Saturday, November 16, 2019

Mercari, Buyee jalin kerjasama bagi laksana jualan merentas sempadan

KUALA LUMPUR, 15 Nov -- Mercari Inc memulakan tawaran jualan merentas sempadan ke lebih 100 negara melalui aplikasi pasaran Mercari pelanggan kepada pelanggan (C2C), dengan kerjasama Buyee, sebuah perkhidmatan e-dagang merentas sempadan. yang dikendalikan oleh anak syarikat milik penuh BEENOS Inc.

Melalui kerjasama itu, pengguna di luar negara boleh melayari dan mencari barangan yang disenaraikan di Mercari dalam bahasa Jepun, Inggeris dan Cina. Mereka juga boleh membeli barang menggunakan kaedah pembayaran antarabangsa popular seperti PayPal, Alipay dan UnionPay.

Dengan misi mewujudkan nilai dalam pasaran global di mana sesiapa sahaja boleh membeli dan menjual, syarikat tersebut telah membangunkan dan mengendalikan Mercari, sebuah aplikasi pasaran yang membolehkan individu membeli dan menjual barang dengan mudah dan selamat.

Mercari merupakan pasaran C2C terbesar Jepun, dengan anggaran 14 juta pengguna bulanan, nilai barangan kasar (GMV) 530.7 bilion JPY, dan menyenaraikan lebih 1.1 bilion barangan, setakat ini. (100 JPY = RM3.82)

Penawaran jualan merentas sempadan akan membolehkan pengguna di luar negara membuat pembelian di Mercari yang kini tidak lagi terhad hanya kepada pengguna di Jepun, dan Mercari menjangkakan usaha ini akan meningkatkan peluang jualan.

Mercari akan terus mencari kaedah untuk menyediakan pasaran global yang selamat dan memenuhi misinya untuk mewujudkan nilai dalam pasaran global. di mana sesiapa sahaja boleh membeli dan menjual.

Maklumat lanjut di https://www.mercari.com/jp.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment