Tuesday, June 6, 2023

MAJLIS PERASMIAN PEJABAT SATELIT LANGKAWI, LEMBAGA HASIL DALAM NEGERI MALAYSIA (HASIL)



PULAU LANGKAWI, 6 Jun (Bernama) -- Satu Majlis Perasmian Pejabat Satelit Langkawi, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) telah diadakan di Kompleks Pekan Rabu, Kuah, Langkawi. Majlis perasmian tersebut telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Dr. Mohd Nizom bin Sairi, Ketua Pegawai Eksekutif HASiL dengan kehadiran YBhg. Dato’ Abdul Gafar bin Yahya, Pegawai Daerah Langkawi, barisan Timbalan-Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif HASiL serta barisan pengurusan tertinggi HASiL dan tetamu jemputan sekitar Langkawi.
 
YBhg. Datuk Dr. Mohd Nizom bin Sairi dalam ucapan perasmiannya berkata, dalam usaha memperkukuhkan peranan serta fungsi HASiL kepada rakyat, keberadaan pejabat satelit ini amat relevan dengan keperluan penduduk setempat. Ia berfungsi sebagai pusat khidmat percukaian yang penting bagi penduduk di sekitar Langkawi berikutan ekonomi Langkawi yang dilihat semakin berkembang saban tahun.
 
Sehubungan itu, pejabat satelit ini perlu dinaik taraf dalam usaha HASiL untuk memberikan perkhidmatan percukaian berimpak tinggi, meningkatkan hubungan dan interaksi yang berkesan dengan para pelanggan, seterusnya memacu kemampanan ekonomi negara dan masyarakat setempat.
 
Untuk makluman, Pejabat Satelit Langkawi yang mula beroperasi pada 1 Mac 2021 adalah merupakan pejabat satelit pertama diwujudkan oleh HASiL di kawasan pelancongan yang berfungsi sebagai pusat sehenti (one stop centre). Ia diwujudkan untuk memudahkan urusan percukaian penduduk setempat meliputi rundingan pengauditan dan pungutan, Cukai Keuntungan Harta Tanah, Duti Setem, Bantuan Khas Kerajaan dan perkhidmatan lain yang berkaitan dengan mengurangkan beban kos serta menjimatkan masa tanpa perlu hadir ke kaunter perkhidmatan utama di lokaliti Alor Setar. Ia merupakan evolusi kepada Pusat Khidmat Hasil (PKH) yang dahulunya beroperasi di Pejabat Daerah Langkawi pada tahun 2007.
 
Beliau turut berkata, sehingga 31 Disember 2022, pejabat satelit ini telah berjaya mencatatkan kutipan duti setem sebanyak RM8.78 juta, yang tertinggi dalam tempoh tiga tahun kebelakang sepanjang ia beroperasi. Malah, sehingga 30 April 2023, Pejabat Satelit Langkawi telah mencatatkan kutipan duti setem hampir RM717 ribu yang merupakan antara penyumbang terbesar jumlah kutipan cukai langsung bagi HASiL negeri Kedah.
 
Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada kami melalui:

a) Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara);
b) HASiL Live Chat; dan
c) Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL di pautan pantas
https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/public. 

Dikeluarkan Oleh:
Bahagian Komunikasi Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

Hasil Care Line : 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (luar negara)
Hasil Recovery Call Centre: 03-8751 1000  
Portal Rasmi : www.hasil.gov.my
 
Tarikh: 02 Jun 2023

SUMBER: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

No comments:

Post a Comment