Thursday, September 5, 2019

MYCC TERIMA AKU JANJI DARIPADA PERSATUAN PEMANDU-PEMANDU PELANCONG SABAH (STGA)

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) --  Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah menerima aku janji daripada Persatuan Pemandu-Pemandu Pelancong Sabah (STGA) yang mewakili kesemua 477 ahlinya berhubung isu persaingan melibatkan penetapan yuran pemandu pelancong oleh STGA.

Mengikut aku janji ini, kesemua ahli STGA telah berjanji untuk membatalkan Yuran Profesional Minima Pemandu Pelancong (Minimum Tourist Guides Professional Fees) bertarikh 1 Mac 2009. Mereka juga telah berjanji tidak akan mengadakan sebarang perbincangan mengenai yuran pemandu pelancong pada masa hadapan. Pada masa yang sama, kesemua ahli telah berjanji untuk menghentikan pelaksanaan Kadar Bayaran mengikut Panduan Yuran Profesional STGA yang dibincangkan pada Mesyuarat Agung Luar Biasa STGA pada 20 April 2017. STGA juga dalam aku janjinya akan mengingatkan semua ahlinya untuk mematuhi Akta Persaingan 2010 dengan sepenuhnya dan tidak akan teragak-agak untuk memberi kerjasama penuh kepada MyCC sekiranya terdapat sebarang aduan dibuat berkenaan ahlinya pada masa hadapan.

“MyCC telah memuktamadkan kes ini dengan jayanya di mana ianya bakal memberi manfaat kepada pengguna dan industri pelancongan di Sabah. Sebarang perlakuan penetapan harga adalah dilarang sama sekali di bawah Akta Persaingan 2010 kerana ia menghalang tahap kecekapan, inovasi dan keusahawanan dalam industri dan akan menyebabkan pengguna tidak dapat menikmati perkhidmatan berkualiti, harga dan pilihan yang kompetitif. MyCC tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana perlakuan anti-persaingan demi melindungi kepentingan pengguna Malaysia. Orang awam digalakkan untuk tampil memberi maklumat berkaitan sebarang potensi kewujudan amalan-amalan anti-persaingan,” menurut Encik Iskandar, Ketua Pegawai Eksekutif MyCC berhubung perkara ini.

Aku janji ini boleh diakses oleh orang awam melalui laman sesawang MyCC di www.mycc.gov.my. Aku janji STGA turut dilampirkan di sini sebagai Lampiran A.   

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=12498

No comments:

Post a Comment