Friday, September 13, 2019

MALAM TARIAN KLASIK MELAYU

“ALERT”: Malam Tarian Klasik Melayu sempena Panggung Seni Tradisional 2019 anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara himpunkan lebih 10 Tarian Klasik Melayu serta tokoh-tokoh tarian klasik seperti Dr. Chandrabhanu (Zamin Haroon), Datin Sharifah Mahani Syed Kasim (Mak Ngah), Puan Zaharah Hamid, Encik Mohamed Tharuwat Ismail Bakti dan ramai lagi. 


KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- Panggung Seni Tradisional 2019 Siri Lima (5) diteruskan dengan pementasan Repertoir Tari Klasik Melayu bertajuk ‘Malam Tarian Klasik Melayu’. Program anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC, Tourism Malaysia) ini akan dipentaskan di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia @ MaTiC, Jalan Ampang pada 27 September 2019 jam 8.30 malam dan 28 September 2019 jam 3.00 petang dan jam 8.30 malam.
 
Malam Tarian Klasik Melayu ini akan dipersembahkan oleh Fakulti Tari, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan ASK Dance Company yang akan menggabungkan beberapa tarian klasik Melayu di Malaysia. Antara tarian yang akan dipersembahkan adalah Mengadap Rebab, Terinai Mengadap, Tarian Ketam Bawa Anak, Layang Mas, Joget Gamelan Geliung, Kunang-Kunang Mabuk, Topeng, Lenggok, Rebana Kercing, Asyik (versi KBN), Ceracap Inai dan ditutup dengan persembahan Tarian Mek Mulung.
 
Persembahan Malam Tarian Klasik Melayu ini akan diiringi oleh kumpulan pemuzik orkestra yang dianggotai seramai empat belas (14) orang pemuzik dalam kalangan alumni dan pelajar Fakulti Muzik, ASWARA dibawah pimpinan Encik Teuku Umar Ilany Teuku Iskandar dan Encik Kamarul Baisah Hussin.
 
Dalam persembahan ini juga ianya turut melibatkan tokoh-tokoh tarian klasik seperti Dr. Chandrabhanu (Zamin Haroon), Datin Sharifah Mahani Syed Kasim (Mak Ngah), Puan Zaharah Hamid, Encik Mohamed Tharuwat Ismail Bakti dan ramai lagi.
 
BENGKEL TARI KLASIK
Selain itu juga, bersempena program ini turut diadakan Bengkel Tari Klasik pada 24 & 25 September 2019 Jam 10.00 pagi hingga jam 12.00 tengahari yang mana penyertaan adalah terbuka dan terhad kepada 30 orang peserta sahaja. Kepada yang berminat untuk menyertai Bengkel Tari Klasik boleh menghubungi urusetia ditalian 012-855 1096 / 019-209 8962 dan 03-3614 8260/61.
 
“JKKN sentiasa komited terhadap usaha untuk memartabatkan kesenian tradisional yang unik dan autentik di bawah program Panggung Seni Tradisional. Selain itu, JKKN mengharapkan agar program ini akan dapat memberi peluang kepada semua generasi muda, warga Kuala Lumpur dan para pelancong untuk mengenali seni budaya warisan seterusnya menghayati keindahan kesenian tradisional Malaysia yang hampir dilupakan ini”. Kata Ketua Pengarah JKKN, Tan Sri Hajah Norliza Rofli dalam satu kenyataan pada hari ini.
 
Sebagai makluman, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) adalah sebuah agensi yang menjalankan aktiviti kebudayaan dan kesenian di Malaysia dan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia. 

Sila klik di sini untuk Lampiran.

Dikeluarkan Oleh:
Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia


SUMBER : Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN)

No comments:

Post a Comment