Tuesday, June 30, 2026

“LANTAI ADAT, LAMAN BUDAYO” MENGANGKAT KEUNIKAN SENI, BUDAYA DAN ADAT NEGERI SEMBILAN

Kemeriahan Malam Perasmian Festival Rentak Negeri 2026

PORT DICKSON, 30 Jun (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan HAVOC Food Festival telah menganjurkan Festival Rentak Negeri 2026 pada 26 hingga 28 Jun 2026 bertempat di Pantai Batu 1, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Majlis perasmian Festival Rentak Negeri telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Dato' Seri Utama Haji Aminuddin bin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan. Turut hadir Yang Berusaha Encik Chua Choon Hwa, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Yang Berhormat Dato’ Mohd Zafir bin Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan Yang Berusaha Encik Mohd Amran bin Mohd Haris Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.  
 
Bertemakan “Lantai Adat, Laman Budayo”, Festival Rentak Negeri 2026 (FRN) kali ini mengetengahkan kepelbagaian keunikan seni budaya dan warisan tempatan yang berteraskan Adat Perpatih dan sembilan (9) identiti Negeri Sembilan sekaligus memperkukuh identiti tempatan serta memperkenalkan kesenian dan tradisi masyarakat Negeri Sembilan. Festival ini juga menjadi platform pemerkasaan ekonomi tempatan melalui penyertaan 162 usahawan. Ia juga merupakan langkah strategik dalam mempromosikan Tahun Melawat Malaysia dan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.
 
Keunikan utama yang ditonjolkan pada festival ini adalah persembahan Tarian Piring Lambung Mega yang menggabungkan elemen tradisional dan kreasi yang ditarikan oleh 100 orang penari terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India dalam kalangan pelajar sekolah rendah, menengah dan IPT sekitar Negeri Sembilan. Selain itu, Festival Rentak Negeri turut mengangkat keunikan adat dan budaya Negeri Sembilan melalui dua pertandingan utama iaitu Pertandingan Menghias Replika Rumah Tradisional Negeri Sembilan Antara Daerah-Daerah yang telah diungguli oleh Pejabat Daerah dan Tanah Jempol, serta Pertandingan Menghias Tandu Pengantin yang dimenangi oleh MD Rembau. Kedua-dua pertandingan ini merupakan pengisian baharu yang julung kali diperkenalkan pada penganjuran kali ini.
 
Selain itu, aktiviti – aktiviti lain yang turut diadakan seperti Demonstrasi dan Pertandingan Dam Harimau, Kejuaraan Silat Seni, Pertandingan Tarian Singa Akrobatik dan Chingay Gergasi, Orang Asli Idol, Permainan Interaktif, Mini Pavilion Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026, Petting Zoo dan Pameran dan Demonstrasi Jabatan / Agensi, persembahan kesenian. 
 
YBrs. Encik Chua Choon Hwa berkata bahawa, “Pelaksanaan Program Pelancongan Budaya merupakan langkah strategik dalam menjayakan Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026) dengan mengangkat seni budaya tempatan sebagai produk pelancongan bernilai tambah”. Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, program ini bukan sahaja memperkukuh pemeliharaan warisan budaya negara, malah turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat, kesejahteraan masyarakat serta kelestarian sektor pelancongan negara.

Bagi mendapatkan maklumat dan keterangan lanjut mengenai program ini, orang ramai boleh melayari media sosial JKKN melalui pautan www.facebook.com/mysenibudaya dan laman web JKKN.

Dikeluarkan Oleh:

Unit Komunikasi Korporat Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
Tel : 03-2614 8200 Faks : 03-2697 0786
Website: www.jkkn.gov.my Email: ukk@jkkn.gov.my
Platform Media Sosial Rasmi JKKN:
Facebook: @Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan @mysenibudaya
Instagram, Twitter & You Tube: @mysenibudaya

SUMBER: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama: Eldawati binti Laung
Penolong Pengarah
Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
Tel: 019-8091805
E-mel: eldawati@jkkn.gov.my

Nama: Puan Farah Shikeen binti Roslam
Pegawai Unit Komunikasi Korporat,
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sembilan
Tel: 06-7636308 / 019-603 5260
E-mel: fshikeen@gmail.com 

--BERNAMA

Sunday, June 28, 2026

​CGTN: Bagaimana China sedang mengubah hasil tuaian melimpah menjadi kemakmuran mampan untuk petani?

BEIJING, 26 Jun (Bernama-GLOBE NEWSWIRE) -- Susulan lawatan pemeriksaan Presiden China Xi Jinping ke Dezhou, Shandong di timur China, CGTN telah menerbitkan sebuah artikel yang mengupas bagaimana China sedang mengubah hasil tuaian lumayan menjadi kemakmuran berkekalan untuk petani. Artikel tersebut mengetengahkan usaha negara untuk memperkukuh keselamatan makanan, memajukan pembangunan luar bandar serta memastikan manfaat pembangunan dinikmati oleh komuniti setempat.

Hanya dengan beberapa ketikan pada telefon pintar, gandum berjaya terjual.

Musim panas ini, Wang Xiugang, seorang petani dari Daerah Xiajin di Bandar Dezhou, Shandong, timur China, tidak lagi perlu menunggu berjam-jam di stesen pengumpulan bijirin. Sebaliknya, beliau menggunakan sebuah aplikasi mudah alih untuk menempah masa penghantaran, menyemak harga dan menjejak keputusan pemeriksaan kualiti. Keseluruhan proses jualan — daripada penimbangan hingga pembayaran — dapat diselesaikan dalam masa kira-kira 30 minit sahaja.

Peralihan daripada beratur secara fizikal kepada menjual bijirin dengan mudah melalui sentuhan skrin memberikan gambaran jelas mengenai pemodenan pertanian yang semakin pesat di China.

Bagi Presiden China Xi Jinping, sektor pertanian, kawasan luar bandar dan petani telah lama menjadi keutamaan dalam tadbir urus negara. Semasa lawatan pemeriksaan di Dezhou pada hari Rabu, Xi menegaskan bahawa pemodenan pertanian dan luar bandar adalah penting bagi usaha pemodenan menyeluruh China, serta menyeru langkah konkrit untuk memperkukuh sektor tersebut.

Mengukuhkan “mangkuk nasi” negara

“Memastikan bekalan bijirin serta produk pertanian penting yang stabil adalah keutamaan dalam pengeluaran pertanian,” kata Xi ketika melawat tanah ladang di Dezhou.

Kenyataan beliau membawa makna yang besar di sebuah bandar yang sering digambarkan sebagai salah satu pusat pengeluaran bijirin utama China. Walaupun hanya meliputi lebih 10,000 kilometer persegi, Dezhou menyumbang lebih daripada satu kilogram bagi setiap 100 kilogram bijirin yang dihasilkan di seluruh China.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, bandar ini telah menjadi medan ujian untuk meningkatkan produktiviti pertanian. Dilancarkan pada tahun 2021 oleh Bandar Dezhou untuk memperkukuh keselamatan makanan nasional, inisiatif Dunbanliang ialah program pertanian hasil tinggi yang menyasarkan pengeluaran lebih daripada 1.5 metrik tan bijirin bagi setiap mu Cina (±0.0667 hektar). Dua tahun kemudian, Dezhou membangunkan zon demonstrasi Dunbanliang seluas sejuta mu — yang pertama di China.

Kemajuan ini dicapai hasil daripada pembangunan tanah ladang piawai tinggi, sistem pengairan yang dinaik taraf, penggunaan varieti benih yang lebih baik, serta penerapan teknologi integrasi air dan baja. Menjelang 2025, keluasan tanah ladang yang memenuhi piawaian Dunbanliang telah berkembang kepada 1.58 juta mu di Dezhou.

Usaha ini adalah sebahagian daripada dorongan nasional yang lebih luas. Lebih daripada 90% hasil bijirin musim panas di China telah dituai tahun ini, dengan satu lagi hasil lumayan hampir pasti dicapai.

Mengubah hasil tuaian kepada kehidupan yang lebih baik

Namun, peningkatan pengeluaran bijirin hanyalah sebahagian daripada gambaran keseluruhan.

Bagi ramai petani, cabaran sebenar bermula selepas musim menuai. Ruang pengeringan yang terhad, kerugian akibat penyimpanan serta turun naik harga pasaran boleh menjejaskan pendapatan mereka.

Di Daerah Wucheng, juga dalam wilayah Dezhou, pihak berkuasa tempatan memperkenalkan model ‘bank bijirin’ untuk menangani kebimbangan ini. Melalui sistem tersebut, petani boleh menyimpan bijirin, mengeringkannya secara profesional dan memilih masa untuk menjual, sekali gus mengurangkan kerugian serta meningkatkan pulangan.

Inisiatif ini menekankan visi yang lebih luas di sebalik usaha China memodenkan sektor pertanian dan luar bandar. Matlamatnya bukan sekadar meningkatkan pengeluaran, tetapi juga memperkukuh revitalisasi luar bandar dan memastikan petani benar-benar menikmati hasil daripada pemodenan.

Semasa lawatan Xi, matlamat itu jelas kelihatan.

Di Kampung Xiyujia, Presiden Xi duduk bersama keluarga Yu Xinhu di kediaman mereka dan menanyakan hal-hal berkaitan kehidupan seharian, pekerjaan serta pendapatan, kesihatan warga emas dan pendidikan anak-anak. Soalan-soalan tersebut menekankan ukuran penting dalam pembangunan luar bandar: sama ada kehidupan petani bertambah baik secara nyata.

Di Kampung Xiyujia, peningkatan itu semakin ketara. Melalui pembangunan bersepadu e-dagang, pelancongan dan industri budaya, lebih 3,000 penduduk sekitar dapat berkongsi peluang pembangunan. Pusat penstriman langsung menjana kira-kira satu juta yuan pendapatan kolektif kampung setiap tahun, manakala program pelancongan pendidikan menarik lebih daripada 20,000 pengunjung setiap tahun.

Seperti yang ditegaskan Xi sebelum beredar, matlamat akhir pemodenan ialah memenuhi aspirasi rakyat untuk menikmati kehidupan yang lebih baik. Kejayaan sebenar tuaian lumayan bukan sahaja pada bijirin yang dihasilkan, tetapi pada kemakmuran dan peluang yang dibawa kepada mereka yang mengusahakannya.

https://news.cgtn.com/news/2026-06-24/How-China-turns-bumper-harvests-into-lasting-prosperity-for-farmers-1Of7MKxNpeM/p.html

CGTN Digital
cgtn@cgtn.com

SUMBER: China Global Television Network Corporation

--BERNAMA 

Thursday, June 25, 2026

Mary Kay Teruskan Rentak Kemenangan dengan Tahun Keempat sebagai No. 1 dalam Kecantikan Jualan Langsung Global

Mary Kay Inc., syarikat kecantikan dan keusahawanan ikonik, untuk tahun keempat berturut-turut telah dinamakan sebagai Jenama Jualan Langsung No. 1 bagi Penjagaan Kulit dan Kosmetik Warna di Dunia oleh Euromonitor International. (Kredit Imej: Mary Kay Inc.)

Euromonitor International Mengiktiraf Kepimpinan Berterusan Mary Kay dalam Penjagaan Kulit dan Kosmetik Warna

DALLAS, 25 Jun (Bernama-BUSINESS WIRE) -- Mary Kay Inc., syarikat kecantikan dan keusahawanan ikonik, sekali lagi dinamakan sebagai Jenama Jualan Langsung No. 1 bagi Penjagaan Kulit dan Kosmetik Warna di Dunia1 oleh Euromonitor International, sekali gus mengekalkan legasi kecemerlangannya untuk tahun keempat berturut-turut .

“Meraih kedudukan global No. 1 daripada Euromonitor untuk tahun keempat berturut-turut merupakan pengiktirafan kukuh terhadap impak Perunding Kecantikan Bebas kami di seluruh dunia, yang memacu kejayaan kami setiap hari,” kata Ryan Rogers, Ketua Pegawai Eksekutif Mary Kay Inc. “Semangat keusahawanan mereka, digabungkan dengan pelaburan transformasi kami dalam R&D dan teknologi canggih, membolehkan kami menyediakan penyelesaian penjagaan kulit dan kecantikan berprestasi tinggi. Inilah formula kejayaan yang menjadikan kami antara jenama pengguna paling disayangi di dunia.”

Euromonitor International ialah penyedia terkemuka risikan perniagaan global, analisis pasaran dan cerapan pengguna, dengan pengalaman lebih 50 tahun menjalankan penyelidikan pasaran di lebih 100 negara.

“Kedudukan yang dikeluarkan oleh Euromonitor International mewakili piawaian tertinggi bagi prestasi pasaran global, disokong oleh data dan analisis bebas yang teliti,” kata Anthony Irwin, Naib Presiden Kanan Penyelidikan di Euromonitor International.

“Kepimpinan berterusan Mary Kay dalam kecantikan jualan langsung menonjolkan keupayaannya untuk memberikan nilai, kualiti dan kerelevanan secara konsisten dalam pasaran global yang sangat kompetitif.”

Mendahului carta:

· Selain pengiktirafan Euromonitor, Mary Kay secara konsisten meraih penghargaan global dalam kalangan syarikat kecantikan terkemuka dunia.
· Pada tahun 2025 sahaja, Mary Kay meraih 41 anugerah kecantikan dan industri di seluruh dunia, termasuk dinamakan di tempat ke-9 dalam senarai Jenama Terbaik untuk Impak Sosial daripada Forbes 20252 daripada 3,900 jenama.
· Pada tahun 2026, Mary Kay menduduki tempat ke-20 dalam senarai 100 Syarikat Kecantikan Terbaik 2025 oleh Women’s Wear Daily Beauty Inc.
· Forbes meletakkan Mary Kay di tempat ke-2 dalam senarai 2026 Khidmat Pelanggan Terbaik3.

Peneraju Inovasi Global

Mary Kay terus menyediakan produk penjagaan kulit dan kosmetik warna berprestasi tinggi melalui gabungan inovasi saintifik, cerapan pengguna dan perkhidmatan diperibadikan.

· Mary Kay telah memperoleh lebih 1,600 paten di seluruh dunia bagi produk, teknologi dan pembungkusan.
· Pusat Pengilangan dan R&D global Richard R. Rogers milik Mary Kay di Texas mampu menghasilkan sehingga 1 juta produk sehari.
· 64% saintis R&D Mary Kay dan 79% pasukan Global Brand serta Global Creative ialah wanita4.

Portfolio Mary Kay merangkumi produk yang memenangi anugerah dan menjadi pilihan ramai seperti:

· Rangkaian penjagaan kulit TimeWise®
· Penjagaan kulit lanjutan Clinical Solutions®
· Bedak asas TimeWise® 3D Foundations (Matte dan Luminous)
· Penanggal Solekan Mata Bebas Minyak
· Ultimate Mascara™
· Unlimited® Lip Gloss

Produk Mary Kay dijual oleh Perunding Kecantikan Bebas terbaik dalam kelasnya di 40 pasaran di seluruh dunia, yang menyediakan perkhidmatan diperibadikan kepada pelanggan secara bersemuka dan dalam talian di www.MaryKay.com (AS) serta melalui saluran media sosial dan digital.

