Wednesday, April 10, 2019

Penyertaan bagi NACRA 2019 kini dibuka

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Syarikat-syarikat di Malaysia masih mempunyai peluang sehingga 31 Mei ini untuk mengemukakan penyertaan laporan tahunan mereka bagi Anugerah Laporan Korporat Tahunan Kebangsaan (NACRA) 2019.

Bertemakan “Ke Arah Akauntabiliti dan Kecemerlangan,” NACRA 2019 memberi penekanan kepada peranan penting laporan tahunan untuk mempromosi ketelusan dan meningkatkan integriti pasaran modal.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur NACRA, Ahmad Zahirudin Abdul Rahim, berkata persaingan yang sihat memberikan motivasi dan menggalakkan inovasi, kecemerlangan dan penambaikan yang berterusan.

“Selaras dengan hasrat NACRA untuk terus meningkatkan kualiti penyampaian laporan tahunan, kami mengkaji semula garis panduan pada setiap tahun dan membuat penambahbaikan mengikut keperluan dan aliran semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Adjudikasi Stanley Teo berkata proses penghakiman akan dilakukan panel bebas yang terdiri daripada pakar adjudikasi yang begitu mahir mengenai isu dan perkembangan semasa.

NACRA yang dilancarkan pada 1990, dianjurkan bersama oleh Bursa Malaysia Bhd, Institut Akauntan Malaysia dan Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia yang bertujuan menggalakkan kecemerlangan dalam laporan korporat tahunan.

-- BERNAMA

ANUGERAH PERKHIDMATAN PALING CEMERLANG HONG KONG CORPHUB 2019

ANUGERAH PERKHIDMATAN PALING CEMERLANG HONG KONG CORPHUB 2019

INSENTIF SENI JKKN: KOMITED MEMBANTU INDUSTRI SENI BUDAYA

ALERT : Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara menawarkan (4) empat Insentif Seni kepada semua penggiat seni budaya di Malaysia bermula April 2019.

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Demi menyemarakkan industri warisan seni tradisional di Malaysia, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia terus komited dalam membantu dan memberi peluang serta ruang kepada penggiat-penggiat seni budaya di Malaysia untuk menyerlahkan bakat dan kepakaran mereka kepada masyarakat.

Bermula pada tahun ini, JKKN telah mengambil inisiatif memberi bantuan seni dan budaya kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) memandangkan NGO Kebudayaan sangat penting dalam pembangunan seni budaya negara. Tujuan insentif ini diadakan ialah untuk memberi sokongan, dorongan dan galakan kepada penggiat seni bagi menghasilkan sesuatu karya atau produk yang melibatkan kos yang rendah tetapi berimpak tinggi sekaligus menggalakkan kandungan tempatan yang baharu. Selain itu juga penggiat seni persembahan dan permainan tradisional untuk terus bergiat aktif di samping membangun dan meningkatkan bakat serta kemahiran ke arah menghasilkan karya bermutu dan berkualiti. Melalui jaringan kerjasama juga seperti penyediaan tempat persembahan adalah salah satu bentuk bantuan yang ditawarkan untuk memberi peluang kepada mereka berkarya.

Antara Insentif seni yang ditawarkan oleh JKKN adalah berbentuk kewangan, ruang, kepakaran atau khidmat nasihat dan promosi melalui medium digital dan media sosial terus kepada mereka dengan kriteria seperti visi, idea dan konsep yang jelas dan mapan, tidak menyentuh sensitiviti kaum dan agama dan juga tidak bersifat provokatif yang boleh mengancam keselamatan negara. Selain itu, penggiat seni perlu menunjukkan kaliber yang meyakinkan beserta butiran terperinci seperti aktiviti dan anggaran kos yang relevan. Penggiat juga perlu merangka aktiviti atau karya seni bagi kepentingan masyarakat atau sekurang-kurangnya untuk komuniti seni itu sendiri dengan menyatakan potensi pulangan bagi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Bagi yang berminat terhadap insentif ini, mereka perlulah mempunyai Pertubuhan atau kumpulan yang berdaftar dengan Pertubuhan Malaysia (ROS) mengikut akta pendaftaran Pertubuhan 1966 atau berdaftar dengan mana-mana pihak yang berkuasa. Persatuan seni budaya juga perlulah mempunyai kumpulan sasar kepelbagaian kaum tetapi tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh serta bukan untuk kepentingan dan keuntungan peribadi. Hala tuju yang jelas dan mempunyai manfaat serta kesan kepada masyarakat adalah digalakkan supaya tujuan insentif ini mencapai matlamat yang telah ditetapkan.

“Kami berharap dengan adanya empat (4) insentif seni ini dapat membantu penggiat-penggiat seni, badan bukan kerajaan dan juga individu yang memerlukan bantuan dan khidmat daripada JKKN demi merealisasikan impian dan hasrat untuk mengadakan persembahan atau aktiviti seni budaya.

“Sebagai permulaan, insentif ini akan dinilai dari pelbagai sudut dengan syarat mereka mempunyai pertubuhan atau persatuan yang berdaftar dengan Pertubuhan Malaysia (ROS) dan menyediakan dokumen yang lengkap sebelum diproses oleh pihak urusetia penilaian,” kata Ketua Pengarah JKKN, Tan Sri Norliza Rofli dalam satu kenyataan.

Badan bukan kerajaan atau pengiat seni boleh terus menghubungi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara melalui talian 03-26148200 atau menghantar surat secara rasmi serta boleh melayari laman sesawang JKKN untuk mendapatkan peluang dan permohonan ini yang bermula April sehingga Oktober tahun 2019 dengan kemudahan bantuan kewangan bermula dari RM1,000 sehingga RM15,000. Di samping itu juga, mereka boleh memohon bantuan melalui kepakaran JKKN seperti Teater, Tari, Muzik, Teknikal, Pengurusan Acara dan Penyelidikan serta ruang bilik mesyuarat, bilik kuliah, auditorium dan gelanggang Gasing. 

JKKN sentiasa komited terhadap usaha untuk memartabatkan karya-karya dan persatuan yang aktif dalam bidang seni budaya di Malaysia. Sehubungan itu, diharapkan agensi-agensi swasta dan syarikat-syarikat korporat turut sama memberikan sokongan kepada JKKN sebagai jabatan kerajaan yang mendokong kelestarian seni budaya bangsa.

“Sokongan boleh diberi bukan sahaja dalam bentuk penajaan kewangan, malah dengan memberi kemudahan pementasan, ruang promosi sekaligus dapat memberi peluang kepada generasi muda, penggiat-penggiat seni, badan bukan kerajaan, institut pengajian tinggi dan masyarakat untuk mengenali seni budaya warisan seterusnya menghayati keindahan kesenian Malaysia selaras dengan tahun melawat Malaysia 2020 dengan melonjakkan industri pelancongan negara,” tambah Tan Sri Norliza Rofli. 

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Unit Komunikasi Korporat JKKN atau boleh melayari laman media sosial JKKN.

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=12045

Tuesday, April 9, 2019

KILANG PEMFABRIKATAN BIEN HOA NOVA BUILDINGS DIBUKA SECARA RASMI DENGAN OPERASI BERSKALA PENUH

HO CHI MINH CITY & BIEN HOA, Vietnam, 9 April (Bernama-BUSINESS WIRE) -- Pada permulaan tahun ini, Kumpulan Nova Buildings telah mengumumkan pemerolehan aset pemfabrikatan utama BlueScope Buildings di Bandar raya Bien Hoa di Wilayah Dong Nai, Vietnam. Sejak pengumuman itu, Kumpulan itu telah mengambil alih tapak pemfabrikatan struktur keluli yang terletak kira-kira 30 kilometer dari bandar raya Ho Chi Minh. Persediaan telah dijalankan untuk membaik pulih dan menyiapkan tapak untuk operasi.
 
Siaran media ini mempunyai ciri-ciri multimedia. Lihat siaran lengkap di sini: https://www.businesswire.com/news/home/20190408005877/en/
 
“Nova Buildings memasang siap struktur prakejuruteraan mengikut piawaian kualiti antarabangsa. Sejak mengambil alih aset fabrikasi itu, pasukan operasi kami telah berusaha keras untuk melaksanakan prosedur pengeluaran standard dan proses pemeriksaan berkualiti. Tumpuan adalah kepada kedai latihan pengendali lantai dan memastikan semua pengimpal kami mempunyai kelayakan dan pensijilan yang diperlukan. Dengan kemudahan yang diperolehi dan segala kelengkapan berada dalam keadaan operasi yang baik dan siap siaga, dan ketekunan pasukan operasi kami, persediaan untuk memulakan semula operasi adalah lebih awal dari jadual. Kami kini gembira untuk menghasilkan kumpulan pertama bagi bingkai keluli bagi projek-projek pelanggan kami di rantau itu. Satu pelan juga disediakan untuk meningkatkan pengeluaran secara pantas dengan peningkatan yang dijangkakan bagi permintaan dalam saluran jualan kami,” kata Encik Cheong Ku Wei, Ketua Pegawai Eksekutif bagi Kumpulan Nova Buildings.
 
Kilang Bien Hoa itu kini telah siap untuk operasi berskala penuh, dan pesanan untuk projek bangunan prakejuruteraan baharu akan dilakukan di sini dan dihantar ke kedua-dua lokasi projek domestik dan eksport di Asia Tenggara dan tempat lain di dunia. Kemudahan itu mempunyai kapasiti tahunan untuk fabrikasi bingkai keluli sehingga 12,000 tan setahun dan adalah dijangka menjadi hab pengeluaran dan pusat eksport yang utama untuk Nova Buildings.
 
Kilang itu diterajui oleh ahli-ahli pasukan operasi utama yang sebelum ini mengendalikan kemudahan di bawah BlueScope Buildings, sekali gus memastikan legasi itu bagi pembuatan yang berkualiti dan cekap diteruskan dan faedahnya disalurkan kepada pelanggan kami.
 
MAKLUMAT MENGENAI NOVA BUILDINGS
 
Nova Buildings beribu pejabat di Singapura, dengan entiti perniagaan tempatan yang diperbadankan di Indonesia, Malaysia, Thailand dan Vietnam. Entiti-entiti ini dengan pasukan jualan dalam pasaran dan pasukan kejuruteraan yang berpengalaman akan bekerja rapat dengan pelanggan untuk menyediakan bangunan-bangunan prakejuruteraan yang berdaya saing dan berfungsi yang disatukan dengan pelbagai produk dan sistem bangunan yang berkualiti yang diperoleh secara tempatan dengan sokongan selepas jualan domestik yang mantap.
 
Kumpulan itu disokong oleh Kumpulan Fintonia, sebuah firma ekuiti persendirian yang berpangkalan di Singapura, dalam perkongsian strategik dengan pelabur utama dari industri pembinaan di Asia Tenggara. Untuk maklumat lanjut mengenai perniagaan dan lokasi perniagaan, sila layari laman web kami di www.novabuildingsasia.com.

Lihat versi sumber di  businesswire.com: https://www.businesswire.com/news/home/20190408005877/en/
 
Hubungi

Nova Buildings – Ibu Pejabat Singapura
Margaret Cheng
Margaret.re1.Cheng@novabuildingsasia.com

Nova Buildings Vietnam
Phung Quoc Dien
Dien.cc1.Phung@novabuildingsasia.com
 
Sumber : Kumpulan Nova Buildings
 
Teks bahasa sumber asal pengumuman ini adalah versi rasmi yang sahih. Terjemahan yang disediakan hanya sebagai penyesuaian sahaja, dan hendaklah di silang-rujuk dengan teks bahasa sumber, yang satu-satunya versi teks dengan kesan undang-undang.
 
--BERNAMA

SYARIKAT BERKSHIRE HATHAWAY SPECIALTY INSURANCE MENAMBAHKAN INSURANS LIABILITI TRANSAKSIONAL DI ASIA DAN TIMUR TENGAH, STEVEN HARWOOD SEBAGAI KETUA DI RANTAU ITU

BOSTON & DUBAI & HONG KONG & SINGAPURA, 8 April (Bernama-BUSINESS WIRE) -- Syarikat Berkshire Hathaway Specialty Insurance (BHSI) hari ini mengumumkan bahawa ia telah mula menawarkan Insurans Liabiliti Transaksional melalui rantau Asia dan Timur Tengah (AME) mereka dan telah melantik Steven Harwood sebagai Ketua bagi Liabiliti Transaksional di AME.

“Mengemudi dengan betul risiko-risiko bagi urus niaga korporat adalah penting kepada syarikat-syarikat yang berkembang dan pemimpin-pemimpin industri,” kata Marc Breuil, Ketua bagi AME, BHSI. “Perluasan ini meningkatkan keupayaan kami untuk menyediakan kepakaran pengunderaitan liabiliti transaksional dan pengetahuan melalui hab serantau kami di Singapura, Hong Kong, dan Dubai.”

“Steve Harwood mempunyai pengalaman yang luas di dalam membantu syarikat-syarikat memberikan respons yang pantas dan secara strategik terhadap risiko penggabungan, pengambilalihan dan urus niaga lain, dan kami sangat gembira kerana beliau telah menyertai BHSI.”

BHSI akan memberi tumpuan terutamanya kepada penyediaan Insurans Perwakilan dan Waranti serta Insurans Liabiliti Cukai merentasi AME. Syarikat itu sudah menyediakan liputan  Liabiliti Transaksional dari pejabat-pejabat di Amerika Syarikat, Kanada dan United Kingdom.

Steven datang ke BHSI dari Pembroke Managing Agency Underwriting di Lloyd's Jepun, di mana beliau adalah merupakan Penaja Jamin & Peguam Cara Kanan, M&A Insurance. Sebelum itu, beliau adalah Rakan Sekutu Kanan di Herbert Smith Freehills LLP, yang memberi pengkhususan di dalam penggabungan dan pengambilalihan, dan Pengarah Bahagian (London dan Tokyo) di Willis Faber & Dumas Ltd, sebuah Broker Insurans Semula Lloyd’s. Steven, yang berkhidmat sebagai seorang Pegawai Tentera Laut Diraja, memiliki ijazah sarjana muda dari London University dan ijazah sarjana dari International Budo University di Jepun.

Steven berpangkalan di pejabat BHSI di Hong Kong dan boleh dihubungi di +852 3729 1310.

Berkshire Hathaway Specialty Insurance (www.bhspecialty.com) menyediakan insurans hartanah komersil, kecederaan, liabiliti profesional penjagaan kesihatan, talian eksekutif dan profesional, kemalangan & kesihatan, jaminan, perjalanan, program, kehilangan terhenti perubatan, dan pemilik rumah. Terma bagi perlindungan sebenar dan muktamad bagi kesemua talian produk mungkin berbeza-beza. Di rantau Asia Timur Tengah, ia menaja jamin di atas kertas Syarikat Berkshire Hathaway Specialty Insurance, yang memiliki penarafan kekuatan kewangan A++ dari AM Best dan AA+ dari Standard & Poor's. Berpusat di Boston, Berkshire Hathaway Specialty Insurance mempunyai pejabat di Atlanta, Boston, Chicago, Houston, Indianapolis, Irvine, Los Angeles, New York, San Francisco, San Ramon, Seattle, Stevens Point, Auckland, Brisbane, Dubai, Dublin, Düsseldorf, Hong Kong, Kuala Lumpur, London, Macau, Melbourne, Singapore, Sydney dan Toronto. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi info@bhspecialty.com.

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=12039

Monday, April 8, 2019

SHELTER ROCK BERGABUNG DENGAN PHILIP LEVINSON DARI SINGAPURA UNTUK MENERAJUI PENGEMBANGAN ASIA

NEW YORK, NY, 5 April (Bernama) -- Shelter Rock Capital Advisors (Shelter Rock) hari ini mengumumkan bahawa ia telah membentuk satu perikatan strategik dengan Penmount Partners untuk menerajui pengembangan Shelter Rock di Asia. Rakan Pengurusan Penmount adalah seorang veteran industri Philip (Lev) Levinson, seorang penasihat modal yang memberi tumpuan kepada hartanah dan berpusat di Singapura. Beliau telah mewujudkan kehadiran Blackstone di Australia dan, paling terbaharu, mengetuai IPO bagi Cromwell REIT Eropah, sebuah REIT kepelbagaian bernilai EUR1 bilion dengan aset merentasi lima buah negara Eropah, disenaraikan di Singapura - yang pertama seumpamanya di Asia.

