Wednesday, November 13, 2019

Reza Jamali antara penerima anugerah di Festival Filem Antarabangsa Tokyo ke-32

KUALA LUMPUR, 13 Nov -- Pengarah filem ‘Old Men Never Die’, Reza Jamali telah memenangi ‘Anugerah Spirit of Asia’ oleh Japan Foundation Asia Center pada Majlis Anugerah Festival Filem Antarabangsa Tokyo (TIFF) ke-32 baru-baru ini.
Reza, pengarah dari Iran, merangkul anugerah itu yang diberikan kepada pengarah harapan dalam segmen ‘TIFF Asian Future’, kerana potensi kejayaan global merentas sempadan budaya dan negara, menurut satu kenyataan di sini.
Selain itu, ‘Anugerah The Best Asian Future Film’ dimenangi filem ‘Summer Knight’ arahan You Xing; ‘Anugerah Lakon Layar Terbaik’ dirangkul Shin Adachi bagi filem ‘A Beloved Wife’; dan Wang Rui dipilih menerima ‘Anugerah ‘Sumbangan Artistik Terbaik’ menerusi ‘Chaogtu with Sarula’.
Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dimenangi Navid Mohammadzadeh menerusi ‘Just 6.5’ manakala Anugerah Pelakon Wanita Terbaik dirangkul Nadia Tereszkiewicz melalui ‘Only the Animals’.
Menurut kenyataan itu, kerjasama Japan Foundation Asia Center dan TIFF kini memasuki tahun keenam, bertujuan untuk memantapkan kefahaman bersama dalam Asia dengan memaparkan filem-filem Asia di Jepun dan membawa bakat Asia kepada dunia menerusi TIFF.
Tiga pengarah wanita terkemuka Asia, Antoinette Jadaone, Mattie Do dan Sigrid Andrea P. Bernardo yang semua hasil kerja mereka ditayangkan di CROSSCUT ASIA #06 telah mengambil bahagian dalam bual bicara ‘The Discreet Charm of Girl's Horror Talk’ yang membincangkan filem-filem seram di Asia Tenggara.
TIFF ke-32 telah berlangsung bermula 28 Okt hingga 5 Nov. Maklumat lanjut boleh didapati di https://2019.tiff-jp.net/en.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment