KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menyambut baik pengumuman YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa kerajaan akan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU). IKIM berpandangan bahawa reformasi ini perlu menghasilkan kerangka baharu yang memperkukuh kebebasan akademik, autonomi institusi dan hak mahasiswa, di samping memastikan universiti kekal berintegriti dan bertanggungjawab kepada masyarakat serta negara.
Kerangka baharu wajar dirangka secara inklusif dengan penglibatan mahasiswa, ahli akademik, pengurusan universiti, pakar perundangan, masyarakat sivil, industri dan kerajaan. Kebebasan akademik perlu dipelihara berlandaskan integriti ilmu, kedaulatan undang undang dan kepentingan awam, manakala universiti terus menjadi ruang bagi penyelidikan, pertanyaan, kritikan dan perbezaan pandangan secara bertanggungjawab.Pada masa yang sama, bidang kuasa Menteri, lembaga pengarah universiti dan pentadbiran institusi wajar diperhalusi dengan batas yang jelas, semak dan imbang serta mekanisme semakan yang berwibawa. Autonomi perlu membolehkan keputusan dibuat secara profesional, sementara penggunaan kuasa dan sumber awam terus disertai pertanggungjawaban.
Bagi IKIM, kejayaan reformasi AUKU perlu diukur pada keupayaannya memperkukuh mutu dan maruah institusi ilmu. Malaysia memerlukan universiti yang bebas mengembangkan ilmu, kukuh integritinya dan beramanah dalam tadbir urus.
Sekian, terima kasih.
Prof Madya Dato' Dr Mohamed Azam bin Mohamed Adil
Ketua Pengarah
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
18 Ogos 2026 | 5 Rabiulawal 1448H
SUMBER: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Nama: Pn. Hajah Fairuz binti Hj Noordin
Tel: 019-388 7600
E-mel: fairuz@ikim.gov.my
Nama: Haji Mohd Faiz bin Othman
Tel: 012-2105658
E-mel: faiz@ikim.gov.my
--BERNAMA
No comments:
Post a Comment