Walter Stackler, Pengasas dan Rakan Pengurusan Shelter Rock, berkata, “Saya sangat teruja untuk menjalin kerjasama dengan Lev ketika kami memperluaskan aktiviti pengedaran kami di Asia melampaui Jepun. Beliau telah mencapai banyak kejayaan di Asia dengan syarikat-syarikat terkemuka seperti LaSalle, Park Hill dan Blackstone. Pendekatan beliau yang kreatif dan difikirkan dengan teliti untuk membantu syarikat-syarikat hartanah mengembangkan perniagaan mereka adalah sejajar dengan falsafah Shelter Rock dan akan terus mengukuhkan jangkauan Shelter Rock dengan pelabur global menjangkau aktiviti antarabangsa kami yang sedia ada di Amerika Latin, Eropah dan Jepun.”

Philip Levinson berkata: “Tahun lepas, aliran keluar modal Asia ke EMEA dan Amerika Syarikat berjumlah hampir $35 bilion. Kami gembira kerana dapat menjalin kerjasama dengan Shelter Rock untuk menyediakan pangkalan pelabur kami dengan akses yang unik dan bebas kepada peluang-peluang di pasaran ini.” Beliau seterusnya berkata, "Saya sangat kagum dengan  pelanggan-pelanggan Shelter Rock yang berkualiti tinggi dan tidak sabar-sabar untuk membantu mereka mengakses modal di Asia.”

Ditubuhkan pada tahun 2014, Shelter Rock Capital Advisors adalah sebuah butik penasihat modal aset benar dan hartanah yang berpangkalan di New York yang menawarkan perkhidmatan penjanaan modal dan perkhidmatan berkaitan kepada pengurus, operator dan pelabur pelaburan. Pendekatan kesesuaian syarikat itu membantu pelanggan untuk mengakses sumber yang paling sesuai bagi modal untuk pelbagai jenis harta tanah dan geografi.

Penmount Partners adalah sebuah syarikat penasihat modal pakar yang berpangkalan di Singapura, dengan menyediakan penyelesaian pasaran modal yang disasarkan kepada kedua-dua orang awam dan sektor hartanah swasta di seluruh rantau itu. Pelanggan termasuk REIT’s, Private Equity Real Estate Funds and Family Offices.

SUMBER: Shelter Rock Partners & Penmount Partners

--BERNAMA

PANGGILAN UNTUK RAGBI: HONG KONG TUJUH SEBELAH KINI KEMBALI!




Bandar Raya Dunia Asia melancarkan sebuah program melibatkan acara dan perayaan di seluruh bandar raya

HONG KONG, 4 April (Bernama-BUSINESS WIRE) -- Kini memasuki tahun ke-44, Cathay Pacific/HSBC Hong Kong Tujuh Sebelah 2019 adalah lebih besar dan lebih baik daripada sebelumnya! Lebih daripada 120,000 orang peminat akan berkumpul di Stadium Hong Kong dari 5 hingga 7 April bagi pusingan ketujuh dalam Siri Ragbi Dunia Tujuh Sebelah, yang mengalu-alukan 40 buah pasukan dari 34 buah negara -- menjadikan ini sebagai perhimpunan kesatuan ragbi yang terbesar di dunia pada tahun 2019. Untuk menambahkan keseronokan, empat pasukan teratas dalam siri tahun ini akan secara automatik layak bagi Sukan Olimpik Musim Panas 2020. Layari hksevens.com  untuk maklumat lanjut.
 

Siaran media ini mempunyai ciri-ciri multimedia. Lihat siaran lengkap di sini: https://www.businesswire.com/news/home/51959070/en


Demam Ragbi Tujuh Sebelah mengalir melampaui stadium itu! Acara tahunan tersebut mengubah bandar raya itu dengan pelbagai kostum yang kreatif, festival, pemasangan seni, sambutan dan persembahan muzik.

“Ketika pemain-pemain ragbi yang paling berbakat di dunia bersaing di Hong Kong Tujuh Sebelah untuk mendapatkan tempat di Sukan Olimpik Musim Panas 2020, jalan-jalan di Hong Kong akan juga dipenuhi dengan keseronokan,” kata Anthony Lau, Pengarah Eksekutif bagi Lembaga Pelancongan Hong Kong. “Kami berharap dapat mengalu-alukan pelawat yang datang dari segenap pelusuk dunia untuk menikmati hiburan hujung minggu tanpa henti di seluruh bandar raya itu. Kami telah menyediakan barisan muzik yang menyeronokkan, sambutan after party dan, sudah tentu, tradisi kostum ‘pakaian beragam’.”

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=12032