buat isu yang dekat dengan kehidupan pelajar,” katanya yang juga pensyarah jurusan Seni Teater di KAYM.

Beliau gembira dengan kemenangan ini dan menganggap ia diraih berkat usaha dan komitmen 20 orang ahli produksi yang terdiri dari pelajar dan staf KAYM yang menyertai festival untuk kali ini.

“Malah, warga KAYM  sanggup datang ke majlis penyampaian hadiah sebagai tanda sokongan dan ini adalah bukti sokongan mereka terhadap dunia teater dan KERTAS.
 
Naib Johan dimenangi oleh Aura Creative UITM Melaka yang mementaskan teater bertajuk Melati dan Melur, manakala tempat ketiga dimenangi oleh  Pentas Sepresi UITM Melaka menerusi teater bertajuk Tragedi seorang Nyai.


SUMBER : Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM)

No comments:

Post a Comment