Tahukah Anda?
Impak Ekonomi Jualan Langsung dalam Angka:

Di peringkat global:

· Pasaran jualan langsung global diunjurkan mencecah kira-kira USD815.4 bilion menjelang tahun 2034, meningkat daripada anggaran USD418.4 bilion pada tahun 2024.5

Di Amerika Syarikat:

· 73% penjual langsung di Amerika Syarikat ialah wanita.6
· $34.7 bilion jualan runcit dijana melalui aktiviti jualan langsung.7

Maklumat tentang Mary Kay

Salah seorang perintis yang memecahkan “glass ceiling”, Mary Kay Ash menubuhkan jenama kecantikan impiannya di Texas pada tahun 1963 dengan satu matlamat: memperkayakan kehidupan wanita. Impian tersebut telah berkembang menjadi sebuah syarikat global dengan berjuta-juta ahli tenaga jualan bebas di 40 pasaran. Selama lebih 60 tahun, peluang Mary Kay telah memperkasa wanita untuk menentukan masa depan mereka sendiri melalui pendidikan, bimbingan mentor, advokasi, dan inovasi. Mary Kay komited untuk melabur dalam sains di sebalik kecantikan serta menghasilkan penjagaan kulit, kosmetik warna, suplemen pemakanan, dan wangian yang berteknologi tinggi. Mary Kay percaya dalam usaha memelihara planet untuk generasi akan datang, melindungi wanita yang terkesan oleh kanser dan keganasan rumah tangga, serta menggalakkan golongan muda untuk mengejar impian mereka. Ketahui lebih lanjut di marykayglobal.com. Ikuti kami di Facebook, Instagram, dan LinkedIn, atau ikuti kami dalam X.

Maklumat tentang Euromonitor International

Euromonitor International ialah peneraju dunia dalam risikan pasaran global merangkumi industri, syarikat, ekonomi dan pengguna. Dengan pengalaman lebih 50 tahun di barisan hadapan industri, kami menggabungkan kepakaran manusia yang mendalam dengan teknologi AI dan analitik bagi menyampaikan cerapan yang memacu keputusan penting dengan penuh keyakinan secara pantas dan pada skala besar. Rangkaian global dan data proprietari kami memperkasa anda untuk membuka peluang pertumbuhan serta mengharungi perubahan. Kami mempunyai pasukan pakar di 16 pejabat di seluruh dunia dan rangkaian penganalisis di lapangan di lebih 100 negara, yang menyediakan nuansa budaya dan perniagaan yang sering terlepas pandang oleh pihak lain. Kami menjalankan penyelidikan di 210 negara dan bidang kuasa serta merangkumi 99.9% pengguna dunia, membantu pelanggan kami memahami pasaran global.

1 “Sumber: Euromonitor International Limited; Beauty and Personal Care 2026 Edition, jualan nilai pada RSP, Data 2025”
2 Haniya Rae, Penyumbang. (17 April 2025). “Meet America’s Best Brands For Social Impact 2025.” https://www.forbes.com/sites/haniyarae/2025/04/17/meet-americas-best-brands-for-social-impact-2025/.
3 Alan Schwarz, (14 Oktober 2025). “2026 Best Customer Service.” https://www.forbes.com/lists/best-customer-service/.
4 Perwakilan Wanita dan Kepimpinan di Mary Kay, Mei 2026.
5 Tajammul Pangarkar. (24 Mac 2025). Direct Selling Market to Reach USD 815.4 Billion by 2034 at 6.9% CAGR. www.news.market.us/direct-selling-market-news
6 World Federation of Direct Selling Associations. (November 2025) 2024 Global Annual Direct Selling Statistical Data Report. https://wfdsa.org/wp-content/uploads/2025/12/WFDSA-STATS-Report-2024-2025-V1.pdf
7 DSEF 2025 US Growth & Outlook Study. DSEF 2026 US Economic Impact Report.

Teks bahasa sumber asal pengumuman ini adalah versi rasmi yang sahih. Terjemahan yang disediakan hanya sebagai penyesuaian sahaja, dan hendaklah di silang-rujuk dengan teks bahasa sumber, yang satu-satunya versi teks dengan kesan undang-undang.

Galeri Multimedia/Foto Sedia Ada:
https://www.businesswire.com/news/home/20260623487381/en

Hubungi

Komunikasi Korporat Mary Kay Inc.
newsroom.marykay.com
972.687.5332 atau media@mkcorp.com

Sumber: Mary Kay Inc.

--BERNAMA

KENYATAAN MEDIA INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM MALAYSIA (IKIM) BERKENAAN MENYAMBUT BAIK CADANGAN PEMBINAAN MASJID WARISAN DI TRX

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menyambut baik pengumuman oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, berhubung cadangan pembinaan Masjid Warisan di kawasan Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur.

Dari sudut perundangan, cadangan pembinaan Masjid Warisan adalah selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan. Dalam masa yang sama, Perlembagaan turut menjamin hak penganut agama lain untuk mengamalkan agama masing-masing dengan aman dan damai.

IKIM menegaskan bahawa sebarang pembangunan rumah ibadat hendaklah dilaksanakan mengikut lunas undang-undang serta proses yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan, termasuk aspek perancangan bandar, penggunaan tanah, keselamatan awam, kelestarian dan kepentingan masyarakat setempat. Pematuhan kepada kerangka perundangan dan prosedur yang berkuat kuasa merupakan manifestasi prinsip tadbir urus yang baik.

Masjid bukan sekadar tempat ibadah tetapi sebagai institusi ilmu, pembinaan akhlak dan penyatuan masyarakat. Kehadirannya di TRX berpotensi melambangkan keseimbangan antara pembangunan material dan rohani dalam pembangunan negara.

Sehubungan itu, IKIM berharap agar projek ini dilaksanakan secara telus, berhemah dan bertanggungjawab. Semua pihak diseru agar membincangkan isu ini secara matang, berfakta serta menghormati proses undang-undang dan semangat Perlembagaan Persekutuan demi memelihara keharmonian negara. IKIM menyokong pembinaan Masjid Warisan di TRX sebagai pelengkap kepada pembangunan bandar moden yang beradab, bertamadun dan seimbang serta berpaksikan nilai.

Sekian, terima kasih.

Prof Madya Dato' Dr Mohamed Azam bin Mohamed Adil
Ketua Pengarah
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

24 Jun 2026 | 8 Muharam 1448H                                                   
 
Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT IKIM
Nama: Pn. Hajah Fairuz binti Hj Noordin
Tel : 019-388 7600
E-mel: fairuz@ikim.gov.my

Nama: Haji Mohd Faiz bin Othman
Tel: 012-2105658
E-mel: faiz@ikim.gov.my

--BERNAMA

Friday, June 19, 2026

Bukti perintis menunjukkan bagaimana model keusahawanan dapat mengurangkan kemiskinan tegar dalam kalangan pelarian

 

  • Kajian baharu menunjukkan program DREAMS meningkatkan pendapatan, simpanan dan daya tahan komuniti pelarian di seluruh Afrika Timur 
  • Yayasan IKEA telah memperuntukkan USD7.4 juta untuk membiayai fasa seterusnya program DREAMS di Ethiopia, manakala Yayasan Conrad N. Hilton telah meluluskan pembiayaan sebanyak USD3.5 juta bagi fasa seterusnya program DREAMS di Uganda

NAIROBI, Kenya, 18 Jun (Bernama-GLOBE NEWSWIRE) --
 Bukti baharu yang dikeluarkan hari ini menunjukkan bahawa pendekatan gabungan yang merangkumi sokongan keusahawanan dan akses pasaran mampu mengurangkan kemiskinan tegar secara ketara dalam kalangan pelarian serta komuniti tuan rumah di Afrika Timur.

Dua ujian terkawal rawak (RCT) bagi program DREAMS (Delivering Resilient Enterprises and Market Systems) yang dilaksanakan oleh Village Enterprise dan Mercy Corps—mendapati bahawa isi rumah yang mengambil bahagian memperoleh peningkatan ekonomi yang ketara dalam tempoh setahun, termasuk di beberapa penempatan pelarian yang paling mencabar di dunia.

Kajian-kajian tersebut, yang dijalankan oleh penilai bebas IDinsight, mendapati bahawa berbanding kumpulan kawalan, peserta DREAMS mencatat peningkatan dalam:

  • Penggunaan isi rumah bulanan meningkat sebanyak 17% di Uganda dan 9% di Ethiopia
  • Simpanan meningkat sebanyak lebih 90% di kedua-dua negara, sekali gus memperkukuh kedudukan kewangan dan daya tahan terhadap cabaran ekonomi serta risiko berkaitan iklim.
  • Aset isi rumah meningkat sebanyak 20–24% apabila peserta memperoleh ternakan, membina kediaman dan melabur dalam peralatan.
 
Program ini telah menjangkau lebih daripada 22,000 isi rumah di beberapa penempatan pelarian terbesar di dunia, termasuk Rhino Camp dan Bidi Bidi di wilayah West Nile, Uganda, serta tiga penempatan pelarian di Dollo Ado, Ethiopia.

DREAMS menggabungkan program graduasi kemiskinan selama 12 bulan oleh Village Enterprise—yang melengkapkan isi rumah yang hidup dalam kemiskinan tegar dengan kemahiran, modal kewangan dan bimbingan yang diperlukan untuk memulakan perniagaan—dengan pendekatan pembangunan sistem pasaran (MSD) yang dilaksanakan oleh organisasi kemanusiaan dan pembangunan global, Mercy Corps. MSD menggalakkan jaringan kerjasama dengan pemain sektor swasta tempatan dalam industri utama bagi memperkukuh pasaran tempatan.

Dalam situasi pengurangan bantuan kemanusiaan yang belum pernah berlaku sebelum ini, dapatan kajian ini menunjukkan bahawa model yang sangat efektif kos dan boleh diskalakan ini mampu membantu pelarian serta komuniti tuan rumah mengurangkan kebergantungan kepada bantuan, mewujudkan sumber pendapatan yang mampan dan menyara keluarga serta anak-anak mereka.

