Wednesday, October 30, 2024

KECEKAPAN PROSEDUR KELULUSAN DARI 60 KE 7 HARI TINGKAT PRODUKTIVITI PAHANG

 

Rajah 1: Majlis Masuk Tapak pembinaan kilang tayar Maxtrek Tyre Manufacturing (M) Sdn Bhd telah dirasmikan pada 28 Oktober 2024 oleh EXCO Pelaburan Pahang

KUANTAN, Pahang, 29 Okt (Bernama) -- Majlis Masuk Tapak untuk pembinaan kilang Maxtrek Tyre Manufacturing (M) Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan, telah disempurnakan pada 28 Oktober 2024 oleh YB Dato’ Mohamad Nizar bin Dato’ Sri Mohamad Najib, EXCO Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang. Kilang ini dijangka mencipta 700 peluang pekerjaan baharu, sekaligus merancakkan ekonomi tempatan dan menyokong pembangunan sektor perindustrian negeri.
 
Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) telah memainkan peranan penting dalam mempercepatkan prosedur kelulusan permit masuk tapak, memendekkan tempoh biasa 60 hari kepada hanya 7 hari melalui inisiatif inovatif seperti program Fast 8 (F8). Menurut Datuk Bandar Kuantan, inisiatif ini merupakan bukti komitmen MBK terhadap pembangunan pesat Kuantan, dan akan terus diperkasa demi manfaat ekonomi negeri serta kesejahteraan rakyat.
 
Projek pembinaan kilang Maxtrek Tyre, yang melibatkan pelaburan sebanyak RM1.33 bilion, akan memfokuskan kepada pengeluaran tayar untuk kenderaan penumpang, trak ringan, dan bas. Kilang yang akan berdiri di atas tanah seluas 170 ekar ini dijangka siap sepenuhnya pada Julai 2025. Selain daripada menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri, projek ini turut memperkukuhkan hubungan perdagangan Malaysia dengan China.
 
Projek Maxtrek Tyre merupakan sebahagian daripada inisiatif "Pembinaan Pantas" yang diperkenalkan oleh MBK dengan sokongan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC). Ketua Pengarah MPC, Zahid Ismail, menyatakan bahawa inisiatif ini telah membawa kepada peningkatan produktiviti yang ketara di kalangan pelbagai pihak berkepentingan, sektor swasta seperti jurutera, kontraktor, dan pemilik projek, serta sektor awam seperti Majlis Bandaraya Kuantan, Pejabat Tanah, dan BOMBA. Beliau juga menegaskan bahawa usaha ini pasti menyumbang kepada peningkatan produktiviti negeri dan negara.

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=18653

No comments:

Post a Comment