Tuesday, April 4, 2017

PANGGILAN UNTUK PENYERTAAN PERTANDINGAN 'PAGE-TO-PITCH MEDIA 360' OLEH KOTA BUKU




KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) --  Pusat sehenti bagi menghimpunkan penerbit, penulis dan pembaca di Malaysia; Perbadanan Kota Buku kini memanggil penyertaan untuk semua penulis baharu dan penulis sedia ada untuk menyertai pertandingan Page-To-Pitch (P2P) Media 360 2017. Pertandingan tersebut dianjurkan sempena edisi kesepuluh Pusat Dagangan Hak Cipta Kuala Lumpur (KLTCC 2017), pada 28 hingga 30 April 2017 di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.

Pertandingan terbahagi kepada dua kategori iaitu ‘Idea kepada Penerbitan’ dan ‘Idea kepada Media Digital’ ini bertujuan untuk membuka peluang dan menyediakan platform unik kepada para penulis baharu untuk menerbitkan idea mereka, dan mengembangkan idea para penulis sedia ada kepada pelbagai kandungan media digital seperti; animasi, permainan dan aplikasi mudah alih, buku digital dan lain-lain.

Pemenang utama bagi setiap kategori pada tahun ini akan menerima wang tunai sebanyak RM7,000. Pemenang juga berpeluang untuk mendapat pembiayaan daripada pelabur swasta untuk mengembangkan idea mereka ke peringkat seterusnya. Keputusan nama para pemenang akan diumumkan pada 29 April 2017.

Pertandingan ‘Page-to-Pitch (P2P) Media 360’ merupakan pertandingan pertama dan satu-satunya di rantau ini untuk mencari penulis baharu melalui pembentangan idea dan mengiktiraf harta intelek para penulis sedia ada. Idea yang terpilih akan diadili berdasarkan konsep, keaslian, potensi pamasaran, objektif dan pembentangan oleh wakil daripada Kota Buku, Buku Fixi Sdn Bhd, PTS Media Group Sdn Bhd dan Penerbit USIM untuk kategori ‘Idea kepada Penerbitan.’ Manakala kategori kedua diadili oleh Kota Buku, MEASAT Broadcast Network (Astro), Ata Plus Sdn Bhd, FINAS dan Unique Inspiration Limited.

Mengumumkan panggilan penyertaan tersebut, Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar, Ketua Pegawai Eksekutif Kota Buku berkata; “Kota Buku komited untuk menjadikan pertandingan edisi kedua ini lebih besar dan lebih baik, kerana P2P Media 360 bukan sahaja mempamerkan bakat terbaik yang ada di Malaysia, tetapi juga membantu para penulis tempatan untuk mengembangkan idea mereka ke dalam media digital. Kami telah menerima lebih 100 penyertaan pada tahun lepas dan berharap untuk menerima lebih banyak penyertaan pada tahun ini”.

No comments:

Post a Comment