Peserta DREAMS melaporkan perubahan yang ketara dalam kehidupan mereka, termasuk keupayaan untuk membeli lebih banyak makanan berkhasiat seperti daging lembu, ikan dan susu, serta menampung kos persekolahan anak-anak mereka, termasuk yuran, buku dan pengangkutan. Viola mula tiba di penempatan pelarian Bidi Bidi dari Sudan Selatan dan kini memiliki sebuah salun rambut. “Saya terpaksa mendukung anak perempuan saya yang berusia setahun dan rasa lapar serta keletihan yang kami alami menjadikan perjalanan itu lebih sukar. Kami tiba di Uganda tanpa apa-apa,” katanya. “Saya tidak menyangka bahawa saya boleh berubah seperti ini. Saya teringat hari saya melarikan diri dari rumah dan sejauh mana saya telah melangkah dan saya berasa kagum.”

Nurina, seorang pelarian dari Somalia yang kini menetap di Ethiopia, berkata: “Disebabkan ketidakupayaan saya, saya dahulu lebih suka berada di satu tempat sahaja. Saya berasa terasing. Jiran-jiran saya dahulu memandang rendah terhadap saya dan saya tidak dianggap sebagai seorang yang penting. Namun, kini mereka melihat bahawa saya mampu menjana pendapatan, menyimpan wang dan menyara anak-anak saya. Mereka datang kepada saya untuk mendapatkan nasihat. Mereka meminta saya berkongsi apa yang telah saya pelajari daripada Village Enterprise. Program ini merupakan titik perubahan bagi seluruh keluarga saya.”

Peningkatan aset isi rumah—20% lebih tinggi berbanding kumpulan kawalan di Uganda dan 24% lebih tinggi di Ethiopia—merangkumi ternakan, peralatan pertanian, serta pelaburan dalam perumahan dan panel solar, selain perabot seperti tilam, katil dan meja.

Pelan tindakan pembangunan

RCT ini telah mengukur impak program di Uganda dan Ethiopia, namun turut membuktikan potensi penyelesaian ini untuk 8.7 juta orang yang tinggal di penempatan pelarian di seluruh dunia.

Mengiktiraf kejayaan DREAMS, program ini akan terus menerima sokongan:

  • Di Ethiopia—melalui sokongan Yayasan IKEA, yang telah memperuntukkan USD7.4 juta untuk membiayai fasa seterusnya DREAMS serta memperkukuh integrasi program tersebut ke dalam sistem kerajaan tempatan. Fokus utama geran ini adalah untuk menilai faktor yang menyumbang kepada keberkesanan program dalam pelbagai konteks serta mengoptimumkan pendekatan tersebut bagi membolehkan pelaksanaannya diperluas dalam persekitaran yang kompleks ini.
  • Di Uganda—melalui komitmen pembiayaan sebanyak USD3.5 juta daripada Yayasan Conrad N. Hilton untuk fasa seterusnya DREAMS sehingga Mac 2029, serta penilaian mengenai bagaimana DREAMS boleh diintegrasikan ke dalam program pembangunan awal kanak-kanak sedia ada di Uganda, Kenya, Tanzania dan Mozambique.

Ketika perubahan iklim dan konflik mendorong peningkatan perpindahan besar-besaran penduduk, DREAMS menunjukkan bagaimana negara tuan rumah dapat membantu pelarian menjana pendapatan, mewujudkan sumber mata pencarian yang mampan serta menyumbang kepada ekonomi tempatan. Di Ethiopia dan Uganda, RCT mendapati bahawa DREAMS dijangka menghasilkan pulangan nilai dua kali ganda berbanding kos pelaksanaannya melalui peningkatan penggunaan isi rumah dan pengumpulan aset sekiranya kesan program dapat dikekalkan selama lima tahun.


Sazini Mojapelo, Ketua Pegawai Eksekutif Village Enterprise, berkata “Pada ketika peruntukan bantuan kemanusiaan semakin berkurangan, kita memerlukan penyelesaian yang mampu memberikan impak sebenar dan berkekalan kepada jutaan pelarian di seluruh dunia. DREAMS menunjukkan bahawa dengan sokongan yang tepat, pelarian dan komuniti tuan rumah yang hidup dalam kemiskinan tegar mampu membangunkan perniagaan, meningkatkan pendapatan serta menyara keluarga mereka—sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada bantuan. Kami merakamkan penghargaan kepada Yayasan IKEA dan Yayasan Hilton atas sokongan berterusan mereka terhadap inisiatif ini serta usaha membantu memperluaskan DREAMS kepada lebih banyak komuniti dan pelarian di Ethiopia dan Uganda.”

Tjada McKenna, Ketua Pegawai Eksekutif Mercy Corps, berkata “Perubahan yang berkekalan tidak terhasil daripada bantuan semata-mata; sebaliknya, ia berpunca daripada akses kepada peluang. Bukti ini menunjukkan apabila pelarian dihubungkan dengan pasaran yang berfungsi, rantaian bekalan dan pelanggan, mereka mampu membangunkan perniagaan, menjana pendapatan dan menyumbang kepada ekonomi. Jika kita mahukan masa depan yang membolehkan semua orang mencapai kemakmuran, kita perlu melabur dalam sistem yang menjadikannya suatu kenyataan.”

Alison Connor, Ketua Pegawai Impak di IDinsight, berkata: “Bukti yang mantap mengenai pendekatan yang berkesan untuk pelarian masih terhad dan penilaian ini memberikan sumbangan yang signifikan dalam mengisi jurang tersebut. Kami menilai kesan penggabungan pendekatan graduasi kemiskinan dan pembangunan sistem pasaran dalam konteks penempatan pelarian. Di Uganda dan Ethiopia, isi rumah yang menyertai program ini mencatat peningkatan yang ketara dalam penggunaan, pendapatan, simpanan dan aset dalam tempoh beberapa bulan selepas program tamat, dengan pulangan yang setanding atau lebih baik berbanding program mata pencarian lain di rantau tersebut. Ketika sektor kemanusiaan berdepan keputusan pembiayaan yang mencabar, dapatan seperti ini dapat membantu menyalurkan sumber kepada pendekatan yang disokong oleh asas bukti yang kukuh.”

Rediet Abiy Kassaye, Pengurus Program di Yayasan IKEA, berkata: “Keputusan ini menunjukkan potensi yang boleh dicapai apabila pelarian dan komuniti tuan rumah diberi peluang untuk membina semula kehidupan mereka dengan maruah, kestabilan dan harapan. Kami berbangga dapat menyokong fasa DREAMS yang seterusnya di Ethiopia dan terus bekerjasama dengan Village Enterprise serta Mercy Corps untuk membantu keluarga pulih daripada perpindahan paksa dan mewujudkan peluang baharu bagi diri mereka serta komuniti masing-masing. Bersama-sama, kami melihat potensi perniagaan kecil dan pasaran tempatan yang dinamik untuk mewujudkan peluang yang berkekalan bagi keluarga dan komuniti bagi generasi akan datang.”

Barri Shorey, Pegawai Program Kanan, Pelarian, Bencana dan Penerbangan di Yayasan Conrad N. Hilton, berkata: “DREAMS membuktikan keberkesanan pelaburan dalam penyelesaian ekonomi jangka panjang untuk pelarian dan komuniti tuan rumah. Kami berbangga dapat menyokong fasa seterusnya inisiatif ini di Uganda kerana model ini membantu keluarga membina sumber mata pencarian yang mampan, memperkukuh kestabilan isi rumah dan mewujudkan masa depan yang lebih baik untuk anak-anak mereka—satu pendekatan yang benar-benar memberi manfaat kepada dua generasi! Pengintegrasian DREAMS dengan inisiatif pembangunan awal kanak-kanak di seluruh Afrika Timur mewujudkan peluang untuk menyokong penjaga dan kanak-kanak kecil secara serentak, sekali gus membantu keluarga membina masa depan yang lebih terjamin dan produktif.”

Nota kepada Editor 
  • Mengenai program DREAMS
    • Sebagai sebahagian daripada model graduasi kemiskinan Village Enterprise, isi rumah yang mengambil bahagian telah disusun ke dalam kumpulan simpanan perniagaan yang terdiri daripada 30 isi rumah, yang direka untuk menggalakkan mereka mengumpulkan simpanan secara bersama, saling menyokong dan menyediakan pinjaman kecil.
    • Mercy Corps menghubungkan perniagaan tersebut dengan pemain sektor swasta dalam industri utama termasuk ternakan ayam, bunga matahari, kacang soya, bijan serta penggemukan biri-biri dan kambing.
    • Isi rumah digalakkan untuk menjalankan pelbagai perniagaan merentasi industri utama, membolehkan mereka menjadi lebih berdaya tahan terhadap cabaran yang lazim seperti kegagalan tanaman, cuaca ekstrem, kematian ternakan ayam akibat penyakit dan kecurian.
    • Walaupun kumpulan kawalan di Uganda dan Ethiopia tidak menerima sebarang pembiayaan dan terus bergantung pada sumber pendapatan sedia ada, sebahagian daripada mereka turut menikmati manfaat tidak langsung daripada program tersebut. Sesetengah isi rumah dalam kumpulan kawalan memperoleh akses kepada pembiayaan secara tidak formal melalui pinjaman wang atau pembelian barangan secara kredit daripada rakan dan jiran yang menyertai program tersebut.
       
