Thursday, November 7, 2019

Tawar golongan pesara dengan pakej pelancongan menarik

PUTRAJAYA, 7 Nov -- Pesara merupakan golongan yang wajar 'direbut' pihak industri pelancongan, dengan menawarkan pakej pelancongan yang bersesuaian serta pada harga menarik, kata Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia Zulkifly Md Said.
Beliau berkata golongan pesara termasuk ribuan penjawat awam yang bersara setiap tahun, mempunyai banyak masa untuk bercuti atau meluangkan masa bersama keluarga, khususnya di dalam negara.
"Jangan lupa, setiap daerah dan negeri ada persatuan pesara dan jika pakej yang ditawarkan menepati cita rasa, golongan itu boleh menyumbang dalam merancakkan industri pelancongan dalam negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Tourism Malaysia "Big Deals, Great Feels" di sini hari.
Katanya walaupun ketika ini terdapat pemain industri menyediakan tawaran yang bersesuaian dengan golongan pesara tetapi nisbahnya masih kecil dan tidak dipromosikan dengan baik.
Mengenai karnival tersebut, Zulkifly berkata sebanyak RM450,000 nilai jualan pakej pelancongan serta 3,000 pengunjung disasarkan dalam tempoh tiga hari karnival berlangsung di Dewan Sanggar Pujangga, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di Presint 5 di sini.
Karnival berkonsepkan pembelian secara terus kepada pengguna itu disertai 35 pempamer meliputi 14 pengusaha hotel, 15 pemilik produk serta lima agensi pelancongan.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment