SEPANG, 19 Feb (Bernama) -- Tourism Malaysia meraikan musim perayaan Tahun Baru Cina menerusi siri aktiviti sambutan di lapangan terbang utama di seluruh negara. Sempena kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026), inisiatif ini menonjolkan kekayaan warisan budaya berbilang kaum di Malaysia di samping memperkukuh reputasi negara sebagai destinasi pelancongan yang mesra, meriah dan inklusif.
Majlis sambutan utama telah berlangsung di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2 dengan kehadiran YB Dato Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya. Beliau menyambut ketibaan pengunjung dengan mengedarkan cenderahati rasmi Visit Malaysia 2026. Turut hadir ialah wakil Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) serta penggiat industri pelancongan utama, mencerminkan kerjasama erat antara sektor awam dan swasta dalam mempertingkatkan pengalaman pengunjung.Sambutan turut dimeriahkan dengan upacara tradisional yang melambangkan perpaduan, kemakmuran dan kesejahteraan bersama. Para pengunjung juga berpeluang menyaksikan pameran pakaian tradisional Malaysia yang menampilkan kepelbagaian budaya negara, diikuti persembahan tarian singa yang sinonim dengan perayaan Tahun Baru Cina. Menambah kemeriahan, maskot rasmi Visit Malaysia 2026, Wira dan Manja, tampil dengan busana bertemakan perayaan serta menyediakan peluang bergambar interaktif, sekali gus memperkaya pengalaman ketibaan pelawat.
Sempena sambutan hari pertama Tahun Baharu Cina pada 17 Februari 2026, pintu masuk utama negara telah mencatatkan kemasukan pelawat yang signifikan, dengan rekod sebanyak 32 penerbangan yang membawa sejumlah 8,840 penumpang semasa waktu puncak ketibaan antara jam 07:00 hingga 10:30 pagi di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2. Lonjakan statistik ini adalah selaras dengan momentum kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026) yang sedang giat dipromosikan.
Aktiviti sambutan Tahun Baru Cina di lapangan terbang ini merupakan sebahagian daripada strategi berterusan Tourism Malaysia di bawah kempen VM2026 untuk menyediakan pengalaman ketibaan yang bermakna, mengukuhkan penjenamaan destinasi serta mempromosikan Malaysia sebagai destinasi yang selamat dan kaya dengan kepelbagaian budaya sepanjang tahun. Inisiatif di pintu masuk antarabangsa ini turut memainkan peranan penting dalam meninggalkan kesan positif kepada pelawat dan menggalakkan kunjungan berulang.
Seiring usaha berterusan ini, Tourism Malaysia terus memperkasa profil pelancongan negara di peringkat global sambil meraikan kepelbagaian budaya Malaysia, selaras dengan objektif Visit Malaysia 2026 dan menyokong pertumbuhan mampan jangka panjang sektor pelancongan negara.
Tourism Malaysia
Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa.
Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) menekankan komitmen Malaysia terhadap pembangunan pelancongan mampan, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDGs). Kempen ini bertujuan untuk mengetengahkan kepelbagaian tarikan semula jadi, kekayaan warisan budaya, serta tawaran pelancongan negara yang dinamik, di samping memacu pertumbuhan inklusif dan nilai jangka panjang buat komuniti setempat serta pemain industri.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web Tourism Malaysia di www.tourism.gov.my serta akaun media sosial rasmi di Facebook, Instagram, X, YouTube, dan TikTok.
SUMBER: Tourism Malaysia
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Norsafrina Mohamad Rambli
Penolong Pengarah Kanan
Bahagian Promosi Antarabangsa (Asia / Africa)
Tel: +603 8891 8848
E-mel: norsafrina@tourism.gov.my
Nama: Norshariza binti Mohd Saad
Timbalan Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: +603 8891 8775
E-mel: norshariza@tourism.gov.my
--BERNAMA
No comments:
Post a Comment