  • Mengenai RCT di Uganda
    • Village Enterprise menyediakan latihan perniagaan, modal permulaan sebanyak USD204 (dibayar dalam dua ansuran) serta bimbingan berterusan kepada 12,000 isi rumah untuk memulakan dan mengekalkan perniagaan mereka.
    • Modal permulaan tersebut dikongsi antara kumpulan perniagaan yang terdiri daripada tiga isi rumah, yang kemudiannya menjadi sebahagian daripada kumpulan simpanan perniagaan.
    • Sebanyak 6,560 isi rumah menyertai RCT yang dijalankan antara tahun 2022 hingga 2025 dan program DREAMS selama 12 bulan dilaksanakan secara berperingkat kepada kohort yang berbeza sepanjang tempoh tersebut.
    • Bagi memastikan program ini tidak menyumbang kepada inflasi tempatan, setiap kohort dijadualkan bermula empat bulan selepas permulaan kohort sebelumnya. Keputusan penuh RCT boleh dibaca di sini.
    • Keputusan ini adalah berdasarkan dapatan daripada tinjauan akhir (endline survey) pertama yang dijalankan antara April hingga Julai 2025, yang menilai hasil jangka pendek hingga sederhana kira-kira enam hingga 18 bulan selepas peserta menamatkan program tersebut.
    • Tinjauan kedua dirancang untuk dijalankan setahun kemudian, iaitu pada tahun 2026, bagi mengukur impak jangka panjang program tersebut.
       
  • Mengenai RCT di Ethiopia
    • Village Enterprise menyediakan latihan perniagaan, modal permulaan sebanyak USD500 serta bimbingan kepada 10,800 peserta di Dollo Ado untuk memulakan dan mengekalkan perniagaan mereka.
    • Modal permulaan tersebut dikongsi antara kumpulan perniagaan yang terdiri daripada tiga isi rumah, yang kemudiannya menjadi sebahagian daripada kumpulan simpanan perniagaan.
    • RCT di Ethiopia telah dijalankan oleh IDinsight antara tahun 2023 hingga 2026 dan menilai impak model graduasi kemiskinan dalam komuniti di mana Mercy Corps memperkukuh pembangunan sistem pasaran, serta impak keseluruhan program DREAMS terhadap produktiviti ekonomi dan kesejahteraan isi rumah, kesejahteraan yang dirasai, serta pemerkasaan wanita dalam kalangan isi rumah pelarian dan komuniti tuan rumah.
    • Sebanyak 6,151 isi rumah menyertai RCT, dengan 2,050 daripadanya menerima program DREAMS sepenuhnya.
    • Keputusan ini adalah berdasarkan dapatan daripada tinjauan akhir (endline survey) pertama, dengan data yang dikumpulkan antara Oktober hingga Disember 2025, yang menilai hasil program kira-kira enam hingga 18 bulan selepas pelaksanaannya.
    • Keputusan penuh RCT boleh dibaca di sini.
       
Mengenai Village Enterprise
Misi Village Enterprise adalah untuk menamatkan kemiskinan tegar di kawasan luar bandar Afrika melalui keusahawanan, inovasi dan tindakan kolektif. Kami bekerjasama dengan wanita yang rentan, pelarian dan golongan belia yang paling terkesan akibat perubahan iklim, konflik dan perpindahan paksa, serta melengkapkan mereka dengan kemahiran dan sumber untuk memulakan perniagaan yang peka terhadap iklim, membina simpanan dan meletakkan diri mereka serta keluarga mereka di landasan yang mampan untuk keluar daripada kemiskinan tegar. Village Enterprise telah membantu memulakan lebih daripada 119,000 perniagaan dan membawa perubahan positif kepada kehidupan lebih daripada 2.3 juta orang di Ethiopia, Kenya, Rwanda, Uganda, Congo-Brazzaville, Republik Demokratik Congo, Madagascar, Mozambique, Nigeria dan Tanzania.

Mengenai Mercy Corps
Mercy Corps ialah sebuah pasukan global yang terdiri daripada hampir 4,300 petugas kemanusiaan yang berusaha mewujudkan dunia di mana setiap individu berpeluang untuk mencapai kemakmuran. Sebanyak 95% daripada ahli pasukan kami berasal dari negara tempat mereka bertugas. Di 46 negara yang terjejas akibat konflik, bencana, kemiskinan dan perubahan iklim, kami bekerjasama dengan komuniti, kerajaan tempatan, syarikat yang berpandangan jauh serta usahawan sosial untuk memenuhi keperluan mendesak dan membangunkan penyelesaian jangka panjang bagi mewujudkan perubahan yang berkekalan. Pada tahun 2025, Mercy Corps telah memberi manfaat kepada lebih daripada 36.5 juta orang. Ketahui lebih lanjut di www.mercycorps.org.

Mengenai IDinsight
IDinsight ialah sebuah organisasi bukan untung global yang memperkasakan pemimpin dengan data, bukti dan teknologi untuk meningkatkan kesejahteraan hidup pada skala yang luas. Kami bekerjasama dengan kerajaan, NGO dan penyedia dana untuk menyokong proses membuat keputusan pada setiap peringkat pelaksanaan impak – daripada inisiatif perintis hingga peluasan berskala nasional. Pasukan kami menyediakan bukti yang kukuh, metodologi terkini dan pandangan praktikal bagi membolehkan pemimpin merangka serta melaksanakan program yang benar-benar membawa perubahan kepada kehidupan masyarakat.

Hubungan media:
villageenterprise@wearesevenhills.com
+44 7388 003595 

Foto yang mengiringi pengumuman ini boleh didapati di 
https://www.globenewswire.com/NewsRoom/AttachmentNg/6044f789-0bf6-4524-9715-9f9f68a92f53

Sumber: Village Enterprise

--BERNAMA